PRK Rompin: Isyarat Positif Pengundi Muda

 
ROMPIN: Kajian awal PAS mendapati golongan muda menyokong calon yang ditampilkan parti itu, Ustaz Nazri Ahmad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Nasrudin Hassan berkata, sokongan golongan muda kepada PAS meningkat berbanding sebelum ini.

"Apa yang kita lihat terdapat kelebihan kepada PAS yang mana masyarakat tempatan khususnya pengundi muda menerima calon yang kita tampilkan.

"Kita yakin dengan petanda baru ini, kita mampu memperolehi kemenangan pada pilihan raya kali ini," katanya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Rompin di Bandar Satelit Muadzam Shah, hari ini.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut berkata, selain calon muda, isu membabitkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut mempengaruhi pengundi.

Menurut beliau, walaupun kemenangan PAS tidak akan mengubah apa-apa kedudukan dalam kerajaan tetapi pengundi merasakan suara mereka dapat dibawa ke parlimen.

"GST turut membantu kita memburu kemenangan, kita tahu kesan pelaksanaan cukai itu mempengaruhi penduduk setempat terutamanya pengundi muda.

"Golongan muda lebih terdedah kepada dunia luar dan mereka tahu apa kesan disebalik GST, apatah lagi mereka baru memulakan kehidupan tetapi terpaksa membayar lebih untuk cukai enam peratus," jelas beliau yang juga Penyelaras Dun Bukit Ibam.

Ketika ditanya mengenai peluang mendapat sokongan peneroka Felda, beliau berkata, walaupun peneroka Felda mendominasi jumlah pengundi di Parlimen Rompin, tetapi isu membabitkan peneroka terutama perumahan generasi kedua mampu mengubah pendirian mereka.

"Kita bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau tawaran yang diberikan Barisan Nasional (BN) kepada pengundi kali ini.

"Bagi PAS walaupun majoriti yang besar diperolehi BN sebelum ini, ia bukan suatu yang mustahil untuk kita merampas kerusi Parlimen Rompin," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 23/4/2015

0 comments: