BUKAN SENANG MERAMAIKAN AHLI PAS


BUKAN SENANG MERAMAIKAN AHLI PAS
SUBKY LATIF | 11 Mac 2015.

SEJAK saya bergerak kencang dalam PAS hujung tahun 70-an, boleh dikatakan sama banyak tidur di rumah dengan tidur dalam bas dan tempat ceramah. Setiap masa bersedia seperti naik bukit turun bukit untuk memperkenal perjuangan PAS kepada orang ramai, mengajak yang belum berparti dan orang Umno menyertai PAS.

Lebih hebat lagi Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan TG Almarhum Nik Abdul Aziz yang lebih lama daripada saya berjuang mengajak orang menyertai PAS. Tinggal TG Haji Abdul Hadi Awang antara yang terus menyambung kerjanya bersama dengan Ustaz Fadzil dan TG Nik Aziz dulu.

Saya teringat ketika terkandas dengan TG Haji Hadi pukul 2 malam di hujung pekan Sungkai kerana tayar Mercedes tuannya pancit dan tayar gantinya juga pancit. Tidur dalam motokar hingga kedai tayar buka pukul 9 pagi.

Ketika saya mula tercebur dalam PAS keahliannya sekitar 200 ribu orang. Amat sakit untuk mencapai keahlian setengah juta semasa menyambut ulang tahunnya ke-40 tahun 1991. Sasaran itu hampir tercapai semasa sambutan jubli emas tahun 2001, tahun kematian Ustaz Fadzil.

Bukan senang untuk dapat seorang dua menyertai PAS dari satu ceramah. Dua hari Ustaz Fadzil meninggalkan rumah di Alor Setar untuk berceramah satu jam di Temerloh. Beribu orang hadir. Belum tentu lima orang menyertai PAS selepas ceramah. Ustaz Hadi jadi tumpuan ramai masa itu. Daripada belasan ribu yang mendengarnya tak sampai 10 masuk PAS.

Demikian limpahan manusia mendengar ceramah TG Nik Aziz dan kemudian besar minat orang kepada ceramah Mat Sabu, belum tentu ramai pendengar mengisi borang PAS. Demikian payahnya unuk mendapat seorang dua daripada ceramah saya yang tidak ramai pendengar.

Kami tiada kuasa untuk menjadikan orang ramai itu menyertai PAS. Kami boleh memberi penerangan. Allahlah yang menggerakkan hati mereka menyertai PAS.

Sekarang keahlian PAS sudah mencecah sejuta. Saya pun tidak tahu bagaimana parti Pak Lebai dulu kini jadi parti sejuta orang dan parti untuk semua orang. Bukan senang untuk dapat menjadi parti orang Melayu/Islam yang bersaing dengan Umno.

Kita tidak arif bagaimana keahlian jadi seramai itu. Tetapi ia adalah parti yang besar dan disegani oleh semua. Sewajarnya ahli-ahli PAS bersyukur kerana parti yang payah dapat seorang dari setiap ceramah kini boleh jadi parti sejuta orang.

Apabila parti itu sudah besar, maka besar jugalah masalahnya. Tetapi dengan besarnya parti itulah yang melayakkannya menggantikan Umno. Itulah kempen PAS sekarang iaitu parti pilihan orang yang tidak mahu dan tidak suka lagi pada Umno.

Tetapi kalau setengah yang berada dalam PAS disuruh keluar pula daripada PAS, maka tidak dapatlah kita menggantikan Umno. Saya tahu susahnya untuk dapat seorang dua ahli, tidaklah wajar setelah ada sejuta, disuruh pula setengahnya tingalkan PAS.

Ia bukan cara dan politik menyelesaikan masalah. Jika ada yang tidak mahu TG Haji Hadi jadi pemimpin, biarkan mereka calonkan sesiapa. Tapi saya pun tidak percaya ada yang sedia jadi calon. Adakah dalam PAS Haji Sulaiman Palastine yang sanggup cabar Hussein Onn? Banyak juga undi diperolehnya, tetapi dia kalah.

Pencabar TG Hadi mencatat sejarah. Tapi sejarah itu berakhir hari pemilihan. Yang mencabar itu mungkin ada silap dan betulnya. Tapi jika mereka silap pun, mereka adalah ahli PAS. Sebelum mereka disuruh keluar, PAS beri peluang ikut majoriti seperti Tunku tawarkan komunis menyerah diri. Kerana ramai yang tak menyerah diri, barulah Tunku perang mereka habis-habisan.

Tidak bijak berusaha keras dapatkan ahli Umno jadi PAS tapi suruh pula ahli PAS keluar parti. Jangan jadi politik buluh kasap. –HARAKAHDAILY 11/3/2015

0 comments: