Umno di belakang calon Bebas - Muslimat PAS


 

KOTA BHARU: Muslimat PAS dan wanita Pakatan Rakyat dari seluruh negara disaran membantu calon PAS di Dun Chempaka biar pun BN tidak menyertai pilihan raya berkenaan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, bantuan tenaga kempen dari luar Kelantan perlu digembling memandangkan calon-calon bebas dipercayai mesra Umno.
Katanya walaupun Umno dan BN tidak meletakkan calon, namun mereka ada hubungan secara tidak langsung dengan calon bebas.
“Kita jangan lalai dan leka. Jentera kempen mesti berwaspada jangan ingat musuh tidak ada biar pun BN tidak bertanding di Chempaka,” katanya di sini.
Pilihan raya kecil (PRK) Dun Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Febuari lalu akibat kanser prostat.
Pada penamaan calon semalam empat calon bebas berdepan dengan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood. Pada pilihan raya umum lepas Tok Guru Nik Abdul Aziz menang dengan majoriti 6,500 undi.
Ketua Wanita PKR Kelantan, Noraini Husin berkata, Wanita PKR bersedia bersama Muslimat PAS turun padang membantu kempen calon untuk mengekalkan kemenangan Dun Chempaka.
Katanya kemenangan Tok Guru selama tujuh penggal di Chempaka perlu dipertahankan di bawah Ustaz Ahmad Fathan.
Siti Zailah juga berkata, pemilihan Ustaz Fathan sebagai tepat dalam usaha mengekalkan legasi perjuangan Tok Guru.
“Pengalaman politik serta sering turun ke bawah dapat diteruskan Ustaz Fathan di samping untuk membawa suara rakyat ke persidangan Dun,” ujarnya.
Noraini juga berkata Ustaz Fathan dikenalinya kerana sama-sama dilantik sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur kerana PAS memilih beliau sebagai calon memandangkan wataknya seorang ulama sebagaimana juga Tok Guru,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

0 comments: