UMAT KEHILANGAN SEORANG ULAMA HARAKI NUSANTARA YANG AMAT BESAR JASANYA

Kenyataan Media MAPIM dan SHURA 
13 hb Februari 2015



UMAT KEHILANGAN SEORANG ULAMA HARAKI NUSANTARA YANG AMAT BESAR JASANYA.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta seluruh kepimpinan PAS diatas pemergian kerahmatullah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Sesungguhnya pemergian beliau merupakan suatu kehilangan yang sangat besar buat seluruh umat Islam di dunia amnya dan di alam nusantara khususnya. Tidak dapat disangkal beliau meninggalkan khazanah ilmu serta kebijaksanaan sebagai pendakwah dan menunjukkan karakter seorang murobbi umat yang tidak ada tolok bandingnya.

Kami meletakkan Almarhum sebagai guru umat yang sangat besar jasanya bukan sahaja dalam arena politik Islam malah juga dalam pentarbiyyahan umat yang sangat mendalam kesannya.

Sebagai seorang ulama haraki yang menunjukkan teladan dalam kepimpinan serta gaya hidup yang sangat sederhana telah menggariskan suatu aras pengukuran kepada semua aktivis Islam dan kepimpinan negara yang perlu dicontohi.

Kami sangat tersentuh dengan contoh teladan yang beliau tunjukkan dalam mendepani pelbagai mehnah dan tribulasi politik tanah air disamping terus berperanan sebagai murobbi dakwah yang luar biasa.

Tuan Guru merupakan seorang insan yang benar-benar menterjemahkan pengertian "ulama sebagai pewaris para anbiya". Pengajian yang disampaikan dalam kuliah tetapnya di bandar Kota Bharu sarat dengan tausiyyah dan nasihat yang membekas kepada setiap penuntut yang tekun mendengar huraian dan kupusan beliau.

Tuan Guru Nik Aziz layak digelar Murobbi Umat berdasarkan keiltizamannya yang kukuh terhadap usaha gigihnya mengembalikan Islam sebagai pemerintah, bukan Islam yang diperintah. Kata-kata beliau serta respon beliau terhadap pelbagai isu umat dan negara menjadi hujah yang tidak dapat disangkal balas. Ilmu dan kekuatan sahsiyyahnya sangat dirasai dan beliau sebagai tokoh yang sangat inspiratif akan dilanjutkan oleh generasi mendatang.


Mohd Azmi Abdul Hamid 
Presiden MAPIM 
Setiausha Agung SHURA

0 comments: