1. Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang
mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1 Malaysia
Development Berhad (1 MDB) membuktikan bahawa sememangnya 1 MDB ini dilanda
masalah keraguan integritinya. Arahan ini dibuat hanya setelah kita digemparkan
dengan pendedahan oleh Sarawak Report bahawa wujudnya penipuan dalam urusniaga
1 MDB.
2. Yang menghairankan kita, pada masa sama PM mendakwa kabinet
telah berpuas hati dengan penjelasan oleh 1MDB dan Deloitte serta berkeyakinan
bahawa tidak terdapat sebarang salah laku dalam 1MDB. Dalam keadaan 1 MDB
mengalami kanser di tahap 4 ini, kabinet pula ikut bersekongkol dengan Perdana
Menteri. Sepatutnya, ahli kabinet bertindak dengan berani menegur PM berkaitan
1 MDB ini demi menyelamatkan wang negara dan sistem kewangan negara daripada
terus menanggung beban hutang yang mencecah RM 43 Billion.
3. Pihak 1 MDB hanya tahu menafikan tuduhan yang dilemparkan
yang dikatakan berunsur politik dan spekulasi tidak berasas yang mempunyai
potensi menjejaskan ekonomi, namun pada hakikatnya kegagalan menguruskan 1 MDB
itulah yang akan membawa bencana kepada ekonomi negara kita. Ini terbukti
apabila syarikat pelaburan nasional, cetusan PM Najib ini telah mengalami
kerugian pada tahun lalu dan hampir-hampir gagal membayar hutangnya sehingga
melemahkan ringgit dan pasaran bon Malaysia. Bahkan, laporan daripada
Reuters menyatakan bahawa 1 MDB mungkin dibubarkan dalam pelan pembayaran balik
hutang-hutangnya. Jadi, apa lagi yang hendak dibanggakan dengan 1 MDB ini,
tindakan kerajaan BN mempertahankannya lagi tidak ubah ibarat “memikul biawak
hidup”.
Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
0 comments: