KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
23 Rabiul Akhir 1436H / 13 Februari 2015M
"MENYAMBUNG WARISAN
ALMARHUM TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ"
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
kehilangan tokoh penting yang kembali mengadap Pencipta, Allah azza wajalla
iaitu al-Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sesungguhnya pemergian Almarhum
kerahmatullah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti khususnya kepada
PAS dan amnya kepada negara serta seluruh umat Islam.
Almarhum adalah pemimpin, guru,
bapa dan sahabat yang telah mendamba dan memperhambakan diri kepada al-Khaliq
dengan teguh menyambung usaha Rasulullah SAW dan para Nabi menegakkan risalah
agama ini.
Dunia dan umat kurun ini telah
menyaksikan, bahawa Almarhum telah meletakkan bumi Serambi Makkah yakni
Kelantan ke peta dunia dalam istiqamahnya beliau memartabatkan Islam di negeri
itu.
Almarhum juga negarawan di mana
telah melakar sejarah sejak usia mudanya bersama PAS untuk memperjuangkan
wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana
di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah,
sebagaimana nyata di dalam Perlembagaan PAS.
Tuan Guru Dato' Nik Aziz juga
seorang ulama yang tekun menyebar aqidah Islam dan bertegas terhadap semua
idealogi asing.
Pemergian Almarhum telah
meninggalkan tapak kukuh dan jasa yang mesti dilangsungkan oleh generasi Islam
hari ini dengan itqan sebagaimana telah diteladaninya.
Antaranya untuk melaksanakan
Enakmen Syariah dalam perundangan negeri Kelantan, menjadi amanah dan warisan
yang wajib disambung.
Semoga roh Almarhum berbahagia
di sisi Allah dan dipertemukan dengan roh Rasulullah yang dicintanya sepanjang
hidup.
Saya merakamkan takziah kepada
seluruh ahli keluarga serta para pendokong dan penyokong PAS semoga kita redha
dan sama-sama bersabar menghadapi saat-saat sukar ini.
DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI
AWANG
Presiden PAS
0 comments: