EKONOMI GAWAT: MALAYSIA TIADA UPAYA KENDIRI?
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dilihat tidak mempunyai upaya kendiri untuk mengurangkan impak dari senario kelembapan atau kejatuhan yang sedang berlaku kini, malah kenaikan harga barangan akan terus meningkat akibat dari pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga minyak global.
Keadaan itu sekaligus akan meningkatkan kadar inflasi disebabkan penambahan beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat, demikian ditegaskan Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
Beliau memetik senario yang pernah berlaku sebagai mengukuhkan hujahnya bermula kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel tahun 1970-an di mana mengakibatkan Malaysia mengalami krisis ekonomi pertamanya.
Kesan kejutan minyak (oil shock) itu katanya, mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara yang hanya meningkat 0.8% pada 1975 iaitu paras terendah bagi tempoh 1970 hingga 1980.
Kejutan minyak ujarnya, berlaku lagi pada 1978 akibat Revolusi Iran sehingga menyebabkan negara-negara maju anggota Organisation for Economic Cooperation dan Developement (OECD) yang berpendapatan tinggi dengan Indeks Pembangunan Manusia (Human Developement Index, HDI) juga tinggi, turut mengalami kemelesetan.
“Negara membangun seperti Malaysia juga turut terjejas apabila pertumbuhan KDNK meningkat perlahan pada awal 1980-an berikutan kejatuhan eksport dan harga komoditi. Akibat kelembapan ekonomi dunia dan kejatuhan harga komoditi seperti petroleum, kelapa sawit dan timah, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1 peratus pada 1985.
“Berbanding pada 1984, kadar penggangguran meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 8.5 peratus pada tahun berikutnya. Kesannya, perbelanjaan mengurus tidak dapat ditampung oleh Kerajaan kerana hasil pendapatan yang merosot teruk.
“Ia terus meningkat kepada RM20.1 bilion pada 1986 iaitu peningkatan sebanyak 7 peratus. Defisit berkembar yang terjadi pada 1986 berpunca apabila akaun semasa imbangan pembayaran dan akaun semasa Kerajaan Persekutuan mengalami defisit serentak pada tahun tersebut,” terangnya mengimbas keadaan itu.
Menurut beliau, setelah Thailand diserang oleh penyangak matawang, Malaysia turut ditimpa nasib sama pada Julai 1997 hingga membawa kepada jualan menyeluruh di pasaran saham dan pasaran tukaran wang.
Ujarnya, krisis kewangan Asia yang bermula pertengahan 1997 ini merebak sehingga hampir ke semua negara ASEAN termasuk Indonesia, Jepun, Republik Korea selain daripada Thailand dan Malaysia di mana nilai Ringgit ialah RM4.10 bagi setiap dolar, iaitu kemerosotan sebanyak 50 peratus daripada RM2.50 sebelumnya.
“Sekali lagi Malaysia berhadapan dengan masalah ekonomi ialah pada akhir 2008 apabila pertumbuhan ekonominya hanya 0.1 peratus dalam suku keempat diikuti dengan KDNK menguncup sebanyak 1.6 peratus pada 2009.
“Kemerosotan kualiti ‘subprime asset’ yang menyebabkan kegagalan institusi kewangan Amerika Syarikat pada 2007 membangkitkan kebimbingan secara meluas dalam pasaran kewangan global. Malaysia terkesan dengan kemelesetan global itu sehinggakan eksport merosot sebanyak 7.4 peratus manakala pengeluaran kilang merosot sebanyak 11.1 peratus.
“Pada akhir 2014 pula berlakunya kejatuhan harga minyak global yang sudah pasti memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai negara pengeluar minyak. Kejatuhan ini sehingga mengakibatkan Kerajaan terpaksa melakukan semakan semula terhadap Bajet 2015 yang telah dibentangkan pada Oktober 2014.
“Dengan unjuran purata paras harga minyak baru iaitu AS$55 setong, defisit yang dikaji semula ialah 3.2 peratus berbanding 3.0 peratus seperti yang diumumkan sebelumnya dan perbelanjaan mengurus (operating expenditure) pula dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion, terang beliau.
Menurut Ustaz Khairuddin lagi, pendapatan negara juga berkurang RM13.8 bilion berikutan kejatuhan harga minyak ini dan mata wang juga mengalami susut nilai agak tinggi iaitu pada paras RM3.60 bagi setiap dolar.
0 comments: