UCAPTAMA PEMANGKU KETUA
DEWAN ULAMA PAS PUSAT DI MULTAQA ULAMA SEMALAYSIA 2015
TERUS ISTIQAMAH BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya
orang-orang yang menegaskan dengan berkata: "Tuhan kami adalah
Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang benar, akan
turunlah malaikat kepada mereka seraya berkata "Janganlah kamu takut dan
janganlah kamu berdukacita, terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh
syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. ( Fussilat :30 )
Alhamdulillah, marilah
sama-sama kita merafakan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT
diatas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita semua dalam
memperjuangkan agama-Nya diatas muka bumi ini. Sempena Multaqa Ulama
Se-Malaysia yang di anjurkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada tahun ini, saya
mengajak seluruh hadirin dan hadirat untuk mengingati kembali penglibatan awal
kita ke dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS. Jadikanlah intima kita dalam PAS
adalah semata-mata untuk mardhatillah dan buka selainnya.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Terus Istiqamah Bersama
Kepimpinan Ulama dipilih sebagai tema kepada Multaqa Ulama Se-Malaysia kali ini
adalah sebagai menyahut seruan Presiden PAS yang terkandung dalam ucapan dasar
beliau Terus Beristiqamah. Tuntutan beristiqamah ini amat bersesuaian dan tepat
memandangkan cabaran dan tribulasi perjuangan PAS pada hari ini semakin
mencabar dari luar dan dalam. Hanya mereka yang istiqamah mampu menghadapinya
dengan tenang. Berapa ramai pejuang terdahulu dalam PAS yang telah meninggalkan
kita dan mereka berjuang dengan penuh istiqamah dan kita pada hari ini
ditegaskan agar terus beristiqamah diatas dasar perjuangan yang telah
ditetapkan.
Baharu 10 hari lepas kita
dikejutkan dengan pemergian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji
Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sememangnya kita amat memerlukan beliau dalam
mengharungi mehnah perjuangan ini, namun Allah terlebih sayangkan kepada
beliau. Kita telah kehilangan sosok pejuang dan murabbi ummah yang agung dalam
PAS. Beliau telah istiqamah sehingga ke akhir hayat perjuangan dan Allah telah
anugerahkan husnul khatimah yang semua mata menyaksikannya. Sama-sama kita berdoa
semoga Allahyarham Tok Guru ditempatkan di Syurga Firdaus yang paling tinggi,
insya-Allah.
اللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ
وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَدْخِلْهُ الجَنَّةَ يَا رَبَّ
العَالَمِيْنَ
Tuntutan beristiqamah ini
adalah suatu yang utama dan ia adalah sahutan kepada seruan Nabi SAW setelah
kita beriman kepada Allah SWT. Dinyatakan dalam sebuah hadis:
عَنْ سُفْيَانِ بْنِ عَبْدِ
اللهِ قال: قُلْتُ یَا رَسُولَ الله قُلْ لِّيْ فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا
أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ قال : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
Daripada Sufian ibn
Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, Ajarkan untukku
dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain
selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian
hendaklah engkau beristiqamah. (Riwayat Muslim)
Kita wajib beristiqamah
bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan
PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah
Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma Ulama dan Qiyas. Istiqamah dalam
perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, sama ada
dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum
yang tertinggi ini.
Perjuangan suci demi
mendaulatkan agama Allah adalah sebuah perjuangan yang tidak bermusim dan tidak
juga bertepi. Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan.
Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain,
Islam tidak menjadikan isu dan persoalan semasa sebagai landasan utama untuk
kita berjuang akan tetapi persoalan aqidah adalah teras dan dasar perjuangan
PAS.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Matlamat utama perjuangan
Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya
syariat-Nya. Dasar dan pegangan PAS tidak lain adalah memperjuangkan lslam.
Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. PAS yang
ditubuhkan pada tahun 1951 ini mempunyai matlamatnya yang telah jelas iaitu:
i. Menjadikan Islam sebagai
dasar perjuangan serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah.
ii. Bercita-cita melaksanakan hukum Allah di dalam pemerintahan dan seterusnya
mendirikan Daulah Islamiah.
Dalam perlembagaan PAS
sudah dinyatakan hal ini, iaitu dibawah tajuk Tujuan PAS dalam FASAL 5 ceraian
1 berbunyi:
memperjuangkan wujudnya
dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya
nilai-nilai hidup islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Sementara dalam FASAL 6
ceraian 2 nas yang berbunyi:
memperjuangkan islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai
panduan berpolitik dan bernegara.
Dengan tujuan itulah, kita
telah bersepakat untuk menegakkan hukum Allah supaya ia tertegak dalam Negara
kita. Apabila Negeri Kelantan ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang
telah sekian lama diluluskan di Dewan Undangan Negeri, maka ini adalah agenda
utama PAS untuk memberi sokongan yang padu terhadap usaha menegakkan
perundangan Allah yang sudah termaktub dalam perlembagaan PAS ini.
Baru-baru ini, rakyat
berhadapan dengan keputusan kes liwat yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Penghakiman tersebut tidak berlaku berlandaskan prinsip keterangan
undang-undang jenayah Islam. Maka sudah sampai masa rakyat dan Negara kita kembali
kepada prinsip perundangan Islam dan kaedah keterangan undang-undang jenayah
Islam. Keadaan ini menguatkan lagi betapa pentingnya Kerajaan Kelantan
melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan patut disokong oleh semua pihak termasuk
rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Tuntutan kita dalam PAS
pada hari ini ialah membina kekuatan diperingkat anggota parti dan kita pasti
tidak dapat bertahan dalam berhadapan dengan gelombang dan arus yang mencabar
sekiranya kesatuan amal dan kesatuan fikrah (wahdatul fikri wa wahdatul amal)
tidak wujud di kalangan ahli-ahli peringkat bawahan dan pimpinan yang mengemudi
bahtera ini. Oleh yang demikian, perkara ketaatan kepada pimpinan merupakan
suatu yang utama untuk diberi perhatian dalam PAS. Dalam soal ketaatan ini
Allah telah menyatakan dalam firmanNya :
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ
الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ
أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya
jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya
agar Rasul menghukum di antara mereka ialah ucapan, “kami mendengar, dan kami
patuh”, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Surah Al-Nur ayat 51)
Sementara dinyatakan dalam
sabdaan Nabi SAW:
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ
بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
Maksudnya: “Dengar dan taat
adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim dalam perkara yang dia suka atau
tidak, selagi dia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah
kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat (Riwayat Muslim)
Hadis ini menekankan
ketaatan kepada pemimpin selagimana tidak disuruh melakukan maksiat. Oleh itu
keputusan pemimpin dalam situasi dimana pemimpin atau Presiden kita
melaksanakan hak prerogatifnya perlulah diterima dan janganlah mudah
menyalahkan Presiden sekiranya seseorang individu itu tidak berpuashati. Kita
dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu (cabang), tetapi selepas sesuatu
keputusan dibuat, maka tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada
keputusan tersebut, walaupun mungkin bertentangan dengan pendapat sendiri.
Ketokohan YB Dato Seri Tuan
Guru Presiden PAS dalam hubungan luar dan rangkaian kerja gerakan Islam
sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia patutlah
menjadi contoh. Taraf Tuan Guru Presiden adalah taraf Ustaz Mursyid yang tertinggi
dari sudut Hiraki Harakah Islamiyah yang sukar dijumpai dimana-mana. Kepimpinan
Dewan Ulama PAS khususnya dari kalangan ulama pelapis perlulah berjiwa besar
untuk menjadi penerus kepada kecemerlangan rangkaian yang telah dibentuk oleh
YB Tuan Guru Presiden ini.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Akibat tidak taat kepada
keputusan pimpinan tertinggi bermakna seseorang itu telah menempah dosa kerana
telah melanggar baiah yang telah di ikat antara dirinya dan Allah SWT. Ia juga
dikira sebagai pengkhianatan kepada parti. Soal ketaatan ini bukan untuk
memperbodohkan ahli bawahan dan mendewakan pimpinan. Jika dinilai dari sudut
keputusan ketua dan pimpinan parti Islam, maka setiap keputusan itu sebenarnya
bukanlah satu keputusan yang keluar mengikut hawa nafsu tetapi ia mempunyai
fiqahnya yang tersendiri. Ini bersandarkan dalil-dalil syarie untuk menjaga
survival parti dan dasar serta hala tuju parti daripada kerosakan dan
kemusnahan yang bakal menimpa sekiranya masing-masing merasakan dirinya paling
bijak dan mahu membuat keputusan sendiri sesuka hati. Oleh yang demikian, soal
ketaatan bukanlah soal yang remeh kerana ia adalah perkara yang bersifat معلوم
من الدين بالضرورة
Sabda Rasulullah SAW dalam
hal ini:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ
لِيُؤْتَمَّ بِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya
dilantik Pemimpin itu adalah untuk diikuti. (Riwayat Bukhari)
Merujuk kepada apa yang
berlaku mutakhir ini, PAS sebagai parti politik dalam masa yang sama sebagai
harakah islamiyah, mendokong konsep السمع والطاعة dengar dan patuh kepada
kepimpinan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama (MSU) dan Presiden parti.
Ia merupakan persoalan asas dan adab yang tertinggi dalam PAS yang wajib
difahami dan di amalkan oleh semua anggota parti. Selain itu dengan adanya
Majlis Syura Ulamak, ia memandu perjalanan parti kita agar tidak tersasar
dijalanan. Majlis Syura Ulamak diberi kuasa pemutus dalam perkara ijtihadi dan
ia adalah Badan tertinggi parti serta keputusannya adalah wajib diikuti. Hal
ini kerana MSU adalah penghurai kepada dasar PAS yang empat iaitu Quran,
Sunnah, Ijma dan Qias.
Maka, perjuangan yang
dibawa berlawanan dengan MSU tersebut, dasar tidak puas hati dan tidak mematuhi
kepimpinan akan melenyapkan matlamat asal kita. Disini, kita mesti beristiqamah
dengan segala arahan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat dan juga Majlis Syura
Ulama (MSU) serta penegasan daripada Presiden PAS sendiri. Sebarang pelanggaran
arahan MSU dan keputusan Presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam undang
undang PAS walau apa jua alasan dan sebab yang diberikan serta jawatan yang
disandang.
Merujuk kepada NGO PASMA
yang secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan MSU termasuklah
Presiden PAS sendiri telah mengeluarkan arahan kepada mana-mana ahli PAS agar
tidak terlibat dengan NGO ini, jelas ia adalah satu usaha untuk merosakkan PAS
dan menghancurkannya dari dalam serta memecah-belahkan PAS. Ini dapat
disaksikan apabila banyaknya kenyataan-kenyataan ahli PASMA jelas menyerang dan
melanggar dasar PAS bahkan yang lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata
menghina ulama dan Presiden PAS sendiri.
Hari ini, berlaku serangan
terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah
apabila saya dengan tegas menyatakan bahawa insya-Allah Kerajaan Negeri akan
membuat pelaksanaan undang-undang islam ini pada 2015. Nada yang dimainkan oleh
golongan yang tidak berpuas hati ini sama seperti nada juhala UMNO dan orang
bukan islam yang menentang pelaksanaan hudud. Ini tidak lain hanya kerana
pemikiran liberal yang merosakkan akidah semakin menular di kalangan ahli PAS
yang menyokong PASMA dan mereka sanggup memberikan wala mereka kepada pemimpin
parti lain tetapi tidak kepada Presiden PAS.
Keputusan Majlis Syura
Ulama dan Presiden agar ahli-ahli PAS menjauhi PASMA dan tidak terlibat dengan
segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas. Antaranya ialah wujud aliran
pemikiran songsang dalam individu-individu yang terlibat dengan PASMA yang
bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal. Ini sebenarnya telah
wujud apabila suara-suara untuk mengetepikan pelaksanaan syariat Islam demi
mencapai kemenangan dalam pilihanraya menjadi inti ucapan mereka. Aliran
pemikiran tajaan barat ini dilihat bertapak dalam PAS yang membuatkan
sebilangan anggota PAS telah tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan
syariat Allah SWT.
Golongan ini mencari
kemenangan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah berdasarkan
kaedah-kaedah syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun
caranya berlawanan dengan Panduan Al-Quran dan Hadis. Dengan cara ini mereka
berharap memperolehi kekuatan dan kemuliaan, padahal kekuatan dan kemuliaan
tersebut hanyalah milik Allah SWT dengan melaksanakan manhaj Islam yang asli.
Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam liberal sebenarnya
ingin mencipta manhaj tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas perjuangan
agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Diharap ahli-ahli PAS walaupun
seorang tidak terlibat dengan anutan sesat yang merosakkan ini.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Bagi memastikan anasir-anasir
perosak ini tidak lagi mengambil kesempatan daripada perjuangan Islam yang
dibawa oleh PAS, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa kepada pihak Majlis Syura Ulama
dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil
tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan
PASMA.
Baru-baru ini kita turut
dikejutkan dengan satu isu berkaitan akuan berkanun yang mendakwa terdapatnya
gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden yang terdiri daripada kalangan pemimpin
PAS Pusat serta ahli kumpulannya yang berada di dalam sebuah kumpulan yang
menggunakan Whatsapp sebagai medium komunikasi mereka. Merujuk kepada akuan
berkanun tersebut terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan Presiden dengan cara
yang tidak syarei.
Sekiranya benar dakwaan tersebut, pihak Dewan Ulama PAS meminta kepada pihak
yang membuat dakwaan supaya membuat laporan disiplin bagi memastikan isu
tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan supaya satu siasatan dalaman boleh
dilakukan. Sekiranya tiada laporan disiplin dibuat, ia akan mengundang budaya
tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan.
Setelah laporan disiplin
dibuat, pihak Dewan Ulama PAS Pusat menggesa Majlis Syura Ulama dan
Jawatankuasa PAS Pusat agar menyegerakan siasatan di bawah Jawatankuasa Disiplin
ataupun ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bukan dianggotai oleh AJK PAS
Pusat untuk menyiasat berkenaan laporan dakwaan tersebut sama ada benar atau
sebaliknya. Pihak kami memandang serius terhadap dakwaan tersebut kerana ia
melibatkan persoalan wala dan akhlak yang boleh merosakkan imej parti yang
berasaskan Islam.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Antara aspek yang diberi
tumpuan oleh PAS setelah perkara tarbiyah, dakwah ialah aspek politik ataupun
pemerintahan. Dalam aspek ini, ianya memerlukan seni dan juga strategi yang
menatijahkan matlamat yang baik demi kebaikan seluruh masyarakat. Namun, di
sebalik strategi yang diatur, ianya tidak boleh melanggar perkara yang
ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sepertimana yang dipetik daripada kata Imam Syafie
Rahimahullah:
لَا سِيَاسَةَ اِلَّا مَا
وَافَقَ الشَّرْعُ
Maksudnya: “Tidak boleh lakukan gerak kerja politik itu melainkan apa yang
menepati Syara’”
Justeru, setiap perencanaan politik yang dilakukan perlu mengikut garis panduan
syara’ yang ditetapkan. Sekiranya strategi tersebut bercanggah dengan syara,
maka perkara tersebut perlu ditolak walaupun memberi kebaikan kepada parti dan
masa depan PAS.
Pendekatan Tahaluf Siyasi yang direncanakan oleh kepimpinan politik mutakhir
ini merupakan strategi yang diharuskan sepertimana yang dilakukan oleh
Rasulullah S.A.W. Namun, pendekatan ini bukanlah merupakan sebuah matlamat asas
yang mesti dicapai, akan tetapi sebagai satu strategi dan wasilah sahaja supaya
Islam dapat ditegakkan. Dalam meneliti konsep tahaluf islam ini, Allah
membenarkan pihak islam untuk meleraikan tahaluf yang telah dirosakkan oleh
pihak rakan tahaluf lain. Ini disebabkan pengkhianatan dalam tahaluf adalah
jalan kepada kemusnahan kekuatan tahaluf dan tiada lagi manfaat kepada tahaluf
itu. Hal ini adalah bersandarkan kepada ayat :
وإِمَّا تَخَافَنَّ مِنْ
قَوْمٍ خِيَانَةً فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ
الْخَائِنِينَ
Maksudnya: “Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu
kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian
itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang khianat. (Surah Al-Anfal : 58 )
Kalimah Fanbiz ilaihim
adalah kenyataan arahan yang membawa erti tinggalkan perjanjian yang
dipersetujui. Pada hari ini PAS telah memutuskan tetap bersama dengan tahaluf
siyasi dengan rakan-rakan dari kompenan parti lain, jadi kita mesti meneruskan
keputusan ini.
Namun janganlah ada pihak
yang menyelar tindakan Dewan Ulama PAS Pusat yang mengadakan perbincangan
tentang tahaluf serta membuat kajian baru ke atasnya. Pembatalan tidak berlaku
dengan kajian ini, dan kajian ini dibuat boleh jadi terdapat beberapa perkara
yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mencantik dan melengkapkan
lagi tahaluf kita. Dalam hal ini persoalan ukhuwwah dan lapang dada amat perlu
dititik beratkan oleh semua kompenan Pakatan Rakyat. Perlu diingat oleh ahli
PAS, dikala kita bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala kepada rakan
tahaluf, kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa
mengenepikan dasar PAS. Jangan sampai berlaku prinsip-prinsip islam dibiarkan
tidak dipertahankan demi menjaga tahaluf siyaasi. Dewan Ulama PAS Pusat selaku
Dewan yang berperanan sebagai penasihat kepada perjalanan parti akan sentiasa
memantau perkara ini dan memberi nasihat daripada semasa ke semasa.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Perlu diingat juga bahawa kemenangan dalam perjuangan adalah satu perkara yang
sentiasa menjadi halatuju dalam setiap perjuangan parti. Tidak kira perjuangan
itu benar atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan
harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.
Islam mempunyai
pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep
kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran,
Allah SWT menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz,
al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.
Kemenangan di akhirat adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang
Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan, namun pada hakikatnya mereka
telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di
dalam perjuangan Islam.
Setiap pejuang Islam dalam
PAS perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung
kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Allah boleh mengurniakan
kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan
lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar
kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam
mengisi kemenangan. Maka jangan ada dikalangan anggota parti yang mahu
kemenangan segera atau hanya yakin kemenangan dicapai dengan ramai bilangan
ahli dan dengan perancangan jentera kita yang hebat. Kemenangan adalah hak
Allah maka dengan laksana hak Allah baharu kemenangan diperolehi.
Muslimin Muslimat Sekalian,
Alhamdulillah, PAS telah membuktikan ketabahannya dalam menghadapi apa juga
cabaran dan rintangan. PAS telah mentarbiyah ahli dan penyokongnya supaya
mengutamakan kepentingan parti daripada yang lain-lain serta terus
beristiqamah, berakhlak mulia dan sentiasa mencerminkan syakhsiyah lslam. PAS
mestilah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan
meningkatkan lagi penyatuan hati di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya.
Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja
mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengalahkan mereka.
Sebagai Parti yang
mempunyai sikap dan prinsip tersendiri, perjuangan PAS tidak mungkin boleh
dijual beli. Atas sebab-sebab itu, maka PAS tidak boleh bertolak ansur dengan
mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan identiti PAS. Harapan
kita, agar semua ahli PAS bermula daripada pimpinan tertinggi sehinggalah
kepada akar umbi terus bekerja mengikut apa yang telah diputuskan oleh pimpinan
tertinggi dan jangan istijal untuk menang serta suka mengguna pemikiran
tersendiri apatah lagi bekerja dengan sikap keindividuan. Bersabarlah dengan
sesuatu keputusan yang telah diputuskan khususnya dalam situasi masa kini,
semuanya menguji kesabaran kita, perkara-perkara sebegini amat perlu kita
tekankan dalam parti demi meraih keredaan Allah. Firman Allah SWT :
Maksudnya :Dan bersabarlah
kerana tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan)
Allah. Janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah
engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya
Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nahl : 127-128)
أَقُولُ قَوْلِيْ هَذَا،
وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ والْسَّلَامُ عَلَيْكُمْ
وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
USTAZ TUAN GURU DATO’ HAJI
AHMAD YAKOB
Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat
0 comments: