KOTA BHARU: Tanpa kehadiran Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka, PAS tetap meneruskan kempen dengan mendekati rakyat.
Malah jentera pilihan raya PAS dibantu Pakatan Rakyat menemui setiap pengundi di 10 unit peti undi yang terdapat di Dun berkenaan.
PAS Kelantan juga menerbit risalah khas pilihan raya sebagai sebaran kempen memperkenalkan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.
Buletin Chempaka edisi pertama menemui pembaca sehari selepas penamaan calon dan kedua diedar hari ini. Risalah empat muka surat warna memaparkan aktiviti bergambar calon dan isu-isu semasa lain.
Ia dicetak sebanyak 5,000 naskah setiap keluaran. Sebanyak lima edisi diterbit menjelang hari pengundian pada 22 Mac ini.
Edisi ketiga akan menemui pembaca pada 16 Mac, keempat (19 Mac) dan terakhir (21 Mac). Risalah itu diterbit Lajnah Penerangan PAS Kelantan.
Selain itu gelanggang ceramah juga digerakkan. Beberapa siri ceramah membabitkan pemimpin utama PAS dan Pakatan Rakyat diadakan.
Malam ini empat lokasi ceramah diadakan iaitu Cabang Tiga Sabak, Taman Seri, Kampung Badang dan berhampiran pejabat Penggawa di Chempaka.
Ceramah terbabit termasuk menampilkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu, Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Nassurudin Daud.
Pada pilihan raya umum lepas Tok Guru Nik Abdul Aziz menang dengan majoriti 6,500 undi mengatasi calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak.
PRK tersebut Ustaz Fathan dicabar empat calon bebas. - HARAKAHDAILY 13/3/2015
0 comments: