NGO
TERENGGANU TIDAK SETUJU PR PBT
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KUALA LUMPUR: Gerakan Anak
Terengganu Insaf (Ganti) menyifatkan idealisme untuk mengadakan Pilihan Raya
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidaklah seindah realiti sebenar yang berlaku
kepada masyarakat.
Presidennya, Ahmad Amzad
Hashim berkata, jika dirujuk agihan peruntukan tahunan oleh Kerajaan
Persekutuan bagi tujuan pembangunan, angka-angka yang disalurkan ke kawasan
bandar khususnya Lembah Klang adalah sangat besar.
“Di situ tertumpu banyak
PBT yang menjadi ‘stakeholders’ penting dan berpengaruh kepada pelaksanaan.
Banyak kesan dan ruginya nanti jika PBT ditentukan oleh penduduk bandar
berkenaan sahaja.
“Sedangkan di bandarlah
segala urusan berkaitan pentadbiran dan pengurusan hasil mahsul, perusahaan dan
macam-macam lagi yang berada di seluruh negara dan negeri dipusatkan.
‘Stakeholder’ kepada bandar bukanlah penduduk bandar sahaja, tetapi seluruh
negeri berkepentingan terhadap PBT,” ujarnya dalam satu kenyataan 6 Februari.
Menurut Ahmad Amzad, beliau
beliau bersetuju dengan pandangan dilontarkan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri
Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dilihatnya diambil berdasarkan rujukan-rujukan
terdahulu termasuk tokoh pemikir sosiologi dunia, Ibnu Khaldun.
Beliau turut memuji
Presiden PAS itu kerana membuat pertimbangan bukan berdasarkan emosi berbanding
DAP yang dinilainya cenderung kepada isu-isu sensitif terhadap umat Islam dan
Melayu seperti arak, pusat hiburan, konsert, lokasi strategik perniagaan, iklan
dan papan tanda, Bahasa Melayu serta tulisan Jawi.
“Dr Nordin Sopiee dalam
buku karangannya “From Malayan Union To Singapore Separation” pun ada mengulas
isu ini dalam konteks sejarah Tanah Melayu,” maklumnya.
Sementara itu, Persatuan
Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) turut tidak bersetuju dengan cadangan
pihak tertentu yang mahu mengadakan pilihan raya PBT.
Naib Presidennya, Mohd
Shuhaimi Embong berkata, kepentingan politik dan kekuasaan atau perjawatan
tidak harus hingga mengenepikan sesetengah pihak.
Jelasnya, dalam konteks
PBT, realitinya banyak kawasan luar bandar yang terpinggir dan diabaikan,
sementara tumpuan termasuk perkhidmatan cenderung berpusat di bandar.
“Pentadbiran PBT yang ada
pada hari ini pun masih banyak perkara khususnya sistem penyampaian yang perlu
diperbaiki, ketidakseimbangan pun masih ketara walaupun dalam satu negeri.
Sebab itu wajar ia tidak terus ditompokkan atau terfokus hanya kepada bandar
dan cenderung kepada kepentingan masyarakat bandar sahaja.
“Lebih baik ia dilihat
sebagai kepentingan negeri di mana kerajaan negeri melihat agihan secara
menyeluruh serta meluaskan peranan PBT hingga menjangkau kawasan luar bandar
khususnya perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk, bukan hanya yang berkait
pulangan hasil semata-mata,” ujarnya.
Beliau turut tidak
bersetuju dengan pandangan peribadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja
Bahrin Shah yang melihat masalah pentadbiran PBT dalam Kuala Terengganu
semata-mata.
Jelas Shuhaimi, perkara ini
perlu dilihat secara lebih luas terhadap kesan pelaksanaannya di seluruh negara
dalam realiti taburan kepelbagaian kaum penduduk Malaysia.
Sebaliknya, beliau
menyokong pandangan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man agar perkara
itu dikemukakan secara proses tatacara demokrasi negara yang betul.
“Sepatutnya DAP atau mana-mana pihak yang berkepentingan dalam
hal ini, bawalah undang-undang persendirian atau meminda Akta Kerajaan Tempatan
1976 bagi membolehkan rakyat memilih Ahli-ahli Majlis dan Datuk Bandar atau
Yang DiPertua PBT melalui proses demokrasi,” serunya.
0 comments: