ULAMA BAWA PAS SAMBUNG PERJUANGAN RASULULLAH


ULAMA BAWA PAS SAMBUNG PERJUANGAN RASULULLAH
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


PUCHONG: Ulama telah membawa PAS memperjuangkan Islam sebagaimana ulama jugalah yang menjadi rantaian mewarisi risalah Islam daripada Rasulullah SAW kepada ummah, demikian tegas Ahli Jawatankuasa Ulama PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.

Menurutnya, ulama cuba dilemahkan musuh Islam supaya mereka dapat menguasai Gerakan Islam dengan menidakkan kepatuhan kepada ulama, sekaligus merungkai kekuatan Islam.

“Taat dan wala’ adalah tonggak kekuatan jamaah. Kurang ketaatan inilah punca jamaah menjadi longgar sekarang. Hingga datang pelbagai serangan kepada jamaah, antaranya untuk menidakkan peranan ulama,” ujarnya membangkitkan kesedaran pada Multaqa Ulama Se-Malaysia di Stadium Tertutup MPSJ, Seri Kembangan, di sini baru-baru ini.

Beliau memetik kata-kata Ibnu al-Aswad yang pernah mengungkapkan bahawa, jika bukan kerana peranan ulama, manusia sudah menjadi seperti binatang.

Tegasnya, Gerakan Islam tidak dapat ditumbangkan selagi umat bergantung kepada kepimpinan ulama yang memahami Islam dan memacu ummah dengan roh Islam.

Lalu katanya, musuh berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan kedudukan ulama pada pandangan mata ummah.

“Kita melihat bukan saja berlaku dalam Gerakan Islam di dunia, malah dalam gerakan kita, usaha musuh untuk melemahkan kekuatan kita dengan pelbagai tuduhan kepada ulama. Kalau ulama tidak sampaikan Islam kepada kita, tidak sampaikan ilmu, kita faham tak Islam? kita tahu tak politik dan perjuangan Islam? Apa dosa, apa pahala, apa syurga apa neraka?

“Kalau agak tiada ulama ambil Islam daripada Nabi, ada tak kita dalam PAS ini? Ada tak kita dalam perjuangan? Tidak ada. Kita tak akan duduk dalam perjuangan ini kalau bukan kerana penjelasan daripada ulama. Kalau tak ada ulama menyampaikan Islam, kita pun tak tahu Islam.

“Kita tiada dalam dewan hari ini, kalau tak kerana Islam, kalau tak kerana ulama. Waktu ini mungkin kita berjamu besar, dok makan buat jamuan macam-macam menu, biawak tiga rasa, babi ‘sweet sour’, mana kita tahu halal haram, dosa pahala kalau ulama tidak ajar kita,” hujahnya yang juga Ketua Ulama PAS Negeri Pahang.

Sebab itu tegasnya, Kepimpinan Ulama perlu dipertahankan dan ditaati kerana ulama yang memimpin adalah harapan untuk menjaga akidah dan prinsip PAS di mana ia menjadi pembeza antara PAS dengan parti dan jamaah lain.

Ustaz Mokhtar turut menyangkal dakwaan mengatakan ulama maksum di mana katanya, ungkapan itu adalah rekaan pihak tertentu yang kemudiannya menuduh pengakuan tersebut kononnya dari ulama.

Mereka juga katanya, membicarakan “Islam Untuk Semua” dengan mempersoalkan hak ulama untuk menafsirkan Islam serta gerakan dan perjalanan politik PAS.

“Inilah fahaman yang runtuh kekuatan kita. Kita tidak nafikan Islam untuk semua, semua orang ada hak dengan islam. Tetapi yang berhak untuk menafsirkan makna Islam adalah ulama.

“Kita tidak nafikan ubat-ubatan untuk semua orang sakit, semua orang sakit berhak dapat ubat. Tetapi tak semua orang berhak memberikan sukatan ubat, mestilah doktor atau pakar farmasi.

“Jangan buat alasan ubat untuk semua, maka sila datang ambil ubat di klinik kesihatan daerah. Ambil sendiri, buat sukatan sendiri, telan sendiri, apa akan jadi? Ada orang buat begitu, datang (klinik) gila babi, balik jadi babi gila, kerana menterjemahkan kehendak dia sendiri,” ujarnya memberi contoh.

Beliau turut membidas mereka yang menafikan ketaatan kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana dikatakan punyai kelemahan dan melakukan kesilapan.

Jelasnya, manusia yang bersifat tidak maksum sememangnya tidak terlepas dari kelemahan dan kesilapan, tetapi itu tidak menjadi hujah syarak untuk yang menggugah ketaatan diberikan.

Tegasnya, tidak ada nas syarak yang boleh digambarkan bahawa Presiden telah hilang kelayakan kepimpinan.

“Memang kita boleh mufaraqah daripada pimpinan macam makmum boleh mufaraqah dari imam, tetapi perlu ada bukti yang soreh jelas yang imam itu telah melakukan perkara membatalkan solat. Kalau imam cuma buat perkara kita tidak suka, tetapi batal solat tidak, itu tidak boleh mufaraqah.

“Contohnya kita jadi makmum, solat belakang imam, imam pakai baju dacing dulu kini dan selamanya. Depan gambar Najib, belakang gambar Rosmah, tepi logo 1Malaysia. Jadi kita tidak boleh mufaraqah, cuma kita cakap bisik imam lepas pada tu, “Imam tolong jangan pakai dah sebab makhruh baju ni”. Tapi mufaraqah tak boleh.

“Maka begitulah kita pertahan pertahan Presiden sebab tidak ada dalil dan bukti dari segi syarak yang menunjukkan telah terombak kelayakannya sebagai pemimpin yang wajib kita taati dan wajib kita berikan thiqah kepadanya. Sebab itulah kita pertahankan Presiden,” jelasnya.

Terang beliau juga, selagi PAS dipimpin, dikawal, dinasihat dan diseliaan ulama, pasti PAS akan bergerak di landasan-Nya dan diberi kemenangan oleh Allah, tidak sekadar Putrajaya dan Pilihan Raya, tetapi juga kemenangan di sisi Allah.

0 comments: