KEPEDULIAN TERHADAP ALAM SEKITAR- TANGGUNG JAWAB KITA BERSAMA


KENYATAAN MEDIA – 30HB MAC 2015
“ KEPEDULIAN TERHADAP ALAM SEKITAR- TANGGUNG JAWAB KITA BERSAMA”

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. 


Mari kita renungkan Firman Allah SWT dalam Surah Al Anbiya’ ayat 107:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”.

Risalah yang dibawa oleh Ar-Rasul SAW merupakan risalah yang membawa rahmah kepada sekalian alam. Syariat ini memberi jaminan kepada perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup dengan sejahtera di muka bumi ini. Manusia perlu sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada alam ini, yang memerlukan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab terhadapnya dan bukan hanya menikmati dan mengeksploitasi segala sumber alam yang diamanahkan itu. Manusia juga perlu disedarkan untuk mengambil tanggungjawab dalam mengubah gaya hidup mereka dan melakukan perubahan yang besar bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada alam ini.

Kita sebenarnya sangat bertuah kerana negara kita Malaysia dianugerahkan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan sumber asli yang unik dan tidak ternilai harganya. Dengan kelebihan yang dianugerahkan, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil berat dalam mengurangkan serta mencegah elemen kemusnahan alam sekitar akibat daripada aktiviti kehidupan kita seharian. Oleh yang demikian, pendidikan di peringkat akar umbi akan mewujudkan rasa tanggungjawab dan keprihatinan kita untuk memastikan alam sekitar di bumi bertuah ini, mahupun flora dan fauna terpelihara dengan baik.

Kita semua perlu sedar bahawa masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksin, penebangan hutan secara haram, dan sebagainya menyebabkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Akibatnya timbul implikasi atau pun tindak balas terhadap kesihatan dan kualiti hidup kita. Seperti yang kita sedia maklum, segala usaha di pihak berkuasa sahaja tidak mencukupi untuk menjaga kelestarian alam sekitar kerana ianya memerlukan kerjasama dan penglibatan seluruh masyarakat, tidak mengira golongan tua ataupun muda dan tanpa mengenal batasan kaum.

Membudayakan amalan kehidupan hijau (green living) hendaklah bermula daripada setiap individu di rumah mahupun di tempat kerja semasa menjalankan aktiviti harian. Menyedari hakikat ini maka DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA melalui Lajnah Alam Sekitar mengambil initiatif untuk melaksanakan program 3R – Reduce, reuse dan recycle bermula di Pejabat Dewan Muslimat dan Pejabat Agung PAS Pusat itu sendiri.

Tong-tong sampah 3R disediakan bagi memberi kesedaran kepada semua AJK dan ahli-ahli untuk mula melaksanakan aktiviti 3R di peringkat pengurusan pejabat. Program 3R yang diadakan pada hari ini merupakan antara inisiatif bagi memberi kesedaran dan sebagai pencetus kepada kehidupan beretika dengan mengamalkan nilai-nilai yang diterap semasa melaksanakan amalan-amalan hijau di kalangan ahli-ahli PAS. Hasrat kita adalah untuk menglestarikan persekitaran hari ini untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Banyak tip Amalan Hijau yang boleh dilaksanakan oleh kita semua bagi menyelamatkan bumi kita. Di kesempatan ini, saya juga ingin berkongsi sedikit tips amalan-amalan hijau yang mudah untuk di rumah dan pejabat khususnya. Antaranya adalah:

• Guna air dan elektrik dengan berhemah. Sila padamkan lampu atau peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan memastikan pili air ditutup dengan rapat. Gunakanlah air dan elektrik dengan bijaksana;

• Mengamalkan konsep 3R (Reduce-Reuse-Recycle) supaya kita dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke tapak pembuangan sampah;

• Mengurangkan penggunaan beg plastik (yang sukar dilupuskan);

• Memaksimumkan pengangkutan awam seperti bas, LRT, ERL, dan Komuter; atau berkongsi kenderaan.

• Menggunakan peralatan elektrik yang mesra alam dan jimat tenaga.

• Membeli produk hasil bahan kitar semula dan mesra alam 

• Membudayakan aktiviti tanam sendiri untuk kegunaan masakan di rumah.


Sumbangan ini walaupun nampak kecil atau remeh, saya percaya sekiranya kita semua benar-benar mengamalkan tip ini, sedikit sebanyak ia dapat memberi impak yang positif ke arah pencapaian visi hijau Malaysia. Saya juga ingin sarankan kepada semua bahawa kita perlu mengkaji kembali berkenaan tatacara kelakuan, gaya hidup dan disiplin kita dalam menjalani kehidupan seharian kerana ini adalah perkara serius. Ia akan menentukan hala tuju tahap kehidupan generasi akan datang yang akan menerima kesan daripada sikap pembaziran yang tidak mesra alam generasi masa kini. Semoga dengan kepedulian kita terhadap alam sekitar akan mampu mengurang impak pencemaran yang lebih besar ke atas Malaysia khususnya.

“KEPEDULIAN TERHADAP ALAM SEKITAR ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA!”
“GO GREEN”


YB Hjh Siti Zailah bt Mohd Yusoff
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia


Norwani binti Ahmat
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Dewan Muslimat PAS Malaysia

0 comments: