ISTIQAMAH LAKSANA KANUN JENAYAH SYARIAH
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
SIK: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah menyeru seluruh penyokong, ahli dan pimpinan PAS agar beristiqamah, yakni tetap hati dan yakin terhadap perjuangan dibawa PAS, serta tidak merasa ragu dengan jalan yang dipilih ini.
Ujar beliau, keraguan adalah tanda-tanda awal kegagalan dan kekalahan di dalam perjuangan di mana mesti ditangani dengan masing-masing memiliki fikiran yang jelas terhadap dasar dan matlamat PAS.
Menurutnya, antara istiqamah PAS itu adalah apabila bertegas dengan usaha pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.
“Sebab itulah kita sentiasa bercakap untuk menegakkan syariat Islam ini di manapun kita berada, walaupun boleh jadi dengan pendirian kita ini, orang akan meninggalkan kita. Boleh jadi ada pengundi yang mengundi kita selama ini tidak akan mengundi kita, mungkin ada kawan kita selama ini akan memisahkan diri daripada kita.
“Tetapi kerana matlamat perjuangan kita berbeza dari orang lain, kita tidak boleh terikut-ikut dengan orang lain. Itu penting untuk kita ingat. PAS parti politik, tapi bukan parti politik dalam pengertian moden, sekular. PAS tidak sama dengan Umno, DAP, PKR dan parti-parti lain.
“Parti lain hanyalah parti politik. Kita adalah sebuah parti politik Islam yang gabungkan antara dakwah dan siyasah. Dan tujuan utama kita berjuang dalam bumi Malaysia tercinta ini adalah untuk menegakkan agama Allah SWT. Itulah cita-cita besar kita.
“Apa tindakan yang kita ambil, strategi kita pilih, pendekatan kita gunakan adalah untuk capai cita-cita tersebut. Sebab itu kita tidak boleh mengorbankan cita-cita ini dalam perjuangan kita semata-mata untuk peroleh kuasa yang bersifat sementara,” ujarnya pada ceramah perdana sempena program Tegakkan Syariat (Tegas) 2.0 di Kompleks PAS Kawasan Sik, Sungai Pau di sini 10 April lalu.
Katanya, PAS mahukan kemenangan, tetapi mestilah kemenangan yang diredai Allah SWT di mana cara dan tujuan untuk menang itu berbeza dari parti lain.
Menurutnya, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menegaskan bahawa PAS mahu ke Putrajaya dengan membawa Islam bersama-sama.
Sebaliknya ujar beliau, jika PAS tidak boleh atau gagal membawa Islam ke Putrajaya, adalah lebih baik tidak menang dan menjadi pembangkang sahaja.
“Kerana tidak ada makna sama sekali kita menang, kita punyai kuasa, kita ada kerajaan, tetapi kita tidak dapat melaksanakan dasar dan matlamat perjuangan kita. Maka sebab itulah bila kita menang di Kelantan, kita berusaha setakat kemampuan yang ada pada kita untuk melaksanakan dasar-dasar Islam antaranya ialah Undang-undang Jenayah Islam.
“Sebab itu kena ingat kekuatan utama kita dalam PAS ialah kerana Islam. Islam menjadi dasar kepada PAS dan Islam menjadi matlamat perjuangan ini. Jangan merasa keliru dan tertarik dengan kaedah lain untuk menang. Jangan kita gopoh untuk menang, kerana kemenangan akan ditentu oleh Allah SWT.
“Perjuangan menegakkan agama Allah akan berdepan dengan banyak ujian dan cabaran. Perjuangan Islam dibawa ini walaupun di zaman moden, tetapi merupakan mata rantai kepada perjuangan,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan dihadapan lebih 3,000 hadirin.
Tambahnya lagi, adalah menjadi lumrah kepada perjuangan Islam akan berdepan cabaran, ujian dan pancaroba di mana Allah mengingatkan di dalam al-Quran bahawa syurga tidak diberi dengan mudah melainkan setelah dibuktikan dengan ujian perjuangan.
Jelasnya, itulah sifat perjuangan di mana untuk sampai ke matlamat dan memperoleh kejayaan maka perlu beristiqamah.
Katanya, dalam adat kehidupan, apabila berhadapan ujian yang banyak, bermakna semakin dekat dengan kemenangan.
“Jadi bila bertemu ujian jangan cepat berundur atau beralah, mesti terus mara untuk dapat kejayaan yang sebenarnya sangat dekat. Dalam perjuangan ini bila kita berhadapan tekanan kuat dan ujian semakin hebat, bermakna kita sedang hampir kejayaan, semakin dekat dengan janji Allah.
“Dalam sejarah PAS ini kita telah banyak berhadapan dengan perkara-perkara yang diluar perhitungan akal kita, takdir Allah berlaku diluar fikiran kita. Sebab itu istiqamah sangat penting,” ujar Mohd Amar optimis hudud akan terlaksana di Kelantan.
0 comments: