DAP Usah Ungkit Kembali Luka Lama


Diterbitkan: 25 Mac 2015

Ditulis oleh Mohd Shahir

1. Saya berasa hairan apabila membaca salah satu sebab DAP ingin memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, ialah kerana kononnya Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengkhianati Pakatan Rakyat iaitu dalam hal pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor.  Mengapa DAP ingin mengungkit kembali kisah yang pasti mengguris kembali luka lama
2. Adalah tidak wajar hal yang sudah selesai diungkit dan diulang semula kerana ia akan menampakkan DAP masih berdendam dan tidak mahu menerima akan hakikat MB Selangor yang sudah sah mengangkat sumpah ialah YAB Tuan Azmin Ali. Perbuatan ini pasti akan menyinggung perasaan dan hati Dato’ Menteri Besar Selangor sekarang kerana DAP masih belum mempercayai akan kemampuan beliau untuk memimpin Selangor. 


3. Perbuatan mengungkit sebegini bukanlah penyelesai masalah bahkan akan mengeruhkan lagi keadaan kerana ia akan membuatkan rakyat melihat DAP masih tidak boleh menerima hakikat bahawa MB Selangor sekarang ialah YAB Tuan Azmin Ali. 

4. Justeru, saya berharap DAP bersikap lebih matang kerana perbuatan ungkit-mengungkit hanya akan membuatkan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat kian longgar dan rapuh. 


YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

0 comments: