Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dengan ini membantah sekeras- kerasnya kenyataan akhbar tuan yang telah disiarkan di dalam The Malaysian Insider pada 22 Mac 2015 jam 06:54 petang.
Dalam kenyataan itu tuan menyebut:
1. Dalam ketujuh-tujuh kawasan tersebut, PAS telah meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya. Mengikut tatacara lazim, calon-calon PAS akan menerima watikah yang ditandatangani oleh Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung parti.
2. "tindakan PAS untuk bertanding di tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR itu merupakan khianat yang nyata dilakukan dengan restu Hadi sebagai presiden parti".
Kenyataan tersebut jelas merupakan satu tuduhan melulu tanpa asas dan dibuat secara “mala fide”. Ia menghina kredibiliti YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS khususnya dan BPPWP amnya.
Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan adalah sememangnya parlimen yang di sepakati oleh Pakatan Rakyat untuk di tandingi oleh PAS pada PRU ke 13. Justeru itu, tidak timbul isu pengkhianatan PAS yang kononnya kerusi tersebut ditandingi oleh PKR dan PAS meletakkan calon di saat akhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya. Ini adalah satu kenyataan yang bohong, tidak bersandarkan kepada fakta sebenar dan mencemarkan nama baik Presiden PAS.
Sebenarnya, surat watikah calon bagi Parlimen Labuan P166 pada PRU13 lalu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Haji Mustafa Ali. Bersama-sama ini di lampirkan surat berkenaan sebagai bukti.
Maka tuduhan tuan tersebut ternyata palsu, meleset, tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Sebaliknya PKR lah melalui Ketua Umum dan Timbalan Presidennyalah yang telah merampas Parlimen Labuan tersebut dengan meletakkan calonnya bertanding di Parlimen P 166 Labuan.
Dengan yang demikian, BPPWP mendesak YB agar segera menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka dalam masa 48 jam dari tarikh nota bantahan ini. Kegagalan tuan berbuat demikian, maka BPPWP akan meneruskan dengan tindakan undang - undang tanpa merujuk kepada tuan lagi.
Maka mulai saat ini BPPWP tidak akan mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan DAP Wilayah Persekutuan dan DAP Labuan kerana DAP sudah terlalu biadap, tidak mempunyai semangat setiakawan dalam Pakatan.
Sekian Terima Kasih
HAJI MOHAMAD NOOR MOHAMAD
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
0 comments: