PAS Kutuk Penahanan Terhadap Timbalan Presiden PAS, Tian Chua, Rafizi Dan Aktivis Lain

Diterbitkan: 28 Mac 2015

Ditulis oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
PAS kutuk penahanan terhadap Timbalan Presiden PAS, Tian Chua, Rafizi dan aktivis lain.
PAS mengutuk sekeras-kerasnya penahanan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Rafizi Ramli dan para aktivis yang lain oleh polis tanpa sebab yang jelas dan kukuh.
Kerajaan perlu menghadapi bantahan rakyat terhadap GST yang bakal mendatang 1 April ini, dan beberapa isu panas seperti 1MDB dan salahguna kuasa; dan bukannya mengalihkan isu dengan tindakan membuli dan menahan pimpinan pembangkang dan aktivis-aktivis yang memperjuangkan isu rakyat tanpa sebab yang jelas.
Tekanan dan tindakan zalim seperti ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN dan juga hilang hormat pada kewibawaan polis.
Apa yang berlaku hari ini menunjukkan Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kuat untuk memastikan BN menjaga kelakuannya.
Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu memperbesarkan isu penyelewengan dan salahgunakuasa BN dan kecilkan perbezaan, terutamanya dalam isu hudud, khasnya melibatkan cadangan Private Members Bill di bawah Akta 355, yang hanya sekadar usaha kecil untuk meningkatkan sedikit hukuman di Mahkamah Syariah dari hukuman sebatan dari 6 sebatan kepada "sebatan yang menepati tuntutan syarak."
Hormatilah perbezaan kecil ini untuk membolehkan kita meraikan persamaan yang teramat luasnya.
Musuh politik kita masih sama iaitu BN-Umno.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
28 Mac 2015

0 comments: