24 Jam Menuju GST: Kerajaan Mesti Henti Kelirukan Rakyat


Diterbitkan: 31 Mac 2015

Ditulis oleh M Arifiriazul B Paijo

Pemuda PAS Sarawak menggesa kerajaan untuk berhenti mengelirukan rakyat mengenai GST. Pemuda PAS Sarawak kesal dengan penyelewangan fakta oleh kerajaan mengenai GST. GST dijaja sebagai cukai yang tidak membebankan rakyat dan tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan. Hakikatnya, GST merupakan cukai yang tidak adil, di mana semua peringkat masyarakat dikenakan cukai, termasuk golongan berpendapatan rendah. GST juga membebankan peruncit kecil-kecilan.
Kerajaan mendakwa GST tidak menyebabkan kenaikan harga barangan. Daripada tinjauan bebas Pemuda PAS Sarawak, GST akan menaikkan kebanyakan harga barangan keperluan harian. Pada waktu yang sama, jika GST tidak menaikkan harga barangan, kenapakah Timbalan Menteri Kewangan menasihatkan syarikat-syarikat besar menyerap GST seperti yang akan dilaksanakan oleh Mydin? Bukankah sepatutnya GST akan menurunkan harga barangan seperti didakwa kerajaan? Bagaimana pula dengan peruncit-peruncit kecil-kecilan di kawasan luar bandar di Sarawak? Mereka pastinya tidak mempunyai kemampuan menyerap kos GST, malah mungkin tidak berdaftar untuk mendapat pulangan balik GST. Kos berganda pastinya diserap oleh pengguna melalui kenaikan harga barangan. 
Kerajaan pada awal kempen GST menjamin harga barangan akan dipantau oleh penguatkuasa dan tindakan undang-undang akand dikenakan. Namun, baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri mendakwa tidak mempunyai tenaga yang cukup bagi memantau harga barangan selepas GST. Adakah janji pemantauan harga barangan selepas GST mampu dilaksanakan kerajaan?
Fakta-fakta kempen yang menyeleweng ini amatlah dikesali. Kami pernah menyuarakan kebimbangan kesan GST terhadap Sarawak. Kami yakin, GST bakal memberi kesan berganda kepada pengguna di Sarawak, kerana kos logistik yang bakal dikenakan GST. Dasar kabotaj, yang menambah kos barangan di Sarawak, bakal menyebabkan kesan berganda kepada harga barangan di negeri ini.
Rakyat Sarawak mempunyai peluang untuk memberikan jentikan kepada kerajaan dan penolakan terhadap GST dengan memilih PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Negeri yang akan datang. Signal penolakan ini amat penting dan hendaklah diterjemahkan oleh rakyat melalui peti undi, pada pilihanraya akan datang.
Pemuda PAS Sarawak juga menggesa hasil GST dikembalikan kepada negeri, termasuk Sarawak bagi memastikan kutipan GST dikembalikan kepada rakyat secara telus. Janganlah hanya GST sedap dikutip, tapi hasilnya entah ke mana.
M Arifiriazul B Paijo
Ketua Pemuda PAS Sarawak

0 comments: