KRISIS EKONOMI :
IMPLIKASI & PENYELESAIAN ISLAM
1. Kejutan minyak (oil shock) berikutan
kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel telah
mengakibatkan Malaysia mengalami krisis ekonomi pertama sejak 1970 iaitu pada
1973/74. Kesannya, bagi tempoh 1970 hingga 1980, pertumbuhan ekonomi negara
hanya meningkat 0.8% pada 1975 iaitu paras terendah bagi tempoh itu.
2. Revolusi Iran pula sekali lagi
menyebabkan berlakunya ‘oil shock’ pada 1978. Ia sehingga menyebabkan
negara-negara maju yang menganggotai Organisation for Economic Cooperation dan
Developement (OECD) yang berpendapatan tinggi dengan Indeks Pembangunan Manusia
(Human Developement Index, HDI) yang tinggi mengalami kemelesetan ekonomi.
Negara membangun seperti Malaysia juga turut terjejas apabila pertumbhan KDNK meningkat
perlahan pada awal 1980an berikutan kejatuhan eksport dan harga komoditi.
3. Akibat kelembapan ekonomi dunia dan
kejatuhan harga komoditi seperti petroleum, kelapa sawit dan timah, ekonomi
Malaysia menguncup sebanyak 1% pada 1985. Berbanding pada 1984, kadar
penggangguran meningkat sebanyak 2.7% kepada 8.5% pada 1985. Kesannya,
perbelanjaan mengurus tidak dapat ditampung oleh Kerajaan kerana hasil
pendapatan yang merosot teruk. Ia terus meningkat kepada RM20.1 bilion pada
1986 iaitu peningkatan sebanyak 7%. Defisit berkembar yang terjadi pada 1986
berpunca apabila akaun semasa imbangan pembayaran dan akaun semasa Kerajaan
Persekutuan mengalami defisit serentak pada tahun tersebut.
4. Setelah Thailand diserang oleh
penyangak matawang, Malaysia turut menimpa nasib yang sama pada Julai 1997
sehingga membawa kepada jualan menyeluruh di pasaran saham dan pasaran tukaran
wang. Krisis kewangan Asia yang bermula pertengahan 1997 ini merebak sehingga
hampir ke semua negara ASEAN termasuk Indonesia, Jepun, Republik Korea selain
daripada Thailand dan Malaysia. Pada tahun tersebut, nilai Ringgit ialah RM4.10
bagi setiap dolar, iaitu kemerosotan sebanyak 50% daripada RM2.50 sebelumnya.
5. Sekali lagi Malaysia berhadapan dengan
masalah ekonomi ialah pada akhir 2008 apabila pertumbuhan ekonominya hanya 0.1%
dalam suku keempat diikuti dengan KDNK menguncup sebanyak 1.6% pada 2009.
Kemerosotan kualti ‘subprime asset’ yang menyebabkan kegagalan institusi
kewangan Amerika Syarikat pada 2007 membangkitakan kebimbingan secara meluas
dalam pasaran kewangan global. Malaysia terkesan dengan kemelesetan global itu
sehinggakan eksport merosot sebanyak 7.4% manakala pengeluaran kilang merosot
sebanyak 11.1%.
6. Pada akhir 2014 pula berlakunya
kejatuhan harga minyak global yang sudah pasti memberi kesan langsung kepada
Malaysia sebagai negara pengeluar minyak. Kejatuhan ini sehingga mengakibatkan
Kerajaan terpaksa melakukan semakan semula terhadap Bajet 2015 yang telah
dibentangkan pada Oktober 2014. Dengan unjuran purata paras harga minyak baru
iaitu AS$55 setong, defisit yang dikaji semula ialah 3.2% berbanding 3.0%
seperti yang diumumkan sebelumnya dan perbelanjaan mengurus (operating
expenditure) pula dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion. Pendapatan negara juga
berkurang RM13.8 bilion berikutan kejatuhan harga minyak ini. Mata wang juga
mengalami susut nilai yang agak tinggi. Kini ia berada pada paras RM3.60 bagi
setiap dolar.
7. Pada 2015 dijangkakan harga barangan
akan meningkat sekaligus meningkatkan kadar inflasi. Pelaksanaan GST bermula
April dan kenaikan semula harga minyak global khususnya akan lebih ketara
bermula suku kedua nanti turut meningkatkan harga runcit bahan api itu dalam
pasaran tempatan. Ia pastinya akan menambahkan beban kewangan yang terpaksa
ditanggung rakyat.
8. Walaupun pada keenam-enam senario
kelembapan atau kejatuhan ekonomi negara seperti yang dinyatakan ini dilihat
berlaku kerana faktor luaran, namun, persoalan kesensitivitian persekitaran
ekonomi negara terhadap perubahan luar agar mempunyai upaya kendiri bagi
mengurangkan impak itu dan membangunkan ‘sustainble economic growth’ adalah
sangat penting untuk dinilai dan disemak khususnya dengan kaca mata Islam.
Malaysia sebagai negara yang mempunyai pelbagai sumber yang melebihi keperluan
sepatutnya berada dalam situasi ekonomi yang sihat dan segar.
9. Akibat urus tadbir ekonomi dan
kewangan negara yang bermasalah, keadaan bertukar menjadi sebaliknya; sumber
yang ada tidak berkecukupan untuk menampung keperluan. Justeru, ia akan boleh
membawa kepada kegawatan dan ketidakstabilan masyarakat, lalu memaksa negara
itu meminjam, berhutang dan meminta bantuan daripada negara lain. Keadaan ini
akan selamanya berterusan jika ia tidak ditangani melalui
penyelesaian-penyelesaian yang bertepatan dengan kebijaksanaan akal manusia
yang berteraskan wahyu Ilahi serta sifat amanah para pemimpin.
10. Bagi mencapai apa yang saya maksudkan
tadi, panduan-panduan yang dikemukakan oleh Islam di dalam al-Quran dan
al-Hadis serta amalan Sahabat perlu kembali menjadi teras pembangunan dan
pengurusan ekonomi negara. Antara solusinya ialah;
PERTAMA
Perbelanjaan mestilah dibuat berdasarkan
keperluan dan lebihan yang ada. Bukannya merancang dan berbelanja melebihi
pendapatan.
“Mulakanlah dengan dirimu sendiri dan
bersedekahlah. Sekiranya terdapat lebihan, maka ia untuk ahli keluargamu.
Sekiranya terdapat lebihhan lagi (selepas penggunaan ahli keluargamu), maka
berikannya kepada kaum kerabatmu. Sekiranya masih ada lebihan juga, maka begitu
dan begitu. (Riwayat Muslim)
Bajet dengan perbelanjaan melebihi
pendapatan selama 18 tahun berturut-turut menunjukkan kita membelakangkan
panduan Islam ini.
KEDUA
Menegah daripada berlakunya pembaziran
dan ketirisan; sama ada disebabkan kecuaian ataupun sikap tidak amanah.
“.....dan makanlah, minumlah serta
janganlah kamu membazir. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada mereka
yang membazir.” (Surah al-A’raf : 31)
Laporan Ketua Audit Negara menjadi bukti
kukuh bahawa pembaziran dan ketirisan sentiasa wujud. Sama ada pencegahannya
tidak berkesan atau sengaja dibiarkan perkara itu berlaku demi menjamin
kepentingan-kepentingan pihak tertentu, ia tetap memberikan impak yang sangat
negatif kepada kedudukan kewangan negara.
KETIGA
Menyediakan instrumen membolehkan rakyat
memperolehi keupayaan memiliki "pendapatan boleh guna" (disposible
income) bagi memenuhi keperluan asas minima seseorang.
Ia boleh dilakukan sama ada dengan
pemberian bulanan oleh kerajaan sebagaimana berlaku di zaman Umar bin al-Khatab
atau oleh tabung bantuan bersasar oleh korporat-korporat negara. Ini kerana
konsep asas Islam ialah kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat lapar tidak
cukup makan dan tidak cukup pendapatan untuk keperluan asasi. Keadaan ini
mendorong berlakunya jenayah.
Di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin
al-Khattab seorang hamba milik Hatib bin Abi Balta'ah telah mencuri dan
menyembelih seekor unta milik seorang lelaki daripada Muzainah kerana Hatib
tidak memberinya cukup makan. Lalu Umar menegaskan kepada anak Hatib yang
menguruskan hamba tersebut :
وَاللَّهِ لَأُغَرِّمَنَّكَ غُرْمًا
يَشُقُّ عَلَيْكَ
"Demi Allah, aku pasti mendenda kamu
dengan denda yang sangat berat."
Umar lalu mengenakan ganti rugi 400
dirham bagi unta yang dicuri dan disembelih dan 400 dirham lagi sebagai denda
membiarkan hamba berlapar sehingga terpaksa mencuri. (Riwayat Imam Malik)
Hamba Hatib sepatutnya dipotong tangan
kerana mencuri. Tetapi oleh kerana kelaparan menjadi sebab dirinya mencuri maka
ia menjadi sebab untuk hukuman Hudud potong tangan digugurkan. Kesalahan pula
dibebankan kepada tuan punya hamba yang menyebabkan hambanya lapar lalu
mencuri.
Ia menjadi satu asas konsep bernegara
bahawa tuan punya hamba atau majikan atau kerajaan tidak boleh membiarkan
rakyatnya berlapar tidak cukup makan. Apabila berlaku rakyat kelaparan maka
bebanan dan kesalahannya mesti dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.
Bagaimana pula kerajaan hari ini yang
gagal menguruskan ekonomi dan mengenakan pelbagai sistem percukaian seperti
GST, cukai kenderaan yang tinggi, kenaikan harga rumah kerana monopoli dan
manipulasi sehingga rakyat kelaparan tidak cukup makan? Apakah kerajaan tidak
boleh dipertanggungjawabkan?
Harga barangan dan perkhidmatan, gaji
bulanan pekerja dan item-item yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup
rakyat termasuklah kos perumahan dan pengangkutan mestilah direvisi. Jika ia
benar-benar berpadanan dengan kemampuan rakyat, pasti jenayah dan perkara
munkar yang berlaku dalam masyarakat dapat dikurangkan dan dibasmi.
11. Saya rasa, memadailah tiga panduan
yang ditunjukkan oleh Allah, RasulNya saw dan sahabat Nabi seperti Umar ini
kita patuhi. Keberkatan pasti akan mencurah-curah ke atas kita semua.
Keberkatan inilah “parameter” yang tiada dalam sistem atau model ekonomi selain
Islam. Itulah punca sebenar kegagalan ekonomi sesebuah negara.
Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
AT-TAKIRI
(Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat)
Tarikh : 3 Mac 2015 / 12 Jamadilawal
1436H
Sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk artikel-artikel lain dalam
pelbagai isu negara
0 comments: