TAJDID HADHARI FIQH BERNEGARA
Oleh
IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
BANGI: Perbincang semula mengenai model
pemerintahan Islam yang telah menjadi bukti kesejahteraan dan kemajuan tamadun
manusia sebagaimana dicapai Kerajaan-kerajaan Islam terdahulu perlu disegarkan
kembali kepada masyarakat, demikian menurut Pengerusi Darul Fuqaha, Dato’ Dr
Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
Beliau berkata demikian ketika menghurai
tema “Tajdid Hadhari Fiqh Bernegara” pada Nadwah Ulama di Darul Fuqaha, Sungai
Merab, di sini 3 Februari lalu.
“Sebagai contoh Al-Imam Hasan al-Banna
mujahid pada abad kita pada hari ini. Beliau telah mengembalikan manusia untuk
membincangkan mengenai Khilafah Islamiyah, yang sudah mula jatuh. Ertinya
beliau bukan datangkan perkara baru, tetapi memperbaharui sesuatu yang mula
dilupakan oleh manusia dalam alam penjajahan.
“Memperbaharui sesuatu yang sedia ada,
dianggap lama, kusam, ditinggalkan, dilupakan, tak diingat oleh orang, orang
mudah lupakan. Maka diperingatkan balik. Dalam hadis Nabi SAW sebut di setiap
100 tahun, datang orang yang akan mentajdidkan agama. Mentajdidkan agama bukan
makna bawa agama yang baru. Agama yang dirasakan suram, agama orang dah lupa
hukum hakam, diperingatkan balik.
“Bila kita sebut ‘tajdid hadhari’,
bermaksud kita mahu memperbaharui balik satu ketamadunan, satu kehidupan
perbandaran, maju, menggambarkan sistem negara yang hebat. Diperbaharui macam
mana? Dalam konteks feqah bernegara,” terangnya yang juga Ahli Jawatankuasa
Kerja PAS Pusat.
Menurutnya, masyarakat perlu didedahkan
semula mengenai fiqh bernegara atau ilmu ketatanegaraan melibatkan pembentukan
dan pentadbiran negara; pemilihan pemimpin; peranan kerajaan; pengurusan
ekonomi, sumber dan kewangan; sosial kemasyarakatan; perundangan dan
penguatkuasaan serta hubungan antarabangsa.
Ujarnya, sikap tidak mengambil tahu
mengenai hal-hal tersebut adalah pemikiran yang salah dan mesti ditangani
dengan menyeru perbincangan kembali kejayaan pemerintahan Islam selama 13 kurun
dalam semua sudut agar tidak terus dilupakan.
Terang Ustaz Khairuddin, masyarakat kini
dalam banyak bidangnya telah berkiblatkan kapitalis, liberal dan komunis,
selain terpesona dengan sosialis serta terperangkap dengan demokrasi.
Kecelaruan ini katanya, hinggakan
masyarakat melihat soal tata kelola urus tadbir negara baik (good governance)
hanya dari sudut Barat tanpa melihat kebaikan yang banyak ditunjukkan para
khulafak dan alim ulama Islam.
Melanjutkan perbincangan, beliau
menghurai mengenai siyasah syariyyah yang menekankan bentuk urus tadbir oleh
pemerintah dengan tujuan memperelok atau ‘islah’ menjadikan kehidupan
masyarakat semakin baik mengikut syarak.
Perkara itu ujarnya, telah menjadi
perbincangan para ulama dengan dimulai soal pemilihan ketua negara, di mana
perkara itu turut dipandang enteng masyarakat Islam hari ini.
“Telah jadi ijmak, pemilihan ketua negara
sebagai kekhalifahan adalah untuk mengganti tempat kenabian. Syarat utama
mestilah Islam dan adalah idea pemikiran yang salah apabila memilih bukan Islam
sebagai ketua dan bercanggah dengan siyasah Islam.
“Syarat ditegaskan juga oleh ulama
sebagai syarat tambahan iaitulah seorang yang mampu berijtihad dari al-Quran
dan as-Sunnah secara spontan yakni ada kemampuan mengistinbat hukum sebagai
ketua negara dalam semua perkara.
“Kalau tiada (pemimpin mujtahid), tetap
sah, tetapi dia perlu bergantung kepada ahlul halli wal aqd yang beri panduan
nasihat pada khalifah serta ada kuasa memutuskan. Kalau khalifah itu sendiri
mujtahid, ia satu kredit, ia awlawiyah. Jika tiada mujtahid, keimaman (ketua
negara itu) tetap sah,” perjelas beliau.
Katanya, ketua negara mujtahid akan mampu
memimpin semua perkara berkaitan kehidupan manusia dengan dasar yang
menghadirkan rahmat untuk semua.
Malangnya ujar beliau, masyarakat hari
ini diperintah kerajaan yang berpegang kepada sistem parlimen Barat dengan
menjadikannya sebagai asas kenegaraan.
Beliau turut menempelak kaedah belanjawan
negara pada masa yang berasaskan anggaran pendapatan dan perbelanjaan.
Jangkaan kerajaan menurutnya, bergantung
kepada hasil minyak negara untuk pendapatan di mana penurunan harga minyak
telah menjejaskan perancangan kewangan hingga Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd
Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pengurangan RM5.5 bilion baru-baru ini.
Sedangkan belanjawan Islam katanya,
dirangka berdasarkan wang dan hasil sedia ada dan mengutamakan hasil ekonomi
untuk rakyat.
Beliau turut menegaskan kepentingan
menyusun keseimbangan sosial antara kaum sebagaimana telah diteladankan
Rasulullah ketika memimpin masyarakat Madinah yang pelbagai kaum.
0 comments: