Hulu Langat, 1hb Mac 2015 : Ahli dan pendokong PAS diingati agar menjaga prinsip perjuangan PAS agar tidak tersasar daripada dasarnya.
Demikian ingatan Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi kepada ahli-ahli PAS Hulu Langat dalam Program Mukhayyam Tarbawi anjuran Lajnah Tarbiah PAS Kawasan.
Beliau menegaskan lagi, Parti Istiqlal Morocco yang bermula benihnya seawal 1937 dan ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1944 bermula sebagai parti Islam dan seterusnya menjadi parti yang berkongsi pemerintahan di negara Morocco sepanjang 60 an, 70 an dan 80 an.
Ia diasaskan oleh salah seorang tokoh ulamak dan tokoh gerakan Islam semasa iaitu Syeikh Allal bin Abdul Waahid al-Fasi (lahir 1910 - meninggal 1974). Beliau mempunyai puluhan karya tentang Islam termasuk di bidang Maqasid dan Usul Fiqh.
Namun, kemasukan pemimpin yg berfikiran liberal dalam tampuk kepimpinan parti hingga akhirnya mereka menguasai kepimpinan telah merubah parti Istiqlal daripada berdasarkan Islam kepada parti berfikiran liberal dan kemudiannya bertukar pula menjadi parti sekular. Parti Istiqlal dilihat telah meninggalkan banyak dasar-dasar Islam apabila membiarkan pelbagai dasar bercanggah dengan Islam menjadi sebahagian dasar negara Morocco terutamanya di era kompromi dengan parti sosialis membentuk kerajaan bersama dari tahun 1992 - 2007.
Pada tahun 1973, Syeikh Allal bin Abdul Waahid al-Fasi berkata kepada para Ulamak Morocco; "Parti Istiqlal tidak lagi bersifat Islam. Sekiranya kamu ingin kekalkan sifat Islam yang ada pada parti perlulah kamu sertainya segera sekarang."
Beliau turut mengambil contoh apa yang berlaku ke atas parti AKP Turki sekarang yang sudah memperlihatkan kebimbangan terhadap kecairan identiti parti tersebut.
“ Saya pernah pergi ke Turki ketika waktu pilihanraya suatu ketika dahulu, saya terkejut kerana sudah ada calon wanita daripada Parti AKP yang tidak memakai tudung kepala" ujar beliau lagi.
" Barangkali ada yang berbangga kerana dilihat diterima oleh orang tidak memakai tudung kepala , tetapi kita harus ingat calon adalah mewakili kepimpinan, sekiranya pemimpin sendiri sudah hilang identiti Islam , bagaimanakah ianya akan membawa mesej Islam dalam erti kata yang lebih menyeluruh" tegas beliau dengan disambut laungan takbir oleh para peserta Mukhayyam.
Oleh itu beliau mengingatkan ahli PAS supaya memastikan PAS terus kekal mempertahankan prinsip perjuangannya sehinggalah tertegaknya negara Islam.
0 comments: