PERUTUSAN SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU CINA 2015


Salam sejahtera kepada semua rakyat Kelantan di kalangan masyarakat Tionghua. Saya ingin mengucapkan Selamat tahun Baru Cina 2015, semoga kedatangan tahun baru ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelum ini.

Tahun Kuda sebelum ini bagi masyarakat Tionghua mempunyai seribu satu makna kegembiraan dan ianya telahpun berlalu. Manakala pada tahun kambing ini yang sesuai sebagai binatang yang jinak dan berhabitat baik diharapkan ianya membawa sinar harapan ke arah membina masyarakat pemurah, adil, kasihan belas dan sentiasa pedulikan antara satu sama lain. Tahun kambing bagi masyarakat cina membawa erti kedamaian dan kemakmuran semoga ianya dapat diterapkan sepenuhnya dalam masyarakat di Negeri ini.

Masyarakat Tionghua khususnya di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara kita dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India, kita telah bersama-sama memberikan sumbangan ke arah lahirnya sebuah Negara yang lebih adil dan aman buat semua. Kita mengharapkan nilai demokrasi dan keadilan dalam Negara kita dapat dipenuhi seluruhnya.

Islam sebagai agama yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa. Lantaran itu, Islam memerintahkan agar berlaku adil kepada semua manusia tidak mengira bangsa dan agama. Semua pihak mendapat hak di sisi Islam. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain melainkan dengan berlaku baik dan ikut agama atau takwa.

Sempena menyambut tahun baru cina 2015, janganlah lupa kepada saudara kita yang menjadi mangsa banjir besar baru-baru ini, kita mestilah saling tolong menolong antara satu sama lain, tidak mengenal bangsa, agama juga Negeri. Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak khususnya dikalangan masyarakat Tionghua yang memberi sumbangan besar dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Negeri ini.

Akhir kata, “ Gong Xi Fa Cai, Yang Nian, Sicit Yang Yang Cai Yen Kuan Cin”


Sekian, Terima Kasih.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

0 comments: