Pra Syarat Kemenangan Kita Siri 08


24. Keikhlasan adalah rahsia antara seorang pejuang dengan Tuhannya. Ia pula menjadi sumber utama yang menentukan Nusrah (pertolongan \ kemenangan daripada Allah swt. Keikhlasan seorang pejuang merupakan jambatan utuh antara dirinya dengan Allah swt. dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat (taqarrub) yang berterusan. Melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan pertolongan dan kemenangan.


25. Masakan tidak, kerana keikhlasan melahirkan kesungguhan bekerja dan bertugas tanpa mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit. Kesungguhan tersebut pula akan menghasilkan kualiti perjuangan yang tinggi malah turut merningkatkan reputasi pejuang itu sendiri.


26. Keikhlasan turut berfungsi sebagai formula yang sangat berkesan untuk membunuh virus yang terbit dari sifat mazmumah (negatif) seperti :

i ~ Riya' : رياء (bekerja untuk diperlihatkan kepada umum kononnya ia seorang yang rajin dan tekun sedang prestasinya merosot jika tiada orang melihat aksinya)

ii ~ U'jub : عجوب ( bangga diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada jamaah dan merasakan orang lain tidak sepertinya)

iii ~ Hubbu Riyasah : حب الرياسة ( cinta jawatan sehingga mendorong berlakunya lobi melobi, politik cantas, gerakan sulit menjatuhkan rakan, membunuh karektor, fitnah ) dan sebagainya yang merosakkan keikhlasan beramal dengan Amal Islami.


27. Tanpa keikhlasan dalam perjuangan, biarpun sehebat mana pengaruh dan publisiti yang berjaya diraih kesannya sangat memudaratkan jamaah. Paling minima kesan yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan kemanisan berjuang. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan jamaah dan kemuncaknya ialah Allah swt membatalkan jadual kemenangan yang telah dijanjikanNya.


Nasrudin bin Hassan
Pengarah Jabatan Pilihanraya
Dewan Ulamak PAS Pusat



0 comments: