“Wahai orang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik yang membawa berita maka selidiklah dulu dengan teliti. Agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang membuatkan kamu menyesal atas perbuatan mu itu”, Surah al Hujurat ayat ke 6.
Kini, penggunaan media sosial seperti applikasi Whatsapp, Facebook, Telegram, Instagram dan sebagainya semakin meluas. Hatta, pelajar sekolah juga mempunyai akaun applikasi tertentu dan kadangkala mencapai angka ribuan pengikut. Ini adalah fenomena yang tidak boleh disangkal lagi.
Justeru itu, Jabatan IT Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah dengan kerjasama Lajnah IT Bdan Perhubungan PAS Negeri Sabah telah mengadakan sebuah program khusus untuk memberikan garis panduan kepada ahli gerakan Islam mengenai etika penggunaan media sosial yang berlandaskan syariat. Program yang berlangsung dengan jayanya pada 22 Februari lalu telah diadakan di Likas dan dihadiri oleh 30 orang peserta dan ahli jawatankuasa.
Sebanyak dua kertas kerja yang telah dibentangkan iaitu ‘Kesan Penggunaan Gajet Kepada Keluarga’ dan ‘Etika Media Sosial Kepada Ahli Gerakan Islam’. Kertas kerja pertama menyentuh beberapa perkara seperti ‘ Kesan Penggunaan Gajet Kepada Mental, Emosi Dan Fizikal Keluarga’ dan ‘ Anak Gila Gajet’. Kertas kerja kedua pula membincangkan mengenai etika media sosial seperti ‘Budaya Printscreen: Patuh Syariah Atau Tidak’, ‘Keyboard Warrior Tanpa Adab’ dan ‘Budaya Copy-Paste-Forward: Tanpa Selidik’.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Tuan Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Aminuddin Aling dan beliau berpesan agar ahli gerakan Islam perlu menjadikan media sosial ini sebagai medan dakwah, siasah dan tarbiyah yang apabila digunakan, ia dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam dan politik Islam. Selain itu, beliau juga berpesan agar pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak ditingkatkan kerana gajet mempengaruhi hampir keseluruhan hidup anak-anak masa kini. Leka dengan gajet boleh menyebabkan mereka tidak peka dan sensitif kepada persekitaran mereka.
Seminar yang berakhir pada pukul 1.00 tengahari ini diakhiri dengan sesi bergambar.
0 comments: