Pasca Banjir Dan Hudud, Jangan Matikan Enjin


KUALA LUMPUR: Usaha untuk membantu mangsa banjir tidak wajar membantutkan perancangan untuk melaksanakan hudud di negeri Kelantan.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata tempoh pasca banjir pada hari ini memasuki fasa pembinaan rumah-rumah kediaman serta pemulihan emosi mangsa banjir yang terlibat.

Menurutnya, ia bukan lagi fasa kritikal menyelamatkan nyawa seperti di saat banjir memuncak.

Katanya, kerajaan negeri sedang di dalam proses yang lancar membantu mangsa banjir dengan membina rumah-rumah kediaman dan Menteri Besar sendiri tidak menang tangan untuk turun ke setiap kawasan meninjau projek-projek pembinaan yang sedang berjalan dengan rancak.

"Tinjau sahaja laman sosial beliau sebelum anda berkata Menteri Besar Kelantan tidak lakukan apa-apa," tulisnya menerusi facebook.

Tambahnaya, adapun hudud, dirancang, dirangka, dibentang hanya oleh segelintir tenaga profesional yang terlibat.

"Mereka bersidang dan bermesyuarat dari tahun lepas sehingga ke tahun ini demi memastikan undang-undang ini dapat diluluskan melalui saluran undang-undang negara.

"Berjalanlah proses ini tanpa menjejaskan tumpuan kerajaan membangunkan negeri di pasca banjir," ujarnya lagi.

Beliau berkata, tenaga-tenaga yang turun ke seluruh negeri untuk membantu mangsa banjir juga tidak perlu terjejas tumpuan mereka hanya kerana hudud.

"Hudud untuk keadilan, hudud untuk keselamatan dan hudud untuk keredhaan Allah SWT.

"Menyatakan bahawa Kelantan wajar tumpukan usaha kebajikan sebelum laksana hudud ialah satu kata-kata yang batil," katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa agensi yang bertanggungjawab untuk pasca-banjir supaya meneruskan bergerak dan jangan sekali-kali matikan enjin.

"Agensi yang bertanggungjawab untuk hudud, jangan sekali-kali berhenti melangkah!" ujarnya. - HARAKAHDAILY 8/2/2015

0 comments: