
MEMAKNAI ISTIQAMAH DALAM
PERJUANGAN
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
PUCHONG: Istiqamah itu
adalah tuntutan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah serta
meneladani Rasul secara konsisten dalam semua urusan hidup.
Perwakilan Dewan Ulama PAS
Negeri Pahang, Ustaz Aris Hazlan Ismail menegaskan perlunya beristiqamah dalam
tiga perkara utama iaitu aqidah, ibadah dan akhlak.
Hurainya, beristiqamah dari
sudut aqidah mestilah dengan mentauhidkan Allah dengan sebenar-benarnya serta
menolak segala isme dan fahaman yang bercanggah.
“Tak kira sama ada ianya
nama liberalisme, pluralisme, ataupun ianya bernama umnoisme sekali pun kita
tolak segala-galanya. Yang kita terima hanyalah Islam. Kita tak terima
isme-isme ciptaan manusia. Cuma perlu diingatkan para ulama jangan terlalu
hanyut dengan masalah khilafiyah.
“Ada di kalangan cerdik
pandai kita di bidang agama yang terlalu sibuk dengan perkara khilafiyah,
mengungkit balik perkara yang telah dikhilafkan ulama 500 ribu tahun yang lalu,
membincangkan semula perbalahan ataupun perkhilafan di kalangan para ulama di
zaman silam.
“Membangkitkan semula teks
usrah PAS yang kononnya bercanggah dengan aqidah Islamiyyah dengan aqidah
sunnah wal jamaah kerana berbicarakan tentang tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan
asma’ wassifat mengatakan ianya bercanggah dengan aqidah ahli sunnah wal
jamaah.
“Perkara ini telah pun
menjadi khilaf di kalangan ulama sejak sekian lama. Cukuplah kita mengambil
intipati yang penting, yang penting kita beriman dan mentauhidkan Allah SWT,”
terangnya pada Multaqa Ulama Se-Malaysia II di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang
Jaya, di sini baru-baru ini.
Keduanya ujar beliau,
istiqamah di sudut ibadat dengan memeliharanya sebagaimana Almarhum Tuan Guru
Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang walaupun dalam keadaan mencebek beg kencing,
beliau sanggup pergi ke pentas ceramah.
Ujar Ustaz Aris, bagi
kebanyakan orang tentunya tidak sanggup dan berasa malu untuk melakukan
sedemikian.
Manakala ketiga katanya,
para ulama perlu beristiqamah dalam memelihara akhlak di mana tidak harus
berakhlak sepertimana mereka yang menentang ulama.
Beliau juga menegaskan
pentingnya alim ulama memahami secara mendalam makna istiqamah supaya golongan
al-atba’ dapat difahamkan mengenainya.
Sementara itu perwakilan
Dewan Ulama PAS Negeri Melaka, Ustaz Helmi Salleh menerangkan, walaupun para
Rasul dan Sahabat RA merupakan golongan paling istiqamah, tetapi Allah tetap
menyeru mereka untuk beristiqamah.
“Menunjukkan bahawa sifat
istiqamah ini sangat penting, “muhimmun jiddan jiddan”, juga cara untuk
mendapatkan pertolongan Allah dan kemenangan menegakkan agama Allah ini adalah
mesti beristiqamah dalam perjuangan Islam. Begitu juga dalam pada masa yang
sama juga, barang siapa yang tidak beristiqamah dan mereka ini cuba untuk
memecahbelahkan jamaah, pada ketika itu amalan mereka itu ibarat sia-sia
belaka,” ujarnya.
Beliau memetik hadis Imam
Bukhari di mana Rasulullah menegaskan tidak bermanfaatnya amalan orang yang
menyekutukan Allah dan menderhaka ibu bapa serta mereka itu lari dan
memecahbelahkan perjuangan Islam.
Oleh sebab itu tegasnya,
dalam perjuangan suci ini perlu diberikan komitmen setinggi-tingginya bersama
para ulama yang ikhlas dan beramal dengan jiwa raga mereka.
“Dalam perjuangan ini kita
mesti meletakkan al-wala’ wal barra yang utama di mana perkataan al-wala’ itu
dari segi bahasa berasal daripada perkataan al-waliy yang membawa maksud dekat.
Bersama kita dekat dengan pemimpin yang dikasihi Allah SWT. Dalam masa sama
kita mengikut apa yang disuruh oleh Allah SWT, berikan ‘support’ dan juga kita
memberikan pertolongan dan perlindungan dan mempertahankan kepimpinan ulama
yang ada pada hari ini.
“Sama-sama juga memahami
konsep wala’ dan barra, di mana isu yang berlaku pada hari ini sebilangan
pimpinan ini tidak setuju dengan pandangan Presiden, terus menyatakan mereka
ini “ana bariiun” yang membawa maksud bebas peringatan tajarrud dan berlepas
diri.
“Ini menunjukkan bahawa apa
yang dinyatakan oleh Muhammad al-Qittaani, al barra itu menjauhkan dan
mengasingkan diri mereka ini makin jauh dengan jamaah. Sehinggalah mereka ini
dalam masa yang sama bermusuhan setelah diberi peringatan kepada mereka,”
pidatonya.
Istiqamah juga terangnya,
adalah dengan sentiasa bermesyuarat di dalam urusan agama serta berazam kepada
Allah SWT dan dalam menentukan sesuatu hukum atau sesuatu pandangan daripada
jamaah, hendaklah kamu bertawakkal.
0 comments: