Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Denyut nadi gelombang
kebangkitan Islam di seluruh dunia , terutama di Asia Barat yang
hangat sering mencuri perhatian di negara ini. Kebangkitan Islam
adalah melalui tahapan sejarah yang panjang serta berwarna-warni , seawal pasca
Perang Arab Israel 1967. Maka wajar untuk kita menyusuri dengan mendalam
sejarah perlawanan bangsa Mesir dan tokoh besar yang telah mewarnai bumi
ambiya' ini. Bersesuaian dengan bulan Februari di mana tokoh besar dunia telah
mati dibunuh dengan kejam pada 12 Februari 1949, maestro dakwah dan harakah ini
telah menyalakan lantera pencerahan kepada umat setelah kejatuhan Khilafah Islam
pada Mac 1924.
Tokoh besar pejuangan Islam ini
yang telah membina dan mewariskan pemikiran dan perjuangan yang besar sehingga
tersebar ke seluruh belahan dunia, Timur mahupun Barat. Hasan al-Banna telah
menempatkan dirinya sebagai simbol kebangkitan umat di zaman moden, sekaligus
sebagai pemimpin harakatul dakwah pada abad ke-20. Tidak terhenti setakat itu,
Hasan al-Banna mempunyai pakej kepimpinan yang wajar diteladani oleh pewaris
dakwah masa kini terutama dalam gelombang serangan pemikiran salibis-imperialis,
neo-liberal dan kelompok ekstremis sekular. Ahzab moden seluruhnya telah
bersatu untuk memerangi Islam dan umatnya.
Ikhwanul Muslimin yang
ditubuhkan oleh Hasan al-Banna semenjak tahun 1928 di Ismailiah Mesir
,telah puluhan tahun berdada dengan kezaliman taghut terutama di sebelah Asia
Barat. Pembantaian, pemenjaraan, perlecehan, penistaan, pembunuhan yang sadis
dan pengusiran adalah hamparan ujian yang terhampar dari Mesir, Iraq, Syria,
Jordan, Palestin, Arab Saudi, Yaman dan sebagainya.
Hasan al-Banna telah menoreh
sejarah dunia moden dengan darah yang tumpah berlimpah dan merakamkan namanya
di langit sejarah. Rakaman hidupnya direncah dengan hamparan mehnah dan
ibtila', yang akhirnya telah membenarkan janjinya kepada Allah SWT. Almarhum
berkelana ke alam abadi selepas satu konspirasi membunuhnya pada 12 Februari
1949, di mana beliau ditembak dalam keadaan yang cukup terancang oleh agen
Farouk. Babak-babak hitam ini sangat menyentuh perasaan dan wajar dikenang oleh
para amilin dan abnaul harakah, jalan juang ini tidak terhampar dengan
permaidani merah.
Darah yang bergenang tumpah
tidak dibenarkan untuk dirawat oleh pihak hospital sehingga pendarahan yang
banyak telah menyebabkan Hasan al-Banna kehilangan nafas. Namun catatan takdir
yang berlaku, dengan darah yang harum mewangi ini telah menjadi baja kepada
sebuah kebangkitan Islam dalam tempoh yang panjang, dan terkini, menyaksikan
Mesir dilanda 'sergahan langit'. Rejim Mesir yang mewarisi legasi firaun
tersungkur dengan palitan lumpur aib yang terhebat dalam sejarah moden.
Hasan al-Banna dan Ikhwanul
Muslimin telah mewariskan kepada dunia moden akan longgokan karya untuk
dikunyah, serta fikrah perjuangan Islam yang dicetuskan telah menjadi teks
wajib kepada generasi kebangkitan Islam pada dekad-dekad 1970-an, 1980-an dan
sehinggalah hari ini. Cacatlah seorang manusia jika kuping telinganya tidak
pernah diterjah dengan idiom Ikhwanul Muslimin dan nama Hasan al-Banna.
Tidak ada penjuru dunia yang
tidak tersentuh dengan pemikiran almarhum kerana sejarah perjuangannya telah
dipahat dengan seribu keteladanan seperti sabar, amanah, berani bersuara,
menyantuni pengikut, kuat beribadah, pengarahan yang jelas, serta semenjak
kecil lagi diasuh dalam lingkungan agama yang mengesankan kehidupan
peribadinya.
Tulisan ini bukan untuk
mengkultuskan Ikhwanul Muslimin. Juga bukan untuk mendewakan Hasan al-Banna.
Namun sosok peribadi ini dan Ikhwanul Muslimin mempunyai segudang pengalaman
sejarah yang cukup bermakna kepada pemerkasaan perjuangan Islam di abad moden
terutamanya di negara kita sendiri semenjak dekad 40-an lagi.
Pengasasan gerakan Hizbul
Muslimin di Gunung Semanggol pada tahun 1948 juga berinspirasikan dan
bermodelkan gerakan ini (Khoo Kay Kim, 1994). Seterusnya bersambung dengan
Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS), dan diperkasakan lagi dengan kemunculan
ABIM (1971). Ia disuburkan lagi dengan gerakan kebangkitan Islam terutamanya di
kalangan mahasiswa universiti tempatan dan luar negara pada dekad 1970-an dan
1980-an yang juga mendapat suntikan fikrah daripada maestro dakwah ini serta
gerakan fenomenal abad ke-20.
Generasi dan peserta
kebangkitan Islam menghadamkan karya tulisan tokoh Ikhwanul Muslimin seperti
Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Said Hawwa, Mustapha Mashyur, Dr. Mustapha Sibaie,
Dr. Karim Zaidan, Syeikh Abdul Aziz al-Badri, Umar at-Tilmisani, Zainab al-Ghazali,
Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain lagi tokoh ulung mereka. Kesan pencerahan
daripada sumur akal yang jernih, misi dan visi dakwah yang jelas, keikhlasan
daripada dasar hati yang paling mendalam untuk melihat kemenangan Islam, maka
karya-karya ini merubah ufuk berfikir umat Islam.
Begitu juga dengan petikan
nukilan kata daripada Syeikh Hassan Hudhaibi dan asy-Syahid Sayyid Qutb yang
memperkatakan tentang almarhum yang lahir daripada kebeningan hati yang merasa
begitu terhutang budi kepada jasa dan sumbangan Hasan al-Banna terutamanya
dalam meletakkan dinamika tarbiah (kaderisasi) dalam jamaah Ikhwanul Muslimin.
Sejarah adalah cermin yang
berdiri memantulkan refleksi ajaib sebagai ibrah kepada yang ingin mengambil
keteladanan. Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin mempunyai seribu alasan untuk
kita jadikan sebagai teladan perjuangan di zaman moden, selain teladan yang
wajib kita jejaki iaitu Rasulullah SAW dan generasi al-Quran. Kita wajib
berjiwa besar di jalan dakwah ini, apatah lagi di medan politik Islam bernuansa
dakwah. Yang gopoh dan gelojoh, akhirnya akan terjun daripada bahtera dakwah,
namun bahtera tetap mara membadai arus perjuangan!
(Penulis ialah AJK Pas Pusat,
Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)
0 comments: