Catatan Bersama Murabbi – Terakhir di PUTIK


Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) merupakan kompleks yang menjadi mercu tanda bukan sahaja PAS Pengkalan Chepa bahkan PAS Kelantan keseluruhannya. Ia ‘menyambut’ sesiapa yang datang ke bumi ini melalui jalan udara secara tidak langsung memberitahu bahawa kapal terbang mendarat di DUN Chempaka dan di Parlimen Pengkalan Chepa yang merupakan ‘kawasan paling kuat PAS di dunia’. PUTIK dari sudut kawasan pilihanraya berada di dalam DUN Panchor manakala lapangan terbang di dalam DUN Chempaka. Dibina pada tahun 2000/2001 dan siap dalam masa enam bulan selepas pelancaran pembinaannya. Ia antara legasi peninggalan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kali terakhir tokguru ke PUTIK untuk menghadiri program ialah pada 15 November 2014 di dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2014. Gambar yang saya ambil ini ialah daripada atas pentas ketika tokguru Rahimahullah sampai apabila pembentang (Hj Salahuddin Ayub dan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man) sedang berucap. Tokguru menolak untuk naik ke atas pentas dan lebih selesa mendengar daripada bawah. Seterusnya tokguru menyampaikan ucapan, dan jika tidak silap saya, itulah amanat terakhir tokguru kepada petugas parti di dalam hayatnya.

Selesai makan tengah hari di belakang pentas, tokguru memanggil saya ke satu sudut untuk berbicara. Ada dua perkara, salah satunya pesanan tokguru dalam satu urusan dalaman parti dan kedua solat Zohor bersamanya untuk menjadi imam.

Itulah kali terakhir saya menjadi imam solat kepada tokguru. Tokguru di akhir hayatnya mengelak untuk menjadi imam kerana terpaksa membawa tiub plastik mengandungi air kencing. Usai solat, tokguru terus mengerjakan solat sunat, dan itulah beliau sekalipun uzur, solat sunat ialah amalan yang tidak ditinggal.

Sebelum pulang, beliau sempat bertanya, “Ada apa-apa isu menarik hari ini?” Saya menjawab, “(Tun) Mahathir sebut dalam satu kenyataan, BR1M umpama rasuah..”

Tokguru senyum, “Dulu ana kata BR1M umpama bagi makan kepada binatang pakat marah. Sekarang marahlah Mahathir tu pulak.”

“Tokguru nak buat kenyataan ke, ambo tulis,”

“Anta buat atas nama anta. Ana tak payahlah, biar orang ramai fikir sendiri,” begitulah lebih kurang jawab beliau. Senyum dan berlalu pergi.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

0 comments: