Wahai sahabatku,
Keberadaan kita dalam jamaah bukan untuk menyusahkan jamaah atau pimpinannya. Lantaran itu, berusahalah bagi membantu jamaah dan kepimpinannya dalam apa jua situasi samada damai atau waktu berhadapan dengan mehnah. Kamu tidak akan merasai nikmat jamaah andainya kamu tidak berusaha melarutkan dirimu dalam jamaah.
Wahai sahabatku,
Berada dalam jamaah ini tada permaidani merah akan menyambutmu. Tiada pujian dan kalungan bunga mewarnai jalan perjuangan ini. Kita mewarisi jalan yang dilalui oleh para Rasul tanpa mukjizat dan wahyu. Kita akan terus harungi perjuangan getir ini dengan penuh kesabaran dan tawakal. Lantaran itu, kita harus bersedia dengan apa yang kita ada.
Wahai sahabat seperjuanganku,
Alangkah indahnya nikmat ukhuwah yang ada dalam jamaah ini. Kita bersaudara besar yang melebihi hubungan keluarga dan darah keturunan. Nikmat ukhuwah ini tidak kamu dapati andainya kamu berada di luar jamaah. Apa lagi kalau engkau berada dalam kumpulan yang menentang Islam dan perjuangannya.
Wahai sahabatku,
Ukhuwah dalam jamaah akan lahir bila mana kamu rasai hormat pada pimpinan dan sahabat seperjuanganmu. Engkau akan merasainya bilamana kamu dapat membezakan siapa sahabat dan siapa pula musuh kamu. Lalu kamu akan bertindak selaras dengan kedudukan tersebut. Kamu akan merindui sahabatmu bilamana kamu tidak menemuinya atau kamu tidak berhubung dengannya.
Wahai sahabatku.
Aku ingin melahirkan kebimbanganku terhadap suasana ukhuwah dalam jamaah ini. Terkadang kenyataan kita kepada kepimpinan ini dibuat dengan tiada adab dan hikmah. Kadang-kala, sehingga kita rasai seolah pimpinan kita tidak mengetahui apa yang kita ketahui. Bahkan ada yang menegur pimpinan tentang bahaya musuh seolah-olah pimpinan tidak mengenali musuh.
Wahai sahabatku,
Ukhuwah ini lahir dari hormat dan thiqah kita dan di waktu yang sama adalah akhlak kita. Engkau tidak mungkin merasainya tanpa sifat tersebut. Lantaran itu, belajarlah untuk menghormati orang lain atau pandangan yang berbeza dengan kita. Engkau perlu menghormati pimpinan dan sahabatmu kerana ia adalah sebahagian darimu dalam jamaah. Ia lebih dari apa yang kamu ada di dunia ini. Pandanganlah dengan mata hatimu sebelum engkau memandangnya dengan mata zahirmu.
Wahai sahabatku.
Apa jua kedudukanmu kini bukanlah hasil kecerdikan atau kelebihanmu melainkan ianya adalah usaha sahabat seperjuanganmu. Penat lelahmu, keringat dan air mata mereka adalah jalinan tali ukhuwah ini. Sayangilah sahabat seperjuanganmu dan jamaah ini. Bila air keruh, hentilah sementara untuk bagi masa air tenang dan jernih semula. Biarlah sekadar kocak-kocak air yang tidak mengeruhkan keadaan dan merosakkan ukhuwah jamaah. Kalau berlumba, wahai sahabatku, biarlah hanya ke arah menambahkan kebaikan dan saling memperkukuhkan jamaah.
Tuan Ibrahim Tuan Man
7 Mac 2015
0 comments: