Apabila kita dedahkan kekayaan luar biasa keluarga Perdana Menteri atau kehidupan super mewah isterinya, sebahagian kita mengatakan ia tidak pelik sebab dia Perdana Menteri. Sudah tentu sebagai orang tertinggi dalam pemerintahan, dia lah paling kaya dan berhak kaya. Begini. Boleh sahaja dia kaya. Tetapi dengan duit sendiri, bukan sebaliknya.
New York Times menyebut pendapatan bulanan Perdana Menteri sekitar AS$100ribu setahun atau sekitar RM350 ribu. Beliau menjadi Perdana Menteri sekitar 6 tahun. Jika didarabkan dengan pendapatan di atas, maka jumlahnya sekitar RM 2.1 juta.
Kemudian beliau pernah menjadi Menteri Besar Pahang, Menteri Belia, Pendidikan, Pertahanan dan lain-lain jawatan kabinet bermula tahun 1982 sehinggalah menjadi PM sekitar 27 tahun atau 324 bulan. Jika purata pendapatan sebagai menteri bermula 1982 hingga 2008 berjumlah RM25 ribu sebulan, maka jumlahnya selama 27 tahun itu sekitar RM8 juta. Dicampur dengan pendapatan sebagai Perdana Menteri sebanyak RM2.1juta tadi, maka jumlah semuanya RM 10.1 juta.
Sudah tentu RM10.1 juta ini dibelanjakan. Jika beliau menyimpan pendapatan bulanannya ini sebanyak 40 peratus, maka simpanan beliau daripada tahun 1982 hingga 2015 berjumlah sekitar RM 4 juta. Benar. Ia jumlah yang besar. Perdana Menteri kita seorang jutawan. Sememangnya dia layak terima jumlah sebesar itu di atas tanggungjawabnya yang besar mentadbir negara.
Tetapi apabila ada anaknya berbelanja hampir RM300 juta dengan membeli beberapa unit kondominium di New York, ia menimbulkan persoalan. Jumlahnya terlalu besar. Daripada mana duit itu diperolehi? Belum dikira perbelanjaan puluhan juta oleh anaknya untuk membikin filem Hollywood. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain termasuk isterinya. Tetapi peringkat awal ini, kita memohon disiasat pengakuan anaknya memiliki hartanah mewah di New York dalam angka ratusan juta tersebut.
Lebih pelik apabila 4 orang adik Perdana Menteri membuat kenyataan bersama menafikan bapa mereka Tun Razak meninggalkan harta yang banyak sebagaimana didakwa oleh pejabat Perdana Menteri ketika menjawab dakwaan kekayaan luar biasa keluarga beliau pasca pendedahan pembelian hartanah oleh Riza Aziz sejumlah sekitar RM300 juta.
Boleh jadi ada yang mengatakan kiraan di atas tidak tepat kerana pendapatan Najib lebih besar. Jika digandakan 10 kali ganda pun jumlahnya hanya sekitar RM100 juta sahaja, masih dibawah paras mampu membeli hartanah ratusan juta. Persoalan ini muncul di tengah negara kerugian RM42 bilion 1MDB yang menggunakan dana awam. Dalam masa yang sama kerajaan hendak melaksanakan cukai GST kepada rakyat bagi meningkatkan pendapatan negara. Tiba tiba keluarga PM hidup kaya yang luar biasa. Ini mesti disiasat.
Mohd Nasaie Ismail
13 Mac 2015
0 comments: