CUKAI GST TIDAK DIPERLUKAN JIKA NEGARA BERHEMAH DALAM BERBELANJA




1. Kenapa saya mempertikaikan keperluan untuk Kerajaan menambah hasil pendapatan negara menerusi percukaian GST?

JAWAPANnya ialah kerana saya meragui cara Kerajaan membelanjakan hasil pendapatan itu. Cara berbelanja Kerajaan saban tahun akan menjadikan negara sentiasa tidak berkecukupan hasil meskipun diberikan sebuah lembah emas sekalipun.

Ia sepertimana ibarat sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

{ لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى إلَيْهِ ثَانِيًا ، وَلَوْ كَانَ لَهُ وَادِيَانِ لَابْتَغَى لَهُمَا ثَالِثًا ، وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إلَّا التُّرَابُ
“Sekiranya anak Adam mempunyai satu lembah penuh harta tentulah dia mahukan satu lembah lagi. Kalau dia mempunyai dua lembah tentu dia mahukan yang ketiga. Dan tidak boleh memenuhi mulut anak Adam melainkan tanah (maksudnya mati).” Hadis disepakati Bukhari dan Muslim


2. Saya senaraikan satu contoh dahulu iaitu Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2012 berdasarkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012 dan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2012 sebagaimana berikut :

(i) Kerajaan membentangkan bajet perbelanjaan untuk 2012 ialah sebanyak RM232.8 bilion dengan perbelanjaan mengurus ialah RM181.6 bilion dan perbelanjaan pembangunan ialah RM51.2 bilion. Sementara jangkaan kutipan hasil pula ialah RM186.9 bilion. Ertinya belanjawan telah defisit sebanyak RM46 bilion.

(ii) Hasil sebenar negara ialah RM207 bilion iaitu meningkat sebanyak RM21 bilion daripada jangkaan asal RM186.9 bilion. Ertinya dengan peningkatan hasil itu defisit belanjawan sepatutnya boleh berkurang kepada RM25 bilion sahaja. Tetapi apa yang berlaku sebenarnya dalam perbelanjaan negara?

(iii) Perbelanjaan sebenar negara 2012 ialah RM254 bilion iaitu lari sebanyak RM21 bilion daripada anggaran asal iaitu RM232.8 bilion. Dengan hasil meningkat sebanyak RM20 bilion kepada RM207 bilion daripada jangkaan asal RM186.9 bilion, negara tetap mencatatkan defisit perbelanjaan yang besar iaitu RM47 bilion. Sedangkan defisit ketika pembentangan bajet ialah RM46 bilion.

Ringkasannya :
(a) Bajet 2012 : RM232 bilion

(b) Anggaran Hasil : RM186 bilion

(c) Defisit Bajet 2012 : RM46 bilion

(d) Perbelanjaan Sebenar : RM254 bilion

(e) Hasil Sebenar : RM207 bilion

(f) Peningkatan Hasil : RM21 bilion

(g) Defisit Perbelanjaan 2012 : RM47 bilion.



3. Kesimpulannya, peningkatan hasil negara tidak menjadikan negara mempunyai lebihan kewangan. Perbelanjaan Kerajaan tetap defisit. Semuanya angkara cara berbelanja.


4. Bagaimana negara mendapat hasil pada tahun 2012? Sumbernya adalah seperti berikut :

(i) Cukai Langsung sebanyak RM116 bilion (56%). Tiga yang utama daripada cukai langsung ini ialah cukai pendapatan individu, syarikat dan petroleum. Pecahannya ialah RM54.bilion daripada cukai syarikat, RM32 bilion daripada cukai petroleum dan RM22 bilion daripada individu.

(ii) Cukai Tidak Langsung RM35 bilion (17%). Ia merangkumi duti import, eksport, eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Cukai jualan dan perkhidmatan menyumbang sebanyak RM15 bilion.

(iii) Terimaan lain RM56 bilion (27%). Antaranya ialah royalti petroleum.

5. Hasil negara jika ditolak cukai SST telah menyumbang sebanyak RM191 bilion iaitu menerusi hasil cukai langsung RM116 bilion, cukai tidak langsung RM19 bilion dan terimaan lain RM56 bilion.

6. Kerajaan berhasrat meningkatkan hasil dengan cukai GST sedangkan negara sebenarnya bukan bermasalah untuk mendapatkan hasil. Tetapi masalah besar Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN ialah pada membelanjakan hasil.


7. Oleh itu, adakah cukai GST masih diperlukan? Tidak sama sekali!


Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Tarikh : 30 April 2015 / 10 Rejab 1436H
__________


Lawati page facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :

Sila "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di :https://www.facebook.com/dewanulamakpas

0 comments:

MAHASISWA DITAHAN DALAM JELAJAH BANTAH GST DI UITM



Jelajah Mahasiswa Bantah GST merupakan ikhtiar GAMIS bersama mahasiswa bagi menerangkan kesan dan kezaliman cukai GST kepada mahasiswa, sekaligus sebagai respon kepada Ahmad Maslan sebagai Menteri GST yang pernah hadir di UiTM mencadangkan mahasiswa masak sendiri untuk elak GST.

Dalam siri Jelajah Mahasiswa Bantah GST di UiTM Shah Alam malam tadi, keadaan menjadi kecoh apabila pidato dari GAMIS disekat dan dihentikan oleh pihak bantuan polis uitm dengan cuba merampas mikrofon.


Cubaan untuk berunding dengan pihak polis berakhir dengan penahanan Presiden GAMIS, saudara Mohd Imran Md Ishak dan saudara Mujahid, Pengerusi Majlis Politik Nasional, selama 3 jam di Ibu Pejabat Polis Bantuan UiTM hanya kerana berkongsi rasa tekanan GST yang dikenakan kepada rakyat Malaysia.




Jelas, pihak berkenaan tergugat dengan suara mahasiswa, sehingga polis terpaksa digunakan. Misi menerangkan kebenaran akan kami teruskan demi rakyat. Perlawanan legasi Tok Janggut diteruskan.


Ahmad Fahmi Mokhtar
Timbalan Presiden 
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia GAMIS

0 comments:

DATO SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG SELAYAKNYA DIANGKAT SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG


Situasi politik menjelang suasana semasa dan persiapan menghadapi PRU14 memerlukan ikon yang boleh menjadi "enabling factor" untuk menumbangkan dominasi UMNO/BN.


Sekali lagi saya tegaskan rakyat sudah muak dengan UMNO. Persoalannya kepada siapakah kuasa pemerintahan akan diserahkan? Siapa yang akan mendominasi? Adakah di sana jaminan tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa?


Adakah wujudnya keadilan dalam agihan kekayaan negara? Adakah sistem pentadbiran negara akan lebih transparent? Apakah pengganti UMNO/BN boleh dipercayai dalam memikul amanah ini?


Dengan apa alasan sekalipun landskap politik Malaysia, tidak boleh meminggirkan survival Melayu dan Islam. Inilah benteng terakhir UMNO/BN. Parti bukan Melayu dalam komponen BN tidak bersetuju, tetapi mereka harus "bersetuju di atas perkara yang mereka tidak bersetuju" demi mengekalkan kuasa BN.


Pada hemat saya, hanya dengan mengangkat Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang sebagai ketua pembangkang dan cerminan Perdana Menteri masa depan sahaja yang boleh mempercepatkan dan memudahkan proses peralihan kuasa UMNO/BN kepada Pakatan Rakyat dalam PRU14 akan datang.


Kalau rakan Pakatan Rakyat mengidam untuk ke Putrajaya, mereka sepatutnya bersetuju terhadap cadangan saya, dan mungkin ia adalah "persetujuan yang mereka tidak bersetuju"


"PAS MELANGKAH DENGAN BERRINSIP, MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT"


* Catatan Kempen PRK P091 dari Felda Kratong 4 ke Markas Induk, Bandar Muazam Shah


Terus beristiqamah


Hj. Razman Hj. Zakaria 
Pesuruhjaya PAS Perak

Rabu, 29 April 2015 
11 Rejab 1436

0 comments:

Bersama Dato Sarchu Sawal Iaitu Bekas CEO Koperasi Permodalan Felda (KPF)





Mari ikuti penjelasan Dato' Sarchu Sawal (bekas CEO Koperasi Permodalan Felda (KPF). Beliau menjadi CEO KPF daripada tahun 1996 hingga 2012 (16 tahun). Berkhidmat dengan FELDA daripada tahun 1975 hingga 2012 (38 tahun).


Ketika beliau (Dato' Sarchu) mula mengetuai KPF pada tahun 1996, saham KPF bernilai RM200 juta. Setalah 15 tahun beliau bangunkan KPF, sahamnya RM2 bilion. Meningkat 10 kali ganda. Manakala dividen tahunan KPF untuk pencarumnya khususnya dikalangan peneroka FELDA sebanyak lebih 15 peratus. Dividen tertinggi melebihi Tabung Haji dan lain lain. Malah ketika ekonomi meleset 1997 pun, KPF memberi dividen sebanyak 10 peratus. KPF menjadi koperasi terbaik no 1 di Malaysia dan no 20 di dunia.


Namun koperasi yang memberi pulangan baik kepada peneroka, anak anak peneroka dan kakitangan FELDA itu mengalami zaman gelapnya apabila saham KPF dibeli oleh Felda Global Venture (FGV). FGV disenaraikan di Bursa Malaysia dengan harga RM4.50 seunit. Sahamnya hari ini semakin jatuh sehingga hanya bernilai RM2.09. Maka dengan sendirinya ia memberi kesan kepada KPF menyebabkan peneroka sebagai pencarum utama KPF sukar untuk mendapat dividen seperti sebelum ini.


Inilah FELDA dibawah Pengerusinya Isa Samad dan dibawah Perdana Menterinya Dato Seri Najib Tun Razak. Ketika mengumumkan penyenaraian FGV, beliau menjanjikan habuan besar kepada peneroka dan penyenaraian ini akan mengubah kehidupan peneroka ke satu tahap yang sukar digambarkan. Kata Najib, peneroka akan terbeliak matanya apabila merasai kejayaan penyenaraian nanti. Tetapi hakikatnya, peneroka hari ini terpaksa membayar hutang bank setiap bulan kerana harga saham FGV yang diberikan 800 unit kepada mereka telah merudum jatuh. Lebih malang, KPF yang sedia untung buat peneroka pun menerima kesannya. Bahkan beberapa minggu ini, banyak peneroka FELDA di seluruh negara tidak menerima gaji atau wang hasil jualan sawit dan getah mereka seperti dijadualkan. Lewat beberapa hari disebabkan duit tidak ada. Kenapa teruk sekali prestasi ini.


Isa dan Najib mesti dipecat. Mereka mesti bertanggungjawab di atas kegagalan yang disengajakan ini.


Mohd Nasaie Ismail
Ketua Penerangan
PEMUDA PAS MALAYSIA

Naib Presiden Persatuan Anak Anak Peneroka FELDA (ANAK)

Rompin
12.14pm

0 comments:

Taniah Kepada DPP Pulau Pinang- Nasrudin Hassan


Keputusan yang bijak. Saya ucap tahniah kepada DPP Penang yang diketuai oleh Ust Yusni Mat Piah juga tahniah kepada Ust Khalil Abdul Hadi selaku Timbalan Ketua DPP Malaysia dan Ir Khairil Nizam selaku Naib Ketua DPP Malaysia kerana berjaya mengharmonikan keadaan.

Saya kira ini satu langkah terbaik dan sikap yang jujur. Mengambil keputusan untuk kepentingan semua bukan hanya untuk kepuasan sendiri. Mereka tegas namun masih boleh bertoleransi apabila melibat perkara yang wajar dan betul.

Apa pun tahniah sekali lagi dari saya. Kita fokus untuk mengalahkan UMNO dan BN di Permatang Pauh dan juga di Rompin. Selamat Berjuang

Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat

0 comments:

PENDIRIAN TERKINI DEWAN PEMUDA PAS PULAU PINANG MENGENAI PRK P.PAUH

1. Setelah berbincang dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Ust Muhammad Khalil Abdul Hadi (Timb Ketua Pemuda PAS Malaysia) dan Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin (Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia), maka kami sebulat suara telah memutuskan untuk akur arahan PAS Pusat bagi membantu gerak kerja PRK P.Pauh.

2. Dalam masa yang sama, kami juga tetap dengan pendirian kami sebelum ini supaya AMK P.Pinang menarik balik kenyataan melampau terhadap Presiden PAS dan memohon maaf.

Sekian, terima kasih.
MOHD YUSNI MD PIAH
Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang
29 April 2015

0 comments:

Nafi Hak Pelajar

Diterbitkan: 28 April 2015

Ditulis oleh WARTAWAN SINAR HARIAN

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah kesal dengan tindakan kerajaan negeri menangguhkan program dan aktiviti yang melibatkan sekolah agama di negeri ini tanpa penjelasan yang meyakinkan.


Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, arahan penangguhan itu berkuatkuasa serta-merta dan mengejutkan pihak sekolah yang menerima maklumat itu.


“Sebahagian guru dan penggerak pendidikan Islam, dari sekolah menengah agama, sekolah rendah agama, kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dan taska yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bingung kerana alasan yang diberikan merujuk kepada perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya inginkan penjelasan apakah situasi yang terlalu mendesak sehinggakan aktiviti melibatkan pendidikan Islam ditangguhkan oleh kerajaan negeri.


“Pihak kami mendapat makluman bahawa kerajaan negeri kini sedang berdepan dengan krisis kewangan dan tidak mampu menjana wang sebaiknya sehingga mengorbankan aktiviti pendidikan Islam,” katanya.


Mohd Nasir berkata, persoalan ini perlu diperjelaskan oleh JHEAIK dan kerajaan negeri memandangkan sebelum ini, kerajaan negeri mampu melaksanakan program mega seperti Kedah Berselawat dan menanam pokok kurma di Seri Mentaloon.


Berikutan itu, pihaknya mempersoalkan adakah kesemua peruntukan sudah habis digunakan atau kerajaan negeri menafikan hak pelajar dan guru sekolah agama untuk menikmati peruntukan bagi menjalankan program tahunan sekolah.


“Alangkah elok sekiranya peruntukan sebanyak itu digunakan untuk mengimarahkan sistem pendidikan Islam dari peringkat taska hingga ke peringkat tertinggi, misalnya bagi program di Kolej Universiti Insaniah (Kuin),” katanya.

0 comments:

USRAH WHATSAPP (USWAH) SIRI 105




Dalam Kitab Al-Sulthoh Wal Mu'aarodhoh Fil Islam karya Zuhair Hawwari telah menyebut tentang usaha Rasul dan Para Sahabat Ridwanullah Alaihim untuk mendapatkan Sulthoh dan pertahanan ketuanan Islam:

"Rasulullah S.A.W semasa mengetuai kepimpinan di Madinah mengatur sulthoh atau kuasa pemerintahan berteraskan wahyu Allah dan golongan Yahudi kebanyakan mereka tidak setuju dengan pembawakan Nabi dari sudut pentadbiran sosial dan aspek pemikiran yang ada hubungkait dengan agama islam. Semasa zaman Saidina Abu Bakar Al-Shidiq, inilah juga perjuangan yang dibawa dan beliau sangat bertegas dalam memerangi Rom dan Parsi dalam usaha penegakan agama. Zaman Saidina Umar berlaku banyak pembukaan kota juga wilayah dan usaha memperluaskan kekuasaan agama islam dipertingkatkan".


Perjuangan islam dibangunkan atas dasar akidah dan agama. Usaha untuk pengukuhan akidah dan tatbiq agama secara syumul mesti diperkukuh disetiap zaman dan keadaan walaupun berubah strategi dan suasana pemerintahan. Sulthoh sangat penting dalam memperluaskan kekuasaan agama serta melaksanakan tatbiq hukum secara syumul namun sulthoh bukanlah segala-galanya jika usaha tegak agama terabai. Dalam akidah islam, kejayaan membawa agama dalam hati masyarakat dan mengembangkan hak-hak agama adalah suatu kemenangan hakiki dunia dan akhirat walaupun pada zahirnya kekuasaan memerintah masih tidak tampak jelas dimuka bumi. Tanpa kekuasaan boleh jadi kita sebagai umat islam nampak azillah atau lemah dan tidak berupaya, namun Allah telah beri kemenangan dengan tegak dan izzahnya agama dalam masyarakat.


Perjuangan Parti Islam sememangnya mensasarkan penegakan undang-undang Islam dimuka bumi. Ini adalah asas dan dasar penubuhan Parti Islam Se-Malaysia, sejak dulu kini dan selamanya. Mendapat undi dan kerusi di Parlimen juga termasuk dalam agenda perjuangan Parti Islam Se-Malaysia dan bukannya disisihkan sama sekali namun sangat diutamakan dasar pelaksanaan undang-undang islam terlebih dahulu setelah ianya berpuluh tahun diusahakan. Cepat atau lambat kemenangan tersebut bukan menjadi persoalan anggota parti untuk dibahaskan sebaliknya menjadi kewajipan pimpinan dan anggota parti agar disematkan dasar perjuangan ini supaya sentiasa menebal dalam sanubari. Sememangnya perjuangan parti Islam tidak hanya mensasarkan undian rakyat sahaja dan usaha mendapatkan kuasa tidak boleh untuk membelakangkan penegakan agama.


~Asri ed-Diwanie 
5 Rejab 1436

0 comments:

Catatan Tadabbur Qur'ani Juz 25 : Mengimani Allah Maha Mendengar Dan Maha Melihat Serta Maha Tahu



(فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ * لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ)

[Surat Ash-Shura 11 - 12]


Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.


Dia lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Ia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


1. Fakta Saintifik yang jelas diperakui dalam ilmu Sains semasa berkaitan kejadian langit dan bumi, manusia dan binatang ternakan berpasangan seterusnya dilimpahi segala keperluan kepada kehidupan makhluk menjadi bukti ALLAH Maha Melihat dan Maha Mendengar serta Mengetahui.


2. Seluruh fakta saintifik di dalam al-Qur'an sejak 14 abad yang lalu diberitakan kepada manusia sedangkan ilmu Sains yang berkembang pada hari ini baharu sahaja menemui fakta-fakta tersebut menerusi kajian akal.


3. Alangkah angkuh manusia yang bertuhankan akal sekiranya tidak mahu kembali kepada pemilik ilmu sebenar iaitu Allah al-'Alim Yang Maha Bijaksana.


4. Masih belum terlambat para Saintis, para pengkaji, para pendidik dan pencinta ilmu untuk kembali kepada al-Qur'an sebagai sumber ilmu sebenar dalam sistem pendidikan ummah bertitik tolak daripada kebenaran yang mutlak untuk menuju kebenaran yang menjadi matlamat asal pembudayaan ilmu.


5. Mari kita sentiasa berdoa :


اللَّهُمَّ ، أَرِنَا الْحَقَّ حقاً
وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَوَفِّقْنَا لِاجْتِنَابِهِ ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا .



Dr UsWah

0 comments:

Macam Betul Telahan, BN Bertanding Pasti Akan Kecoh



BENARLAH seperti telahan umum sebelum ini, suasana politik negara akan lebih aman sekiranya tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) dan Umno bertanding dalam mana-mana pilihan raya terutama pilihan raya kecil (PRK).

Ini terbukti pada PRK Dun Chempaka di Kelantan pada 22 Mac lalu dan Dun Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei 2009. Di mana apabila kedua-dua PRK tersebut tidak disertai BN, tiada insiden ‘panas’ sehingga mendapat pujian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).     
Namun dalam kempen yang sedang berlangsung di PRK Rompin kali ini dalam pertembungan satu lawan satu antara calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad dengan wakil BN Datuk Hasan Arifin, lain pula suasananya.

Dalam kejadian kira-kira jam tiga awal pagi kelmarin, dua petugas di bilik gerakan PAS Dun Tioman di Bandar Rompin telah cedera di serang dalam bangunan oleh dua orang suspek yang sudahpun ditahan.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani telah mengesahkan dua suspek yang berumur 41 dan 46 tahun itu, disah positif ganja selepas saringan ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-dua mereka.

Polis kini sedang mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan reman mereka bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media semalam.     

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana penyalahgunaan dadah.

PAS sudah  amat matang dan berpengalaman menghadapi suasana provokasi penyokong parti pemerintah sepanjang setengah abad yang lalu.

Kemuncaknya ialah pada PRK Padang Terap di Kedah pada tahun 1985. Tercatat dalam sejarah di Felda Lubuk Merbau seorang petugas jentera pilihan raya PAS (Allahyarham Osman Talib) telah terkorban  dan lima yang lain cedera apabila diserang dengan senjata tajam oleh penyokong parti pemerintah.

Peristiwa hitam seperti itu sudah tentulah tidak elok diulang sebut kerana boleh memberi gambaran negatif terhadap politik kepada generasi muda. Namun setelah berpuluh-puluh tahun berlalu, perubahan dan kematangan berpolitik rakyat negara ini, belum berubah.

Apakah politik seperti ini yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang?

Itu belum lagi diambil kira bagaimana jentera kerajaan dimanipulasikan sewenang-wenangnya untuk kepentingan parti pemerintah dan sekaligus mewujudkan padang permainan yang tidak rata.

Bayangkan di Rompin, semua agensi kerajaan seperti Felda, Risda dan sebagainya yang tiba-tiba mengadakan program untuk penduduk. Jabatan Kerja Raya pula tiba-tiba bertungkus-lumus menampal jalan tar yang menurut penduduk setempat, telah bertahun-tahun terbiar rosak.

Begitu juga dengan projek-projek ‘mi segera’ yang lain. Seolah-olah janji yang sudah ditabur bertahun-tahun mahu diselesaikan dalam tempoh beberapa hari kempen ini.

Menteri-menteri yang selama ini hanya dapat ditonton di televisyen, bagaikan bermimpi dapat dilihat duduk ‘berselepot’ dalam rumah pengundi atau ‘mengeteh’ di warung kecil di kampung-kampung.

Banyak lagi perkara luar biasa yang berlaku. Cuma kita juga sudah terdengar-dengar kalimat yang tidak elok seperti ini, ‘jika mahukan pembangunan tunggulah wakil rakyatnya mati’. - HARAKAHDAILY 28/4/2015

0 comments:

PRK P91 ROMPIN - RAYUAN KEPADA PENGUNDI – KUASA 1 UNDI


Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

PRK P91 ROMPIN - 
RAYUAN KEPADA PENGUNDI – KUASA 1 UNDI



Pendahuluan

Saya merasa amat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada Rompin bukan kerana ramai ahli keluarga saya seperti bapa-bapa saudara, datuk, datuk saudara, moyang saudara dan sepupu sepapat tinggal dan lahir di Kuala Rompin; tetapi kerana dapat menyumbang tenaga sebagai petugas pilihanraya. Sekurang-kurangnya dapatlah juga saya menyampaikan mesej Islam supaya manusia taat kepada Tuhan; mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang.


ISU PERCUKAIAN GST

1. Saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada warga Rompin bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah zalim membebankan rakyat dan tidak menepati syarat keharusan cukai dalam Islam. Antaranya kerana ia dikutip bukan berdasarkan pendapatsn tetapi berdasarkan perbelanjaan pengguna yang tidak boleh membezakan antara yang berkemampuan dan tidak berkemampuan. Orang miskin juga terpaksa membayar cukai.


2. Juga kerana bebanan cukai yang berganda kepada orang yang berkemampuan selain mereka terpaksa membayar cukai pendapatan. Bagi orang Islam yang berkemampuan pula mereka membayar zakat dan cukai pendapatan seterusnya dikenakan pula cukai GST pada setiap perbelanjaan mereka melainkan pada barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan. Ia tidak bertepatan dengan roh cukai yang diharuskan oleh Islam.


3. Sementelah pula keperluan negara kepada hasil GST meragukan di saat negara sudah memperolehi hasil lumayan menerusi hasil minyak, cukai korporat, cukai individu, duti eksais dan lain-lain. Apa yang berlaku ialah kerajaan gagal membelanjakan hasil yang telah diperolehi selama ini secara berhemah dan berjimat cermat menurut cara Islam sehingga berlaku ketirisan dan pembaziran yang menjadikan negara dalam keadaan berhutang melebihi 600 bilion pada 2014.


4. Selama 18 tahun berturut-turut pula sejak 1998 kerajaan membentangkan belanjawan defisit di Dewan Rakyat iaitu rancangan perbelanjaan melebihi jangkaan pendapatan. Kerajaan hanya menjangkakan - sebagaimana kata Perdana Menteri di Parlimen - akan membentangkan belanjawan berimbang pada 2020 iaitu 5 tahun kedepan.


5. Pertambahan hasil negara menerusi cukai GST yang memeras orang miskin dan kaya hanya akan membuka peluang kerajaan berbelanja lebih besar dalam keadaan keperluannya sangat meragukan.


6. Sekalipun GST telah berjaya mengutip RM42 juta sehari daripada rakyat sejak 1 April 2015 sebagai pendapatan negara, objektif untuk menyediakan keperluan dan kebajikan rakyat tetap tidak dapat ditunaikan akibat kebocoran dan ketirisan tersebut. Menurut kajian 
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, kerajaan kerugian antara 23 hingga 40 bilion kerana pembaziran dan ketirisan.



7. Teori ketamadunan pun ada menyatakan bahawa sesebuah kerajaan yang mempunyai pendapatan yang lebih akan cenderung untuk berbelanja secara boros; dan itulah hakikatnya yang berlaku kepada negara kita pada hari ini.
8. Kenaikan harga barang yang mencengkam kehidupan seharian berlaku sebelum dan selepas pelaksanaan GST meskipun cuba dinafikan oleh kerajaan dengan pelbagai janji yang manis dan melekakan.


ISU UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

1. Peluang berkempen di Rompin ini juga saya gunakan untuk menjelaskan tentang kebaikan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah Islam. Prinsip keadilan dan hukumannya yang tegas berupaya mendidik penjenayah khususnya perompak, pencuri dan penyamun dan menakut-nakutkan bakal penjenayah. Adalah amat wajar sekali jika ia dilaksanakan dalam sebuah masyarakat yang sedang dilanda dengan jenayah dan masalah sosial yang semakin meruncing.


2. Saya yakin, anda semua juga sama seperti saya; sangat risau dengan keadaan ini dan mahukan diri serta keluarga kita selamat daripada ancaman itu. Jika berlakulah kepada diri atau keluarga kita, dengan undang-undang sedia ada hari ini, ahli keluarga penjenayah yang tidak bersalah pun terpaksa menanggung beban akibat hukuman itu. Jenayah juga tidak dapat dibanteras.


3. Jika Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan, jenayah dapat ditangani sebagaimana rekod sejarah Islam dan semua pihak akan mendapat keadilan yang sepatutnya; mangsa atau keluarga mangsa mendapat pampasan dalam kes Qisas dan penjenayah masih berpeluang menunaikan kewajipan dan haknya terhadap tanggungannya. Maka, tiada orang akan teraniaya.


4. Namun, untuk saat ini, PAS hanya mengharapkan satu ruang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah untuk negeri Kelantan dibuka menerusi pindaan Akta 355 di parlimen yang sekarang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah berdasarkan Syara'. Sekurang-kurangnya ia menjadi model bagi diikuti oleh negeri-negeri yang lain. Ahli-ahli Parlimen PAS bakal mengundi sebagai satu usaha meluluskan pindaan tersebut.


ISU MASA DEPAN WARGA FELDA

1. Saya dan kawan-kawan yang lain juga telah memberikan penerangan berkenaan isu-isu berkaitan dengan Felda. Antaranya ialah isu saham Felda Global Venture (FGV) yang merudum, prestasi Koperasi Permodalan Felda yang merosot dan penyelenggaraan kebun peneroka yang tidak memuaskan.


2. Tidak kurang juga saya dan rakan-rakan daripada PAS mendesak supaya penyenaraian FGV di Bursa Malaysia perlu dihentikan dan 360,000 hektar tanah Felda Plantation yang dipajakkan kepada FGV perlu dikembalikan kepada Felda. Kita juga menuntut agar program rumah perumahan generasi kedua diperbanyakkan dan ditawar pada harga mampu milik.


KUASA UNDI

1. Tetapi, saya dan kawan-kawan yang lain hanya petugas pilihanraya; hanya boleh menjelaskan tentang itu dan ini. Akhirnya tuan-tuan dan puan-puanlah sebagai pengundi Rompin yang akan menentukannya. Di tangan saudara dan saudarilah adanya kunci perubahan; perubahan untuk Rompin dan negara seluruhnya.


2. Satu undi daripada anda mampu memberi tekanan kepada kerajaan untuk membatalkan atau menangguhkan pelaksanaan percukaian GST yang sangat membebankan rakyat itu.


3. Satu undi daripada anda juga bakal menyumbang untuk usaha membebaskan masyarakat dan negara sama ada jangka pendek atau jangka panjang daripada belenggu jenayah yang mengancam keselamatan kita semua.


4. Satu undi daripada anda jugalah boleh menyumbang bagi menyelesaikan masalah peneroka dan mengembalikan kegemilangan Felda.


5. Oleh itu, demi kebaikan agama, bangsa dan negara, saya merayu dan menyeru kepada tuan/puan dan saudara/saudari sekalian pengundi P91 Rompin supaya mengundilah calon PAS iaitu Ustaz Nazri Ahmad pada 5 Mei ini. Semoga undi yang kita berikan kepada calon PAS ini merupakan sebahagian daripada amal kebajikan kita di sisi Allah s.w.t. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.


Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Tarikh : Rabu 29 April 2015 / 9 Rejab 1436H
__________


Lawati page dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :

Sila ‘like’ page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

0 comments:

Daulat Tuanku! Ya Allah Lanjutkan Usia dan Berkati Pemerintahan Tuanku

Diterbitkan: 26 April 2015
Ditulis oleh YB Haji Satiful Bahri Mamat

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) merafakkan sembah, Daulat Tuanku dan mendoakan kehadrat Allah SWT semoga usia kebawah Duli Yang Maha Mulia alWathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dlanjutkan dan pemerintahan Tuanku diberkati Allah jua.

Seluruh ahli dan para penyokong PAS, merakamkan sembah tahniah dan ucap selamat ‘Sanah Helwah’ kepada Tuanku Sultan dan Yang DiPertuan bagi negeri Terengganu Daruliman serta jajahan takluknya sempena ulang tahun tahun ke-53 hari keputeraan baginda.

Dengan ingatan tulus ikhlas dan sembah takzim dari kami semua rakyat jelata!

YB Haji Saiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
7 Rejab 1436H/ 26 April, 2015

0 comments:

Tajuk Sinar Harian Lari Dari Konteks - Suhaizan

Diterbitkan: 28 April 2015 
Ditulis oleh Harakahdaily

PERMATANG PAUH: "Sinar Harian telah memberikan laporan dengan pemilihan tajuk yang lari dari konteks apa yang saya sebutkan," ujar Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat. 


Justeru, tegasnya, tidak benar beliau menyebut bahawa isu GST lebih mudarat daripada hudud kerana ia memberi makna yang berbeza.


"Anda boleh lihat laporan penuh Sinar Harian tersebut dan tidak ada sepatah pun saya sebut isu mudarat lebih besar," jelasnya. 

Tambahnya lagi, beliau akan tegur editor Sinar Harian segera untuk diperbetulkan tajuk yang memberi makna yang berbeza dari apa yang disebut.


Beliau menjelaskan, berita itu menjelaskan bahawa walaupun berlaku pertembungan sesama PR dalam isu hudud, namun ia tidak memberi kelebihan yang banyak kepada BN untuk menang PRK.


Ini, kata beliau kerana BN dibebani dengan isu GST yang lebih besar mendatangkan kemarahan rakyat. - HARAKAHDAILY 28/4/2015

0 comments:

PAS Dan Keunikan Memilih Pemimpin

Diterbitkan: 28 April 2015

Ditulis oleh Super User

PAS semenjak ditubuhkan oleh ulama dan agamawan pada tahun 1951, gerakan ini semakin berkembang dan mendapat sambutan masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Oleh kerana PAS meletakkan Al-Quran dan Al-Hadith sebagai sumber rujukan, golongan ulamalah yang paling akrab, terkedepan dalam menerangkan dasar dan matlamat perjuangan PAS kepada masyarakat. 


Namun di sana juga ada pembicara yang dapat menerangkan fikrah perjuangan PAS dengan baik daripada kalangan aktivis dan profesional, tetapi secara umumnya, golongan ulama lebih terkedepan dalam mengisi program dalam masyarakat. Kelibat mereka sentiasa muncul dalam program-program hari kebesaran Islam dan jaringan mereka dengan masyarakat agak rapat kerana kebolehan menyampaikan kuliah, berkhutbah, membaca doa selamat, mentahnik bayi, menyempurnakan jenazah, bertahlil dan sebagainya.

Tanpa paksaan masyarakat terutama ahli PAS meletakkan mereka pada tahap yang mulia sesuai dengan ilmu, partisipasi dan kebolehan yang ada pada mereka. Di peringkat cawangan dan kawasan, para asatizah ini lebih tertonjol berbanding kelompok profesional mahupun aktivis. 


Namun ini bukanlah faktor mutlak, jika perhatikan apa yang berlaku di peringkat akar umbi PAS semenjak pengenalan kepimpinan ulama sehinggalah sekarang, peluang yang agak seimbang untuk semua kelompok.


Mengikut pengamatan saya dalam dua dekad ini sebagai aktivis PAS, latar belakang pengajian Islam dalam (ulama), profesional mahupun aktivis bukanlah menjadi isu dalam menerajui kepimpinan PAS di semua peringkat. 


Di peringkat PAS Pusat juga berlaku trend yang sama, walaupun media BN sentiasa melagakan isu pertembungan ulama-profesional terutama menjelang pemilihan muktamar, namun perwakilan begitu bijak dalam menentukan komposisi jawatan kuasa Pusat. 


Pada sesi lepas dua daripada Naib Presiden daripada latar belakang aktivis, hanya seorang daripada latar belakang pengajian Islam. Dalam jawatan kuasa PAS Pusat pula tiga kelompok ini diundi dengan seimbang oleh perwakilan.


Presiden PAS juga bijak menyeimbangkan komposisi pimpinan PAS, telah menjadi kebiasaan  untuk AJK lantikan selepas pemilihan, kalangan yang dilantik adalah daripada latar belakang pemikir, profesional dan aktivis parti. Kaedah yang sama juga digunakan dalam pemilihan calon pilihan raya, kabinet bayangan PAS di peringkat Dun dan Parlimen diseimbangkan daripada pelbagai latar belakang pendidikan.


Ahli-ahli PAS sudah terlalu matang dalam membuat penilaian, jangan perlekehkan kewibawaan dan tahap intelektual ahli-ahli PAS. Mereka akan memilih kepimpinan yang mampu membuat kerja, membangunkan organisasi dan yang tidak membina jarak di antara pemimpin dengan pengikut. Paling penting ahli-ahli mula menapis pimpinan daripada kilang tajnid PAS untuk memastikan manhaj perjuangan gerakan Islam ini terpelihara. Juga pimpinan yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi dalam kerangka adab berjemaah.


Menarik dan berwarna warni dalam penentuan pimpinan diperingkat akar umbi kali ini ada calon Yang Dipertua PAS kawasan yang berlatar-belakangkan pendidikan Islam yang meyakinkan, tetapi kerana dilihat kurang berfungsi maka perwakilan memilih kalangan aktivis ataupun profesional sebagai Yang Dipertua PAS kawasan. Begitulah sebaliknya. Dengan sejuta lebih ahli, PAS mempunyai tenaga dan sumber manusia yang lumayan bakat, minat dan kebolehan.


Semenjak dekad 80-an, begitulah trend yang ada dalam PAS. Namun saya tidak menafikan di kawasan 'Malay-belt', ahli-ahli PAS lebih gemar mengangkat para asatizah sebagai pimpinan PAS kawasan dan cawangan. Ini mungkin berpunca daripada kelebihan ilmu agama dan euphoria desa yang lebih mesra dengan program berorientasikan KBSM (kenduri, bersalin, sakit dan mati).


Pasca muktamar juga menarik, menjadi amalan  dalam Dewan Pemuda PAS Pusat selepas muktamar, apabila barisan exco yang dilantik oleh perwakilan terdiri ramai kalangan penceramah dan kelompok ustaz, maka exco lantikan akan dipilih daripada kalangan profesional, pemikir muda dan aktivis tegar bagi menyeimbangkan organisasi dengan kepakaran dan tenaga yang seimbang.


Dekad 80-an juga yang menyaksikan transformasi kepimpinan. Dalam Dewan Pemuda Pusat juga ramai kalangan profesional membarisi pimpinan PAS, nama-nama tersohor seperti Dr. Ir. Mustapha Kamal Shahrom, Dr Wan Nik Wan Yusuf, Ir. Mustapha Kader, Sheikh Abu Bakar dan lain-lain lagi tokoh profesional.


PAS terus bergerak memacu ummah dan pastinya pimpinan yang kompeten serta menjiwai nuansa perjuangan diperlukan untuk membarisi saf pimpinan. Ulama, aktivis dan profesional yang melalui proses tajnid adalah aset utama jamaah. Jauhi intriq dan polemik kerana ianya tidak membantu melahirkan pimpinan yang hebat. -HARAKAHDAILY 27/4/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat.


0 comments: