Selepas PRK Dun Chempaka, Umno lawan PAS

PENGKALAN CHEPA: Biar pun calon bebas mengambil posisi ditinggalkan Umno di Dun Chempaka, namun lawan sebenar PAS selepas pilihan raya kecil nanti ialah Umno dan Barisan Nasional (BN).

Anggota parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata beliau pernah bertembung dengan calon bebas pada pilihan raya umum lepas.
“Calon bebas yang bertanding di Parlimen Pasir Mas ketika itu menggunakan lambang bunga raya. Selepas pilihan raya calon bebas hilang entah ke mana, dan kita hanya berdepan Umno dan BN.

“Sekarang situasi serupa berlaku di Chempaka di mana Umno juga tidak bertanding. Hanya calon bebas yang berdepan dengan PAS sekarang,” katanya pada ceramah di sini semalam.

Pada pilihan raya umum lepas Nik Abduh berdepan dengan calon bebas, Datuk Ibrahim Ali di parlimen Pasir Mas setelah calon BN Che Johan Che Pa tidak menyerah borang pencalonan.

Ibrahim yang juga Presiden Perkasa gagal mempertahankan kerusi tersebut apabila tewas dengan majoriti 8,047 undi.

PRK Chempaka pula menyaksikan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berdepan dengan empat calon bebas.

Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan kematian bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempertahankan Dun berkenaan sejak 1986.

Nik Abduh yang juga anak arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz berkata, PAS tetap berdepan dengan Umno sampai bila-bila selagi parti itu meneruskan dasar sekular dan menolak perundangan Islam. –HARAKAHDAILY 15/3/2015

0 comments: