1.
Isu 1 MDB semakin hari kian parah dan menjerut kerajaan Barisan Nasional
pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak. Penjelasan demi penjelasan,
perjumpaan demi perjumpaan dibuat untuk meyakinkan kepimpinan UMNO sendiri
mengenai ‘hebatnya’ 1 MDB milik kerajaan ini. Jikalau isu ini sekadar picisan
dan tidak berasas, mana mungkin sampai perlunya kesemua Ketua Bahagian UMNO
berkumpul untuk mendengar sendiri penjelasan oleh Presiden UMNO berkenaan 1
MDB..? Bukti kukuh kerisauan UMNO lagi jelas terzahir apabila Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan media khusus mengenai
1 MDB yang mana beliau berkata “Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang
usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail
out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.” Kelihatannya PM dan TPM
sendiri tidak sebulu di dalam hal ini.
2.
Dalam keadaan ekonomi negara menuju krisis yang amat kritikal sehingga
memerlukan pengstrukturan semula Bajet 2015, skandal kewangan 1 MDB ini “bagai
mencurah garam ke atas luka”. Bebanan hutang yang begitu melampau itu akan
memberikan impak besar kepada negara khususnya rakyat jelata.
3.
Dengan nilai hutang RM 42 Billion itu secara perbandingan mudah,pihak kerajaan
boleh menaikkan lagi kadar BR1M sehingga RM6176 kepada 6.8 Juta penerima, atau
RM 900 kepada 46 Juta orang penerima, atau membina 1.2 Juta unit rumah kos
rendah yang bernilai RM35,000, atau 168 Projek NFC yang bernilai RM250 Juta,
atau 14 Juta ekor lembu yang bernilai RM3000 . Tetapi, kelihatannya kerajaan
Barisan Nasional lebih rela berhutang berbilion Ringgit daripada berbelanja
untuk kepentingan rakyat-jelata.
4.Perdana
Menteri telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit 1 MDB tetapi saya
masih ingat pada penghujung 2014 yang lalu, Tan Sri Ambrin Buang sendiri pernah
berkata tidak ada keperluan untuk mengaudit 1 MDB ini kerana ia telah diaudit
oleh empat syarikat pengauditan dunia. Jadi,adakah arahan pengauditan ini
dibuat benar-benar telus atau ingin memberi ‘cap halal’ kepada segala
salahlaku dan penipuan yang berlaku di dalam 1 MDB.?
5.
PAS berharap agar PM bertindak dengan berani dan telus dalam isu skandal
kewangan ini. Usahlah dengan semudahnya ingin berlepas diri dengan berkata PM
tidak terlibat dengan operasi harian 1 MDB tetapi hakikatnya PM tetap Pengerusi
Lembaga Penasihat 1 MDB yang tahu akan dasar dan strategi pelaburan yang
dilakukan oleh 1 MDB.
6.
Saya tetap konsisten dalam isu ini agar suatu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan
segera untuk menyiasat segala hal yang berkait dengan 1 MDB. Peringatan yang
diberikan ini agar kita tidak lagi terlambat dalam bertindak sepertimana
kerajaan telah gagal membaca jangkaan kesan kejatuhan harga minyak dunia
seperti yang berlaku sekarang ini.
Dato’
Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
0 comments: