Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KELANA JAYA: Menyelesaikan perselisihan di dalam PAS mestilah menurut kaedah yang dipandukan Allah dan Rasul, bukannya berdasarkan emosi dan akal semata-mata, demikian tegas Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Ujarnya, perselisihan yang berlaku adalah angkara golongan tidak taat kepada pemimpin serta mempersoalkan pemimpin sebagaimana peristiwa berlaku ke atas Khalifah Ali bin Abi Thalib KW.
Berdasarkan ayat 9 surah al-Hujurat, beliau menjelaskan bahawa tafsiran para ulama adalah sesiapa menderhaka kepada pemimpin yang sah, maka hendaklah diperangi mereka itu sehingga kembali kepada perintah Allah.
“Apa perintah Allah? (Iaitu) Taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada rasul dan kepada mereka yang diberi urusan memimpin kamu. Apakah perintah Rasulullah? Taat, patuh kepada pemimpin itu wajib. Dalam konteks PAS patuh dan taat kepada pemimpin adalah wajib.
“Pada perkara kamu bersetuju, kamu suka dengan pemimpin yang buat kenyataan seperti itu, keputusan seperti itu, kamu setuju, wajiblah kamu ikut. Pada perkara kamu benci, tak setuju, wajiblah selama mana dia tidak menyuruh kepada maksiat, sekiranya dia menyuruh kepada maksiat, maka pada ketika itu tidak wajib patuh dan tidak wajib taat.
“Ulama tafsir menjelaskan, Allah menurunkan ayat ini yang kemudian peristiwa daripada ayat ini berlaku di zaman Khalifah Ali KW. Ulama menyebut tentang peperangan yang berlaku di antara Ali dengan Saiyidina Muawiyah bin Abi Sufiyan RA,” terangnya pada Hiwar Siyasi di Pejabat PAS Kawasan Kelana Jaya, Subang Mewah, di sini baru-baru ini.
Cerita beliau, Saiyidina Ali telah dipersoalkan sebab berlakunya fitnah di zamannya itu sedangkan tidak berlaku pada zaman sebelumnya, lalu dijawab Ali bahawa di zaman sebelumnya, pengikut adalah orang sepertinya yang taat kepada pemimpin.
“Di sinilah yang menjadi kunci kepada kita. Mengapa fitnah perselisihan ini berlaku di zaman kita? Tidak berlaku di zaman sebelumnya? Kerana ramai (pengikut) di zaman sebelumnya termasuk pemimpin-pemimpin yang berada di bawah Almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, di bawah Almarhum Ustaz Fadzil Noor, mereka itu adalah (seumpama) Saiyidina Ali di zaman Saiyidina Umar.
“Yang ada di zaman kita ini, termasuklah pelajar-pelajar universiti yang baru keluar, yang sedang belajar sekarang, dia boleh sebut Presiden (PAS) jahil. Dia tu baru nak tahu tentang politik. Presiden sudah menyertai politik tahun 1967, sudah menjadi musleh yang mendamaikan kes pertelingkahan politik di Syria dan juga pertelingkahan politik di Yaman. Pernah dihantar oleh PAS sewaktu dia masih muda untuk menguruskan, menjadi mediator politik PAS dengan Tun Dr Mustapa sewaktu jadi Ketua Menteri.
“Boleh ahli-ahli kita yang mendakwa ditarbiyah oleh PAS menyatakan Presiden jahil? Atas asas dia kata, itu adalah kebebasan bersuara. Inilah golongan yang berada di zaman Saiyidina Ali, mereka yang mempertikai Saiyidina Ali sehingga berlaku fitnah,” tegasnya menyeru ahli PAS agar berpegang kepada kewajipan mentaati pemimpin supaya PAS menjadi jamaah yang terbaik dan bersatu.
0 comments: