POTA BOLEH MEMANGSAKAN AKTIVIS MASYARAKAT JIKA DISALAHGUNA


Kenyataan Media MAPIM

14 hb April 2015


POTA BOLEH MEMANGSAKAN AKTIVIS MASYARAKAT JIKA DISALAHGUNA

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berpandangan RUU POTA 2015 yang dilulus di Parlimen jam 2.55 pagi pada 7 hb April 2015 baru-baru ini wajar diperhatikan dengan terperinci . Ini adalah kerana jangkauan kuasa yang diberi kepada pihak yang berkenaan yang sangat luas dan ia boleh mendedahkan sesiapa sahaja terutama aktivis masyarakat dan figur politik kepada prasangka sebagai pengganas oleh pihak keselamatan dan publik.

Kami ingin mengingatkan betapapun RUU itu bertujuan untuk menghalang secara "preventif" terhadap kebarangkalian ujudnya aktiviti pengganas , namun peruntukan-peruntukan yang boleh menyebabkan kuasa disalah guna oleh pihak yang berkenaan boleh menzalimi hak asasi manusia individu yang disuspek.

Pentafsiran kepada istilah " terlibat " , " perbuatan melakukan”, “menyokong” dan “yang melibatkan”, yang terdapat POTA itu sangat terbuka kerana ianya tidak dita'rif dengan jelas dalam RUU tersebut.

Hanya atas dasar dicurigai ( suspicion ) , peruntukan dalam undang-undang tersebut boleh menahan seorang individu dalam tempoh masa yang lama tanpa boleh dicabar oleh mana-mana prosidur mahkamah.

Terdapat seksyen dalam POTA yang diluluskan itu dimana dengan kenyataan bertulis oleh polis atau pendakwa raya , magistret boleh membenarkan suspek ditahan sehingga dua bulan ( 21 hari pada tahanan pertama dan ditambah 38 hari lagi pada tahanan selanjutnya ) hanya atas alasan inkuari perlu dilakukan keatas suspek , walaupun tiada bukti yang jelas bahawa suspek terlibat dengan aktiviti pengganas.

Demikian juga peruntukan seorang yang dibebaskan maseh boleh diarah menjalani pemerhatian polis (police survellance ) sehingga 59 hari melalui alat pemantauan elektronik. Melanggar peraturan dalam tempoh pemerhatian tersebut , boleh mengakibatkan suspek ditahan hingga 3 tahun.

Pegawai penyiasat yang dilantik oleh Menteri pula diberi kuasa penuh untuk menjalankan apa sahaja cara yang dirasa perlu untuk mendapatkan maklumat dari suspek dalam penyiasatannya , tanpa had. Dia bebas memberi tafsiran sendiri terhadap maklumat dari sesiatannya . Lembaga yang dilantik boleh menerima tafsiran pegawainpenyiasat tersebut untuk membuat hukuman menahan lebih lanjut atau disebaliknya membebaskan individu yang ditahan.

Malah peruntukan menahan sesiapa dalam RUU tersebut , tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Apa sahaja penyiasatan , penahanan , pemaksaaan memberi maklumat tanpa diiringi oleh peguam yang berkaitan dengan Akta ini tidak boleh dicabar . Semakan judisial ( judicial review ) tidak dibenarkan samasekali dalam kes yang dikendalikan dibawah Akta ini.

Pengelaman pelbagai negara yang terpengaruh dengan desakan Amerika Syarikat ( AS ) untuk mengujudkan kawalan yang ketat atas nama " war on terrorisme " telah menunjukkan betapa POTA boleh disalahguna. Melalui langkah-langkah pencegahan keganasan , ia boleh menimbulkan kecurigaan yang berlebihan keatas aktivis dan organisasi Islam.

Sebagai akibat , AS telah menyenaraikan sejumlah organisasi Islam seluruh dunia dalam senarai pengganas hanya atas alasan syak semata-mata. Lebih buruk lagi segala kegiatan da'wah , kemanusiaan dan kebajikan diawasi dengan ketat dan ia boleh sahaja disyakki membantu pengganas jika pihak penyiasat mahu mentafsirkan begitu.

Agenda AS , melalui tema " war on terrorisme " semakin mendapat tempat di negara-negara diseluruh dunia . POTA boleh diguna oleh AS untuk memastikan sebarang gerakan yang mempunyai elemen memprotes hegemoni AS akan disenaraihitamkan.

Malah transaksi kewangan juga dikawal dengan penuh teliti atas nama POTA untuk mengesan aliran kewangan yang kononnya dikatakan boleh dilihat menyokong kegiatan pengganas.

Bermakna apa sahaja kegiatan oleh sebarang organisasi atau institusi termasuk institusi pendidikan akan terdedah kepada pengawasan dengan mengguna POTA.

Malaysia harus mengambil iktibar dari pengelaman undang-undang POTA yang diluluskan di Parlimen India pada Mac 2002 . Banyak salahguna kuasa POTA dikritik oleh kumpulan hak manusia dan media termasuk mengenai penahanan yang berlanjutan tanpa pendakwaan yang jelas.

Yang paling ketara berlaku ialah kerap berlaku penahanan aktivis politik dari parti lawan . Pihak yang berkuasa mempunyai kecenderungan untuk membendung pihak politik lawan dengan menggunakan undang-undang POTA.

Undang-undang yang asalnya ditujukan kononnya kepada orang yang “terlibat dengan perbuatan melakukan atau menyokong perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas yang tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana-mana bahagian sesuatu negara asing” . Akan tetapi ia boleh sahaja ditafsir sebagai merangkumi semua kegiatan yang boleh dianggap berkecenderungan pengganas.

Banyak salahguna kuasa dalam RUU POTA berkait dengan penahanan yang lama tanpa dakwaan . Kes begini banyak tidak dilaporkan . Orang Kena Tahan (OKT) dibiar dalam lokup atau penjara berminggu-minggu malah berbulan-bulan lamanya. Kes-kes yang semakin bertimbun menyebabkan OKT terpaksa berada dalam penjara dalam tempoh yang lama.

Ini menyebabkan gejala "justice delayed , justice denied" ( keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang ternafi ) terus berlaku jika POTA disalahguna .

Sementara pada teorinya ujud pelbagai mekanisme mahkamah untuk atasi kes yang berlanjutan tanpa pendakwaan , namun sering , usaha untuk menyelesaikan kes penahanan yang terlalu lama tidak diberi perhatian secara bersungguh. Selalunya mereka yang ditahan terpaksa menderita dalam lokup berbulan-bulan tanpa mengetahui bila siasatan keatas mereka boleh diselesaikan.

Adakala masalahnya berpunca dari tafsiran teks undang-undang POTA yang terlalu luas dan ada juga disebabkan penguatkuasaan yang tidak jelas.

Kami tidak terkejut jika ada kemungkinan pindaan lain dalam undang-undang POTA akan digubal dimasa akan datang untuk mengetatkan lagi pemantauan keatas sesiapa yang dianggap berpotensi menjadi pengganas.

Soalnya apa yang dikhuatiri ialah ada bahagian dalam POTA yang terdedah kepada salahguna dan kekhuatiran tersebut berasas.

Gambaran yang diberi oleh Barat dalam kempen Islamofobia diseluruh dunia seolah-olah semua aktiviti keIslaman mesti diawasi kerana dicurigai berkecenderungan pengganas. Tajuk mengenai keganasan atau terorisme nampaknya sengaja disasarkan kepada orang Islam , seolah-olah inilah ancaman yang perlu diawasi oleh seluruh dunia termasuk di negara Islam sendiri.

Prinsip yang diguna ialah semua kegiatan Islam perlu dicurigai , selepas itu pemantauan berterusan akan dilakukan dan pihak berkuasa boleh mengguna kuasa yang ada dalam POTA untuk menahan sesiapa suspek mengikut tafsiran mereka sendiri.

Kami mengesa Dewan Negara yang menjadi institusi kelulusan perundangan tertinggi dalam demokrasi di negara ini mengguna kebijaksanaan menilai semula RUU POTA 2015 tersebut. Walaupun Dewan Negara lazimnya hanya menjadi " rubber stamp " kepada apa yang diluluskan oleh Dewan Rakyat , namun kali ini semua Senator yang dilantik harus mengguna keupayaan membahas isunya dengan matang dan jujur.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM.

0 comments: