Prepaid Dikenakan GST: Kerajaan Hilang Kawalan Hari Pertama

Diterbitkan: 03 April 2015

Ditulis oleh M Arifiriazul B Paijo
Pemuda PAS Sarawak merasakan kerajaan telah gagal dalam penguatkuasaan kawalan harga sempena GST dengan ‘mengaku kalah’ terhadap syarikat telekomunikasi dengan bersetuju harga dinaikkan 6%, walaupun dikatakan tambahan airline akan dimasukkan.
Kerajaan harus lebih tegas dalam melaksankan apa yang dikata- penguatkuasaan kawalan harga sempena GST. Kerajaan tidak harus mengangkat bendera putih terlalu awal dengan bersetuju tanpa mengenakan apa-apa tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat ini.
Syarikat telko ini memanipulasi sistem yang baru ini dan membolehkan mereka ‘memaksa’ pengguna membelanjakan wang mereka lebih berbanding sebelum ini. Bayangkan jika syarikat sebesar ini mampu memanipulasi sistem baru ini tanpa kawalan dan tanpa takut, bagaimana pula dengan syarikat-syarikat kecil yang pastinya tidak tercapai dengan penguatkuasaan kawalan harga ini.
Timbalan Menteri Kewangan tidak harus merasa selesa dengan kurangnya aduan mengenai perlaksanaan GST pada hari pertama yang didakwa hanya 800 aduan, tanpa ada tindakan serius membenteras kenaikan harga barang. Perlaksanaan GST akan hanya membebankan rakyat jika kerajaan bersikap acuh tidak acuh dengan penguatkuasaannya. Bayangkan harga yang bakal dikenakan oleh pengguna di Sarawak, yang telah melalui banyak transaksi, sebelum jualan runcit. Risiko kenaikan harga barangan di setiap lapisan transaksi mesti diambil serius dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan. Jangan hanya mengharap kepada penguatkuasaan sendiri atau ‘self regulation’  oleh pengguna, dengan kerajaan hanya menunggu aduan dan mengutip hasil cukai ini.
Tanpa penguatkuasaan yang berkesan, harga barangan akan melambung naik, menjadikan GST hanya indah khabar dari rupa. Pemuda PAS Sarawak konsisten dengan pendirian menentang GST yang merupakan cukai yang tidak adil, dengan semua lapisan masyarakat dipaksa membayar cukai tanpa mengambil kira jumlah pendapatan.

M Arifiriazul B Paijo
Ketua Pemuda PAS Sarawak

0 comments: