Islam
Zaharudin Muhammad 15 November 2013
Mukadimah
Islam mempunyai sistem cukainya yang tersendiri. Sumber kepada
sistem percukaian Islam ialah al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, ijmak dan kias.
Ia telah diturunkan bukan sahaja adil bagi manusia keseluruhan, tetapi ia juga
merupakan sistem yang mengstabilkan ekonomi, khususnya keseimbangan antara
kuasa modal dan kuasa beli rakyat sebagai penjana produktivi.
Asas Ukuran Keharusan Cukai
Sesuatu hukum dirujuk kepada hukum asal yang telah dinaskan oleh
sumber al-Quran dan al-Hadis. Hukum asal berkaitan harta orang lain adalah
haram diambil melainkan mempunyai sebab yang dibenarkan syariat. Ini
berpandukan kepada firman Allah SWT, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)
harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama
suka di antara kamu."- (An-Nisa’: 29).
Di antara dalil yang lain ialah pesanan Rasulullah sewaktu Haji
Wada’ (Haji Selamat Tinggal), antara lain nabi SAW berpesan, bermaksud:
“Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah
saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan
dengan kerelaannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis ini memaksudkan selain daripada zakat dan perkara-perkara yang
dinaskan harus atau wajib diambil seperti zakat, yakni zakat bukan milik si
pemunya harta bahkan ia adalah milik si fakir, miskin dan asnaf-asnafnya.
Begitu juga tidak termasuk isteri atau anak dibawah tanggungannya kerana ia
dianggap sebagai seakan-akan sekutu pemilikan. Adapun selainnya, maka ia adalah
milik si pemunya dan tidak boleh diambil melainkan degan kerelaannya oleh
sesiapapun termasuk kerajaan.
Dan sabda nabi SAW, Maksudnya:
“Apabila mereka melakukan demikian (Islam) maka darah dan harta
mereka mereka adalah terpelihara melainkan (harta boleh diambil) dengan
cara-cara yagn dibenarkan oleh Islam.” – Riwayat Bukhari.
Di dalam kitab Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari menyebut, zakat
adalah salah satu cara pengambilan yang dibenarkan oleh Islam (sekalipun
tuannya tidak merestuinya).
Ayat di atas menegaskan memakan harta orang lain adalah haram
dan dikategorikan bentuk memakannya adalah batil. Ayat tersebut seterusnya
menyenaraikan bentuk pengecualian yang mengharuskan mengambil harta orang,
salah satunya ialah perniagaan.
Berdasarkan ayat ini, hukum asal memakan, mengambil dan memiliki
harta orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram sehinggalah
ada sebab dan dalil yang diharuskan syariat. Ia berbeza dengan hukum asal
makanan, minuman dan bentuk muamalat, di mana hukum asal bagi semua perkara
tersebut adalah harus kecuali ada tanda-tanda yang menunjukkan haram.
Justeru, apabila kita bertransaksi atau memakan sesuatu makanan
yang tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukum transaksi dan makanan
itu adalah halal justeru merujuk kepada hukum asalnya yang harus. Tetapi
berbeza dengan pengambilan harta atau wang milik orang, yakni hukum asalnya
haram berdasarkan ayat di atas, kecuali ada dalil dan bukti halal. Justeru,
apabila kita mengambil wang milik orang, jika tiada dalil dan bukti halal atau
haram, maka hukumnya adalah haram justeru merujuk kepada hukum asalnya yang
haram.
Sebagai contoh, kita boleh mengambil wang RM50,000 daripada
Ahmad sebab kita jual kereta kepadanya. Sebab keharusan ialah jual beli
(Al-Bai’). Kita boleh ambil wang daripada Ali sebanyak RM10,000 kerana kita
membuat ubah suai rumahnya. Sebab keharusan ialah upah (ujrah). Kita boleh
mengambil jam milik Ah Chong selepas kita membayarnya wang. Sebab keharusan
ialah jual beli. Kita boleh mengambil wang daripada Abu kerana agihan
keuntungan perniagaannya yang bermodalkan wang kita. Sebab keharusan ialah
pelaburan (Mudharabah).
Apabila kita berjalan dan jumpa wang RM50,000, maka kita tidak
boleh mengambilnya kerana tiada jual beli, tiada upahan kerja, tiada
pengeluaran modal, tiada sebab-sebab yang membolehkan, maka hukumnya haram
diambil dan RM50,000 tersebut dianggap sebagai harta laqatah (barang ciciran).
Maka hendaklah kita bertanya berkenaan GST, apakah sebab yagn
membolehkan kerajaan mengambilnya daripada rakyat? Jika tiada sebab ‘sebenar’,
maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu haram dan termasuk di dalam kategori
batil. begitu juga jika pemindahan hak berlaku dengan sebab, tetapi sebab itu
tidak diiktiraf oleh Islam, maka ia juga adalah batil. Contohnya seperti
pemenang judi yang mengambil bahagian pemain judi yang kalah, sekalipun judi
adalah sebab pemindahan milik, tetapi ia tetap dikategorikan sebagai baatil
kerana judi itu sekalipun sebab pengambilannya wujud, tetapi ia tidak diiktiraf
oleh syarat.
Adakah Hukum Ini Terlaksana Juga Ke Atas Kerajaan Mengambil Wang
Rakyat?
Selepas kita memahami bahawa hukum asal harta orang adalah haram
kecuali dengan sebab yang dibenarkan syariat, maka persoalan keseterusnya
adakah hukum ini terpakai atau terlaksana hanya ke atas individu dengan
individu, manakala kerajaan terkecuali dengan dibolehkan ambil harta dan wang
poket rakyat berhujahkan maslahah?
Di dalam mazhab ahlu sunnah wal jamaah, hukum ini bukan sahaja
terlaksana antara individu dengan individu, tetapi ia juga terlaksana antara
kerajaan dengan rakyat. Dalilnya cukup jelas daripada realiti berikut:
1. Pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal sewaktu beliau diutuskan
ke Yaman sebagai Gabenor. Baginda memberikan pesanan kepada beliau dengann
kata-kata berbunyi: "Awasilah harta-harta suci yang dimiliki oleh orang
Yaman”. Harta-harta suci yang dimaksudkan ialah harta yang dimiliki bukan
bahagian zakat atau jizyah. Dalam riwayat Bukhari menyebut dengan lafaz:
takutilah (daripada mengambil) harta-harta mereka yang suci.
2. Arahan Umar Abdul Aziz (Khalifah dari tahun 99H-101H) kepada semua gabenor
supaya menghapuskan semua cukai kecuali ia mempunya nas daripada al-Quran dan
Sunnah Rasulullah SAW. Cukai-cukai zalim ini telah dikenakan sebelum ini
khususnya pada zaman Hajjaj Yusof At-Thaqafi yang terkenal dengan kezaliman
pemerintahannya di Syam, Iraq, Mekah dan Madinah dari tahun 70H – 95H.
Di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan Imam Ibnu
Kathir menceritakan, tatkala Saidina Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau
memerangani pemimpin-pemimpin zalim sebelumnya yang telah mengenakan pelbagai
cukai kepada rakyat. Antara salsilah pemerintah sebelum ini yang sangat dibenci
oleh Umar Abdul Aziz ialah Yazid bin Mahlab, iaitu ipar kepada Hajjaj bin Yusof
As-Thaqafi. Yazid bin Mahlab telah ditangkap oleh Adi bin Arthoh dan
menyifatkan Yazid dan keluarganya (Mahlab dan Hajjaj) sebagai: “Mereka adalah
pemerintah kuku besi dan aku bencikan mereka”. Saidina Umar Abdul Aziz
memerintahkan supaya Yazid dipenjarakan sehingga semua harta orang ramai yang
dikutip sebelum ini dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666). Pernah anak
kepada Yazid bernama Makhlad meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya Yazid,
tetapi Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan hukuman
sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat.
Begitu juga Saidina Umar Abdul Aziz telah menghantar kepada
Gabenor Khurasan Al-Jarah bin Al-Hukmi yang telah mengenakan cukai Jizyah ke
atas non-muslim yang telah memeluk Islam dengan alasan mereka memeluk Islam
kerana ingin lari daripada Jizyah. Saidina Umar Abdul Aziz memecat Gabenor
tersebut dengan menulis, maksudnya:
“Sesunggunyanya Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai
pendakwah bukan sebagai pengutip cukai.”
Di dalam satu riwayat yang lain, Saidina Umar juga memerangi
Gabenor di Mesir yang telah mengenakan cukai pelabuhan dan mempertikaikan
tindakan Umar Abdul Aziz untuk menghapuskan semua cukai yang tiada nas.
Itulah antara sebab menjadi ‘purchasing power’ rakyat pada zaman
Umar Abdul Aziz meningkat, seterusnya memenuhi Baitul Mal. Kesannya tiada lagi
penerima zakat dan pemberian selepas itu sehingga harta melimpah ruah. Velocity
of Money terbaik berbanding sistem-sistem yang lain daripada Islam.
Itu antara contoh tindakan dan pendirian Khulafa ar-raasyidun
yang diiktiraf oleh nabi sebagai ikutan (perbuatan mereka adalah hujah), tidak
mengenakan cukai-cukai yang tidak dinaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah
SAW.
Semua dalil di atas adalah berkait dengan kerajaan mengambil
wang rakyat. Jika pengharaman memakan harta orang lain tanpa sebab hanya
diharamkan ke atas individu dan bukan kerajaan, nescaya kisah di atas tidak
akan timbul dalam sejarah.
Apabila kita meneliti pendapat yang mengharuskan pengambilan
harta rakyat tanpa bersumberkan kepada nas, kita dapati mereka keliru antara
pendapat ahlu sunnah wal jamaah dan syiah. Ya, sebahagian syiah membenarkan
pemimpin-pemimpin mereka mengambil harta rakyat sekalipun tanpa sebab kerana
fiqh mereka bersumberkan akidah bahawa Imam (pemimpin) adalah maksum. Berbeza
dengan Ahlu Sunnah wal jamaah, yakni akidah kita pemimpin tidak maksum, maka
pemimpin tidak boleh mengambill harta orang lain tanpa sebab dan berasaskan
maslahah akal semata-mata tanpa dipandu oleh nas.
Tuntasnya, hujah maslahah seterusnya membolehkan pemimpin negara
mengutip wang rakyat sesuka maslahah, maka itu adalah amalan dalam fiqh syiah,
bukan fiqh sunni.
Kenapa Kaedah Fiqh Tidak Boleh Dijadikan Hujah Dalam Isu Ini?
Antara hujah yang agak masyhur digunapakai oleh gologan yang
membolehkan kutipan cukai sesuka hati ialah kaedah yang berbunyi (maksudnya):
“Tindakan pemimpin terhadap rakyat adalah berdasarkan maslahah.”
Golongan yang berhujahkan dengan kaedah ini melakukan kesilapan
dari tiga sudut:
1. Dari segi mengguna pakai kaedah di tempat yang ada nas yang terang.
2. Kaedah bukan hujah, tetapi ia adalah garis panduan memahami nas dan hukum
furu'. Oleh itu, kaedah hanya digunapakai ditempat yang tiada nas bukan
ditempat yang berlawanan dengan nas.
3. Golongan yang mengguna pakai kaedah tadi bagi mengharuskan tindakan pemimpin
mengutip cukai seolah-olah memahami bahawa kaedah tersebut bermaksud: 'tindakan
pemimpin negara semuanya adalah demi maslahah' walhal sudut kaedah tersebut
ialah tindakan pemimpin mestilah dipandu oleh maslahah, jika tidak, maka ia
tidak boleh dilaksanakan.
Adakah Darurat Membolehkan Kutipan Cukai?
Dari segi hukum, boleh dikatakan ijmak ulama terdahulu
mengenakan cukai ke atas rakyat tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah
haram. Persoalan yang tinggal ialah, adakah darurat boleh mengharuskan cukai
dikutip?
Pertamanya, maksud difahami maksud dan makna darurat. Darurat
bermaksud sesuatu yang tanpanya akan menyebabkan manusia hilang agama, nyawa,
harta, akal dan keturunan. Jika tidak sampai ke tahap itu, maka ia bukan
darurat membolehkan kutipan cukai yang haram. dengan maksud lain, jika setakat
ingin menambahkan pendapatan negara, maka ia bukan darurat yang dimaksudkan
syariat.
Jika kita perhatikan, kutipan GST bukan bagi menampung sesuatu
keperluan darurat yang dimaksudkan oleh Syariat, bahkan ia lebih bersifat
memenuhi dan menampung keperluan sistem konvensional, di mana sistem itu sendiri
adalah bercanggah dengan Islam kerana bersifat ‘memusingkan harta sesama
golongan kaya’.
Darurat yang di maksudkan syariat seperti negara yang sedang
terdesak untuk dapatkan wang membeli senjata bagi mempertahankan negara yang
sedang diserang oleh musuh seperti berlaku pertembungan antara Sultan Mamalik
dengan Imam Nawawi untuk kenakan cukai ke atas rakyat justeru Mesir pada masa
itu berada pada saat genting justeru hendak diserang oleh tentera Monggol yang
tidak terkalah.
Dalam keadaan darurat perang beginipun masih lagi berlaku khilaf
dalam kalangan ulama adakah cukai yang tidak bersumberkan nas boleh dikutip?
Al-Dhohhak dan lain-lain berpendapat, cukai tidak harus
dikenakan dalam apa keadaan sekalipun, manakala imam Juwaini, Al-Ghazali dan
lain-lain berpendapat harus mengenakan cukai bagi keperluan-keperluan tertentu
(darurat).
Jika diperhatikan khilaf ini, ia sebenarnya khilaf dari sudut
keadaan dan suasana, bukan khilaf dari sudut dalil dan nas. Khilaf ini kita
dapat simpulkan bahawa, jika zakat dan sumber lain mencukupi, maka ulama
bersepakat bahawa cukai tidak harus dikutip daripada rakyat. Khilaf hanya
berlaku jika sistem cukai Islam sumber lain tidak mengcukupi untuk keperluan
Negara.
Bagi pendapat yang menyatakan harus mengutip cukai darurat, mereka
telah meletakkan syarat-syarat yang mengharuskan kutipan cukai.
Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1.Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain,
negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian
Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama Negara.
2.Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
3.Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat
dan keperluan rakyat.
4.Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara
yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan
disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat
memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
5.Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan
profesional berkait dengan isu tertentu.
6.Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia
langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
7.Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya
hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan
dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
8.Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka
kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan
alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.
Sebahagian ulama seperti Imam Nawawi meletakkan syarat bahawa
cukai apabila dikatakan darurat dan perlu, maka hendaklah terlebih dahulu ia
dibayar oleh pemimpin tertinggi, jika tidak cukup maka ia baru diturunkan ke
bawah dan ke bawah, tetapi tidak boleh sampai dikutip daripada golongan miskin.
Beliau berkata kepada Sultan Zaher Bebrus: “Aku tahu bahawa engkau dulunya
seorang hamba kepada Gabenor di Bendaqar dan engkau tiada harta satu pun.
Kemudian Allah memberi peluang kepada engkau dengan diberikan pangkat raja. Aku
dengar engkau mempunyai seramai 1,000 hamba dan setiap hamba tali pengikat kuda
disaluti emas. Engkau ada 200 hamba perempuan dan setiap seorangnya ada emas.
Apabila engkau keluarkan semua itu (sebagai pembayaran cukai) sehingga
hamba-hamba engkau memiliki baju daripada kapas biasa berbanding memiliki
perhiasan emas seperti sekarang, maka baru aku fatwakan engkau harus mengambil
cukai daripada orang ramai.” – Al-Bidayah Wa An-Nihayah.
Kesimpulan Dan Penutup
Dari sini kita dapat simpulkan hukum cukai moden adalah haram menurut Islam
berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Sebagai seorang muslim (sama
ada dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta orang
lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana
yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.
Cara ini adalah cara-cara sistem ekonomi yang sama sebagaimana
yang telah dilaksanakan oleh Khulafa Ar-Raasyidin seperti Saidina Abu Bakar,
Saidina Umar, Saidina Osman dan Saidina Ali, di samping cara Saidina Umar Abdul
Aziz di atas.
Hari ini ada pemimpin yang cuba menonjolkan mereka juga adil
seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Persoalanya, adakah mereka memahami bagaimana
cara pemerintahan beliau? Sebagaimana pepatah arab menyebut: “Kamu mahukan
kejayaan sedangkan kamu tidak melalui jalannya. Sesungguhnya kapal tidak akan
berjalan di atas daratan.”
Bermaksud, jika anda mengkagumi keadilan Umar Abdul Aziz dan gah
dengan Baitulmalnya melimpah ruah. Kemudiannya anda melaksanakan cara yang
bukan ekonomi Islam yang telah ditelusuri oleh Saidina Umar Abdul Aziz, maka
mustahil keadilan yagn sama akan terlaksana.
0 comments: