Kenyataan Guan Eng Terhadap Presiden PAS Suatu Yang Pelik


KUALA LUMPUR - Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah sesuatu yang pelik.

Takiyuddin berkata, kenyataan yang meminta Presiden Pas itu keluar daripada pakatan pembangkang jika mahu meneruskan usaha pelaksanaan hudud, adalah sesuatu yang tidak rasional kerana ia adalah perkara kecil.

"Walaupun Pas berada dalam pakatan tetapi ia masih tertakluk kepada perlembagaan parti dan usulnya iaitu melaksanakan sesuatu untuk mewujudkan masyarakat berteraskan syariat Islam.

"Perlembagaan adalah dokumen yang sah dan membawa maksud pertubuhan itu sah melaksanakan apa yang menjadi matlamat perjuangan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini (25 Mac).

Menurutnya komponen dalam pakatan pembangkang sama ada DAP atau PKR berhak tidak bersetuju dengan usul berkaitan hudud kemukakan Pas tetapi tiada hak untuk menghalang perjuangan mereka (Pas).


"Saya tidak faham kenapa ia menjadi sesuatu yang dianggap melanggar janji atau mengkhianati PR kerana usul Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan itu tidak menyentuh langsung perkara berkaitan orang bukan Islam, ia semata-mata untuk meningkatkan kredibiliti Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata, dalam Enakmen Syariah (Hudud) Kelantan, Seksyen dua secara jelas menyatakan bahawa ia hanya terpakai kepada orang Islam, yang mukallaf, yang melakukan kesalahan dan berada di dalam negeri Kelantan sahaja.

"Kenapa perlu risau? Hanya menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Syariah, kita baru bentang sahaja, belum buat apa-apa lagi, tentang bagaimana perlaksanaannya belum pasti lagi," katanya.

0 comments: