1. Sejak penurunan harga runcit RON95 dari RM 2.30 kepada RM 1.70, harga sesetengah barang keperluan dikatakan masih tinggi dan tidak mencerminkan keadaan semasa. Perkara ini dijangka akan menjadi lebih buruk sehingga menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada 1 April 2015 nanti.
2. Asasnya, sesuatu harga bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran. Sebahagiannya mempunyai subsidi dan dikawal oleh kerajaan. Manakala, terdapat juga harga yang sukar dikawal kerana ia dimonopoli oleh sesetengah pihak. Malah, terdapat juga walaupun harga barang tersebut naik, permintaan juga turut naik.
3. Isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan mesti diselesaikan mengikut jenis dan tempat. Sukar untuk generalisasikan kaedah penguatkuasaan untuk mengekang harga barang, namun pengguna harus diberikan kesedaran serta kemudahan akses bagi membuat aduan terhadap peniaga atau pembekal yang degil seperti mencipta aplikasi aduan menerusi telefon.
4. Saya ingin menyarankan beberapa perkara.
a) kerajaan mesti menurunkan harga barang kawalan seperti gula, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak dan tepung gandum. Penurunan harga barang-barang tersebut dijangka memberi kesan positif terhadap harga jualan makanan dan minuman.
Contohnya, harga gula pada 1 Januari 2010 ialah RM 1.65 sen sekilo dan ia terus mencatatkan kenaikan sehingga RM 2.84 sen pada 10 Oktober 2013. Pemansuhan subsidi gula sebanyak RM 0.34 sen telah menjimatkan perbelanjaan kerajaan kira-kira RM 550 juta setahun.
Pada masa yang sama, jika merujuk kepada pasaran harga ‘raw sugar’ juga telah menunjukkan penurunan yang ketara. Berapa pula keuntungan yang telah dijana oleh empat buah kilang pemprosesan gula di Malaysia?
b ) Begitu juga, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah telah menyebabkan beberapa peniaga di Kuala Lumpur menjual harga gas 14kg dari RM 29.50 sehingga RM 32.00 walhal ia telah ditetapkan pada paras RM 26.60 sahaja.
c ) Selain daripada penurunan harga barang kawalan, mungkin agak rumit untuk menurunkan tarif elektrik walaupun harga bahan api turun kerana ia turut bergantung kepada beberapa kos tetap seperti LNG dan gas asli.
d ) Namun, seperkara lagi yang mesti diturunkan ialah kadar tol terutamanya yang menghubungkan jalan-jalan utama di sekitar Lembah Klang. Terdapat beberapa buah syarikat konsesi lebuh raya yang dimiliki sebahagiannya oleh kerajaan seperti Prolintas (PNB), IJM Corporation Berhad (Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Haji dan PNB) dan PLUS (UEM, Khazanah Nasional Berhad).
5. Penurunan beberapa item yang disebutkan di atas mampu membentuk persekitaran positif terhadap pengguna sekurang-kurangnya bagi mendepani pelaksanaan CBP yang semestinya tidak dipersetujui oleh saya dan sejumlah besar rakyat Malaysia yang lain.
0 comments: