Tahun Kambing Bebiri Tahun Harmoni Bagi Masyarakat Cina


Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina untuk menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Tahun Baru Cina melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan menurut kepercayaan mereka.

Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali dan berkumpul di rumah masing-masing. Rumah akan dibersihkan dan segala hutang-piutang akan dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi oleh hutang sepanjang tahun yang baru.

Biasanya mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau hantu dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan  bunga dan pokok limau dan  buah limau sebagai simbol murah rezeki.

2015 adalah tahun Kambing Bebiri. Sesetengah orang mengatakan 2015 adalah tahun Kambing Bebiri Hijau atau tahun Kambing Bebiri Kayu. Menurut kepercayaan masyarakat Cina ianya merupakan tahun yang cenderung lebih tenang, harmonis dan damai.

Di tahun ini, akan lebih banyak orang yang mahu berkompromi, hidup dengan menghilangkan segala perselisihan dan berusaha agar sentiasa mengutamakan musyawarah untuk mencapai mufakat dari terus berkonflik antara satu sama lain.

Kita harap pada tahun ini segala masalah perselisihan antara kaum dan agama dapat diselesaikan secara harmoni dengan menghormati kepercayaan dan budaya masing-masing agar tidak timbul perkara yang boleh merosakkan hubungan antara kaum dan agama dalam negara kita.

Seperti biasa, Tahun Baru Cina juga kita akan menyaksikan budaya balik kampung dikalangan masyarakat Cina yang tinggal di perantauan. Apabila warga luar bandar yang bekerja di kawasan bandar, serta yang belajar dan bekerja dari seberang laut di seluruh dunia pulang ke kampung halaman untuk berjamuan bersama sanak saudara pada malam Tahun Baru. Pastikan sebelum balik kampung utamakan keselamatan serta berhati-hati memandu di jalanraya semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

PAS Sarawak ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini agar pada tahun baru ini, rakyat Malaysia dapat hidup harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.


Jofri Jaraiee

PAS, Sarawak

0 comments: