SPM: Tahniah Anak Sarawak


Dewan Pemuda PAS Sarawak mengucapkan tahniah kepada anak-anak Sarawak atas keputusan SPM yang diumumkan hari ini. Keputusan yang diumumkan hari ini mencatatkan sejarah apabila keputusan 2014 merupakan yang terbaik dalam tempoh 11 tahun sejak 2004. Pencapaian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Sarawak mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) adalah 5.44 berbanding 5.31 pada 2013.

Menurut pengumuman oleh Pengarah Pendidikan negeri, Puan Hajah Serina Sauni, tujuh buah sekolah mencatatkan prestasi cemerlang dalam semua mata pelajaran iaitu SM Sains Kuching, SM Sains Miri, SM Sains Kuching Utara, SMP Lodge Kuching, MRSM Betong, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah Kuching dan SMK St Elizabeth, Sibu.
Keputusan ini membuktikan kemampuan anak Sarawak untuk berjaya dalam bidang akademik. Sebelum ini, anak-anak Sarawak juga telah membuktikan kemampuan dalam bidang-bidang lain seperti sukan dan kebudayaan.

Dewan Pemuda PAS Sarawak juga menyokong aspirasi Ketua Menteri Sarawak untuk memajukan prestasi pendidikan Sarawak termasuk usaha menambah guru daripada kalangan anak Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini.

Namun, Dewan Pemuda PAS Sarawak mengingatkan supaya kejayaan ini hendaklah tidak mengabaikan pelajar di luar bandar dan pedalaman Sarawak. Fasiliti dan mutu pengajaran di luar bandar hendaklah tidak diabaikan dan ditambah baik.
Pendidikan agama terutama pembangunan sekolah agama juga hendaklah dipertingkatkan bagi melahirkan pelajar yang serba boleh.

Dewan Pemuda PAS Sarawak juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru seluruh Sarawak atas kejayaan ini. Jasa baik, pengorbanan dan keringat guru-guru amatlah dihargai dan semoga mendapat balasan oleh Allah s.w.t.


M Arifiriazul B Paijo
Ketua Pemuda PAS Sarawak


0 comments: