1. PAS berasa kesal dengan sikap keangkuhan kerajaan Barisan Nasional yang menafikan hak Ketua Pembangkang untuk hadir ke Parlimen. Hari ini di dalam sejarah insitusi legislatif, apabila majlis perasmian sidang Parlimen berlangsung tanpa kehadiran Ketua Pembangkang. Walaupun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah menjadi tahanan di Penjara Sungai Buloh tetapi kelayakan beliau sebagai wakil rakyat Permatang Pauh masih belum hilang selagimana Lembaga Pengampunan tidak membuat keputusan terhadap permohonan pengampunan yang telah dihantar.
2. Tindakan pihak kerajaan menyekat hak demokrasi yang telah dijamin di sisi Perlembagaan ini bukan sahaja mengecewakan kami ahli parlimen pembangkang tetapi seluruh rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat pada PRU 13 yang lalu. Pelbagai alasan diberikan oleh kerajaan untuk menghalang Ketua Pembangkang daripada hadir berbahas di Parlimen tetapi hakikatnya pihak Komisioner Penjara berhak untuk menggunakan budibicaranya sepertimana terkandung di dalam Seksyen 31(1)(a) Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan bahawa Komisioner Jeneral Penjara boleh mengarahkan supaya banduan dibawa ke mana-mana tempat di Malaysia melalui perintah bertulis, setelah berpuas hati terdapat alasan munasabah yang menghendaki kehadiran seseorang banduan di tempat itu. Pihak Komisioner Penjara sepatutnya membuat keputusan dengan bebas, berani dan adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana rakyat tetap melihat keputusan penolakan itu bersifat politik iaitu menafikan hak Ketua Pembangkang yang menjadi musuh kepada Kerajaan Barisan Nasional.
3. Saya melihat tindakan Kerajaan BN menyekat Ketua Pembangkang hadir ke Parlimen ini telah memburukkan imej Malaysia di mata dunia. Sebagai sebuah negara demokrasi yang mengambil pendekatan Wasatiyyah yang dilaung-laungkan itu sepatutnya Kerajaan BN bertindak mengikut lunas demokrasi dan perikemanusiaan bukannya dendam.
4. Justeru, PAS menegaskan agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan semula permohonan untuk memberi keizinan kepada Ketua Pembangkang agar dapat hadir berbahas khususnya sebagai tanda menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berangkat mencemar duli merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Yang Ketigabelas.
Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
0 comments: