
NADWAH FIQH IKHTILAF
9 April 2015
1. Pemuda PAS Malaysia (PPM) telah meletakkan Adab Ikhtilaf sebagai asas ke-2 dalam Politik Budiman. Justeru, PPM akan menganjurkan Nadwah Fiqh Ikhtilaf atau Seminar Fekah Perbezaan Pendapat pada hari Sabtu, 11hb April 2015 mulai jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang di Auditorium Daeng Chelak, Shah Alam, Selangor.
2. Nadwah ini akan diiisi dengan perkongsian pengalaman oleh gerakkan Islam Ikhwanul Muslimin dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia khusus berkaitan Perbezaan Pendapat.
3. Dua tokoh yang akan berkongsi pengalaman adalah Dr Ibrahim Munir selaku Setiusaha Agung Ikhwan Muslimin dan Dr Mardani Ali Sera yang merupakan Ketua Hubungan Masyarakat PKS, Indonesia.
4. Buku yang menjadi rujukan Nadwah ini bertajuk Ash-Shahwah Al-Islamiyah, Bainal Ikhtilafil Masyru’ Wat-Taffarruqil Madzmum (Fikah Perbezaan Pendapat Antara Sesama Muslim, Antara Perbezaan Yang Dibolehkan dan Perpecahan Yang Dilarang) karangan Dr Yusof Al-Qaradhawi.
5. Beliau telah mengariskan beberapa panduan untuk mengurus perbezaan pendapat dalam buku ini iaitu:
(a) Masalah furu’ adalah satu keluasan syariat dan suatu rahmat.
(b) Mengikut manhaj pertengahan dan meninggalkan sikap berlebihan dalam agama.
(c) Mengutamakan muhkamat (jelas) dan bukan mutasyabihat (tidak jelas).
(d) Jangan memaksa untuk menerima atau menolak sesuatu ijtihad.
(e) Meneliti perbezaan para ulama’ sebagai garis panduan.
(f) Jangan menggunakan sesuatu istilah pada kontek yang salah.
(g) Mengutamakan masalah utama berbanding masalah kecil.
(h) Bekerjasama dalam masalah yang disepakati.
(i) Saling bertolerensi dalam masalah yang diperselisihkan.
(j) Jangan mengkafirkan sesama umat Islam.
(k) Ikhlas melaksanakan tugas hanya kerana Allah.
(l) Meninggalkan fanatisme terhadap individu, mazhab dan kumpulan.
(m) Berprasangka baik kepada orang lain.
(n) Tidak menyakiti dan mencela orang lain.
(o) Jangan berlebih-lebihan dalam perdebatan.
(p) Dialog dengan cara yang baik.
6. Slot Bedah Buku akan dipimpin oleh dua tokoh terkenal iaitu Ust Ghani Shamsuddin (AJK Kesatuan Ulama Sedunia) dan juga Ust Ramadhan Muhamad (PSU Pemuda PAS Malaysia).
7. Pada sebelah petangnya Nadwah akan disambung dengan forum bersama pimpinan utama PAS dan PKS bertajuk “Berbeza Bukan Bersengketa”.
8. Ahli panel forum ini ialah Dato Tuan Ibrahim Bin Tuan Man (Naib Presiden PAS), Dato Mustafa Bin Ali (Setiausaha Agong PAS) dan Dr Mardani Ali Sera (Ketua Hubungan Masyarakat PKS, Indonesia). Kupasan akan tertumpu kepada bagaimana perbezaan boleh berlaku dan bagaimana menguruskan perbezaan.
9. Majlis Penutup Nadwah ini akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang bersama Ketua Pemuda PAS Malaysia Sdr Suhaizan Kaiat dan juga Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ust Mohamad Khalil Abd Hadi.
10. Tuan Guru Presiden dijangka akan menyentuh isu-isu fiqh ikhtilaf. Pengalaman politik dan dakwah beliau akan membantu merungkai dan merumuskan isu-isu fiqh ikhtilaf yang telah dibincangkan dalam Nadwah ini.
11. Penyertaan Nadwah ini adalah terbuka kepada ahli-ahli PAS khususnya Pemuda PAS seluruh negara. Penyertaan adalah terhad. Mereka yang berminat boleh mendaftar secara online di www.nadwah.net.
SUHAIZAN BIN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia
0 comments: