GARIS PANDUAN KONSERT JAKIM - KENYATAAN MCA DIBANTAH


Kenyataan Media MAPIM
20 hb April 2015


GARIS PANDUAN KONSERT JAKIM - KENYATAAN MCA DIBANTAH

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membantah sikap MCA terhadap garis panduan konsert yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.

Kenyataan Naib presidennya Datin Paduka Chew Mei Fun yang berkata, garis panduan terbaru itu tidak menggambarkan pembangunan industri hiburan yang kreatif.

Pendapat ini adalah dangkal dan merupakan campur tangan MCA dalam soal hak orang Islam untuk mengamalkan adab mereka sendiri dalam kaedah berhibur.

Kami menegaskan bahawa adalah menjadi kewajipan pihak agensi Agama untuk menentukan kawalan terhadap masyarakat Islam dalam acara hiburan, terutama bila ia dilakukan secara terbuka.

Sememangnya insiden konsert K-Pop yang melibatkan gadis Melayu Islam yang bertudung dipeluk dan dicium di atas pentas sebelum ini amat memalukan dan tidak wajar berlaku.

Reaksi masyarakat Islam yang kesal terhadap insiden tersebut perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya ia tidak berulang.

Kami mengesa MCA tidak cuba memyamakan adab pergaulan orang Islam dan bukan Islam dalam acara berhibur. Adalah hak orang Islam untuk mengikut adab sosial berdasarkan peraturan agama, manakala orang bukan Islam juga harus mengikut tatasusila yang bermoral berdasarkan budaya Timur.

Jika MCA mahu anak muda mengikut budaya hiburan ala Barat yang liar seperti yang menjangkiti masyarakat Korea Selatan sekarang, kononnya sebagai tanda kreativiti dalam perkembangan industri hiburan, maka jelas pemimpin MCA tidak memahami Rukun Negara yang menekankan soal kesopanan dan kesusilaan.

Kami menyokong penuh garis panduan itu yang diperakui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Februari lalu. Melarang memasukkan sebarang unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan Islam adalah panduan yang wajar demi menjaga dan menghormati negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Kami kesal terhadap kenyataan Chew, yang berfikiran dangkal bila berpendapat mengasingkan penonton mengikut jantina akan mengurangkan interaksi dan persaudaraan antara orang ramai.

Isunya ialah orang Islam lebih mementingkan adab dan akhlaq berdasar syariah dalam apa sahaja bentuk aktiviti sosial, bukan hanya soal interaksi.


Mohd Azmi Abdul Hamid 
Presiden MAPIM

0 comments: