Rangka masa yang diberi untuk para pencarum mengisi data kaji selidik penambahbaikan KWSP adalah terlalu singkat iaitu dari 21 April sehingga 5 Mei 2015.
Ramai dari kalangan pencarum KWSP merungut kerana ada dikalangan mereka yang buta IT serta tidak memiliki kemudahan internet untuk mengisi borang kaji selidik itu.
Sudah tentu bukan semua ahli pencarum dapat mengisi kaji selidik itu melalui i-Akaun kerana ramai dari kalangan pencarum yang bekerja sebagai buruh dan kurang pengetahuan tentang IT serta tidak memiliki kemudahan internet akan terlepas peluang untuk ikut serta dalam kaji selidik itu.
Kalau pihak KWSP terus membawa hasil kaji selidik ini ke parlimen untuk kelulusan tanpa penyertaan semua ahli pencarum, ini sudah tentu tidak adil bagi pencarum yang tidak dapat menyertai kaji selidik tersebut dalam masa yang singkat dengan tiadanya kemudahan internet dan mereka yang tinggal di luar bandar.
Pihak KWSP perlu memaklumkan kepada semua pencarum melalui surat dan email tanpa mengira pangkat serta jawatan pencarum agar mereka dapat sama-sama mengisi borang kaji selidik tersebut.
Pihak KWSP tidak perlu tergesa-gesa untuk melaksanakan sesuatu perkara yang melibatkan wang simpanan pencarum tanpa pengetahuan serta persetujuan mereka dan adalah tidak adil sekiranya KWSP terus juga dengan cadangan mereka kalau masih ramai pencarum tidak dapat mengisi borang kaji selidik tersebut sepenuhnya.
Kita mahu sekurang-sekurangnya 99 peratus pencarum diberi hak sebagai peserta untuk kaji selidik ini. Kalau kurang dari 50 peratus, kita memang tidak setuju apa juga cadangan yang telah dibuat hasil kajian tersebut kecuali ianya benar-benar memberi manfaat kepada pencarum.
Kita mengesa pihak KWSP perlu memberi ruang masa secukupnya kepada semua pencarum untuk sama-sama mengisi borang kaji selidik tersebut sebelum dibentangkan ke parliamen untuk kelulusan.
Kita harap pihak KWSP dapat memberi perhatian akan masalah dan rungutan ahli pencarum yang rata-rata tidak setuju duit simpanan mereka disekat dari pengeluaran setelah mencapai umur 55 tahun serta digunakan tanpa persetujuan mereka.
Jofri Jaraiee
PAS, Sarawak
0 comments: