
PAS BERSAMA UMNO UNTUK MENGANGKAT HUDUD?
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
PENGKALAN CHEPA: Dakwaan mengaitkan usaha mengangkat Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJSII) Kelantan 1993 (Pindaan 2005) sebagai hubungan kerjasama dengan Umno adalah fitnah dan isu lama yang sengaja dibangkitkan semula.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ada di kalangan orang PAS sendiri yang menganggap bahawa PAS sudah masuk dalam perangkap Umno dan ditipu oleh Umno.
“Saya bagi tahu dulu mengapa kita berurusan dengan Umno? Sebab ‘kuncinya’ duduk dengan Umno kerana dia pegang kuasa politik negara. Itulah sebab besar. Serupa kita nak beli rempah, kita kena pergi kedai India pasal India jual rempah. Begitulah caranya. Nak beli motosikal kena pergi kedai Cina sebab Cina jual motosikal.
“Kalau kita tak pergi kedai India, tak pergi kedai Cina, tak boleh beli barang kita. Pada orang Melayu, orang Melayu tak jual. Tu barang mudahnya. Bila kita gi kedai India, kita gi kedai Cina, bukan kita nak jadi India, nak jadi Cina. Kita nak beli barang, itu kita kena faham,” terangnya pada Ceramah Penjelasan Isu Hudud di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini, 1 April lalu.
Ujar beliau, dalam soal hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, perbincangan seperti itu sudah lama berlaku, termasuk hubungan antara pimpinan sebagaimana dilakukan Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, ketika PAS tidak ada kuasa politik pun Dato’ Fadzil selaku Presiden PAS telah naik sepentas dengan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri di Dewan Bahasa dan Pustaka, serta disiarkan secara langsung dalam televisyen dalam isu Palestin, di mana perkara itu tidak menjadi isu.
“Lepas ini kalau saya nak sebut sikit ini sebutlah, walau perkara rahsia sikit. Ada orang di kalangan kita atur masa Tok Guru dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) bab royalti. Apa hal tu? Ku Li tak ada kuasa apa satu pun, hanya Ketua Umno (Bahagian) Gua Musang.
“Tapi ada orang pergi buat urusan dengan Ku Li dengan harapan Ku Li boleh tolong pujuk Kuala Lumpur (Kerajaan Pusat) supaya bayar royalti kepada Kelantan. Tidak ada orang bising apapun. Dah bukan setakat buat urusan dengan Ku Li, (siap) ambil Ku Li pergi ceramah di stadium, atas pentas PAS.
“Waktu Pilihan Raya Kecil di (Dun) Galas, ada orang pergi bincang dengan Ku Li sampai peringkat ada cadangan supaya PAS ini tak bertanding di Galas. Nak bagi laluan kepada calon BN dengan harapan Ku Li ini boleh pujuk Najib supaya bayar royalti kepada PAS di Kelantan.
“Sampai peringkat itu percaya kepada Umno. Umno pula Umno yang tidak ada kuasa. Ku Li ni tak ada kuasa, tapi orang boleh percaya sampai begitu sekali, sampai peringkat setara tu. Kenapa bila kita hari ni sama-sama kerajaan bincang jadi isu besar? Kenapa persoalnya?” terang beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Mohd Amar turut melontarkan ingatan agar tidak bergurau secara keterlaluan dalam hal tersebut, sebaliknya menyeru agar melihat perkara yang berlaku secara positif.
Direstui PAS Pusat
Menurutnya, perbincangan sedang dibuat itu diluluskan oleh PAS Pusat yang memberi kebenaran kepada Kelantan untuk mengadakan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan.
“Kita pergi ni, pergi dalam cerah, bukan dalam gelap, tidak. Masalah kalau salah Umno nak tipu kita, dia nak tipu kita, nak buat macam mana? Jadi, perkara begini kena faham dan sebab tu jangan ada di kalangan kita di peringkat pimpinan, ahli, orang bawah meragui usaha yang dibuat oleh kerajaan hari ni.
“Kalau kita tidak puas hati, mari jumpa dengan pimpinan kerajaan. Ini mesyuarat tak hadir, taklimat tak dengar, itu yang jadi masalah. Orang bagi taklimat tak mari, orang jelas tak dengar, tanya tidak. Lepas tu main kata dalam ‘WhatsApp’. Dok bercakap dalam kedai kopi. Jadi apa nama kerja macam ni?
“Sepatutnya dalam suasana sebegini, kita orang PAS ni kena duduk sekali, bulat. Sebab perjuangan ni perjuangan parti, bukan perjuangan saya, bukan perjuangan Menteri Besar, tapi perjuangan parti kita PAS,” serunya.
Menurut beliau lagi, Tok Guru Nik Aziz sebelum meninggal ada berpesan mengenai hal tersebut di mana kini dia terpaksa mendedahkan rahsia itu.
Katanya, beliau dipesan untuk tidak mengata kepada Umno pada ketika ini memandangkan sedang berurusan dengan Umno dan kerana itulah beliau mendiamkan diri semenjak ini.
“Orang kata sejak baik dengan Umno, tak kata apa. Saya tak boleh kata sebab saya terlibat dalam perbincangan. Orang lain katalah. Ni saya tak kata, orang lain tak kata juga. Ni apa nama kerja? Dia nak suruh saya saja kata. Masa saya kata, mereka tak kata. Masa saya tak kata, mereka pun tak kata juga.
“Jadi apa benda lagu tu? Jadi, yang ini kita kena faham. Kita kena faham ada usaha kita nak buat untuk kebaikan semua walaupun Umno musuh politik kita, tapi kita harap dengan perbincangan, penjelasan, Tuhan akan buka hati untuk bersama-sama mengusahakan benda yang baik.
“Kita tengok dalam dewan, siapa fikir sampai wakil rakyat Umno menangis. Kita kalut cari tisu hari tu, tak bawa tisu tak tahu dia nak menangis. Kalau tidak saya bawa tisu siap-siap. Tu nak beritahu sampai peringkat tu.
“Ni kita tak tahu kerja Allah SWT dan saya rasa kalau kita boleh bagi kepercayaan kepada pimpinan kita, usaha benda ini, tidak mustahil akan berjalan sampai ke parlimen. Itu paling penting. Saya nak minta kita semua pakat sembahyang hajat berdoa kepada Allah SWT biar Tuhan mudah laluan kita ni untuk melaksanakan cita-cita yang mulia ni. Insya-Allah,” ujarnya diakhir ucapan.
0 comments: