
PRESIDEN PAS PEMIMPIN BERTARAF DUNIA
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
BATU PAHAT: Ahli PAS patut
berbangga memiliki pemimpin bertaraf dunia iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang yang juga Naib Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam
Antarabangsa.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, Tuan Guru sejak zaman belajarnya
telah terpilih mengikuti usrah Ikhwanul Muslimin di bawah kendalian Sayyid
Hawwa dan Prof Dr Mohamad al-Wakeel.
Dengan sebab itu katanya, Tuan
Guru telah disenarai hitam dari masuk ke Mesir, tetapi kemudiannya dapat
menjejak ke bumi tersebut semasa menjadi Menteri Besar Terengganu.
Cerita beliau, semasa ke Mesir,
Tuan Guru telah singgah di Ibu Pejabat Ikhwanul Muslimin iaitu Maktab Irshad di
mana di situ terdapat Jawatankuasa Tertinggi Ikhwanul Muslimin dan apabila
waktu solat, mereka telah meminta Tuan Guru mengimamkan solat jamaah.
Sedangkan menurutnya, sukar
bangsa Arab mengiktiraf orang ajam, tetapi Tuan Guru mendapat tempat di
kalangan ulama dan bangsa Arab.
Hal itu ujarnya, menunjukkan
keutamaan beliau di kalangan ulama di mana Tuan Guru merupakan pemimpin senior
Ikhwan yang masih hidup.
“Mesir di awal pemerintahan
Ikhwan (menerusi) partinya FJP belum stabil sepenuhnya. Syeikh Mohammad Badie’
(Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin) setiap malam menghubungi Tuan Guru meminta
pandangan. Orang beri penghargaan tinggi di peringkat antarabangsa terhadap
Tuan Guru.
“Beliau juga menjadi tempat
rujukan kepada tokoh-tokoh besar Gerakan Islam antarabangsa serta berjaya
menyelesaikan banyak krisis dunia Islam sehingga tokoh ilmuan Islam, Dr Mahmud
Siyyam menyebut Syeikh Abdul Hadi seorang faqih yang terlibat di medan
masyarakat,” ujarnya pada Hiwar Siyasi di Parit Raja, di sini baru-baru ini.
Dr Riduan turut membidas
dakwaan pihak tertentu kononnya pemikiran Tuan Guru terjejas disebabkan stroke
kecil dialaminya baru-baru ini.
Terang beliau, selepas sakit,
hafalan al-Quran Tuan Guru tidak berubah di mana walaupun lewat pulang dari
program parti dan hanya berbaki beberapa jam untuk tidur, Presiden PAS itu
tetap menghabiskan waktunya dengan membaca al-Quran dan hanya tidur sekitar dua
jam.
Malah menurutnya, apabila
mengimamkan solat, Tuan Guru membacakan ayat dari surah-surah yang
panjang.
“Kalau kita asyik “Inna
‘aqtaina...” dan “Qulhuwallah” sahajalah. Tuan Guru juga sangat kuat membaca
dan mengetahui banyak buku lama dan baru. Jadi siapa kita nak kata Tuan Guru
kurang akal? Siapa kita?” persoalnya.
Hal itu tegasnya, membuktikan
bahawa pemikiran Tuan Guru tidak terjejas disebabkan sakit yang dialaminya
sebagaimana tuduhan pihak tertentu.
Menurut beliau, Tuan Guru
walaupun disebalik kesibukannya, tetapi telah menulis lebih 40 buku bertemakan
Islam termasuk Tafsir at-Tibyan.
Di mana terang Dr Riduan,
walaupun berjalan jauh, Tuan Guru tetap menulis termasuk di atas kapal terbang
hingga bukunya diterbit dalam pelbagai bahasa dan tersebar di seluruh negara
umat Islam.
0 comments: