REGIM BANGLADESH SEMAKIN HAUS DARAH


REGIM BANGLADESH SEMAKIN HAUS DARAH
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Laungan takbir dan esakan pilu mengiringi kesyahidan ustaz Kamaruzzaman, tokoh kanan Jamiat Islami Bangladesh yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh regim Bangladesh. Assyahid menjadi tokoh kanan ketiga dibunuh selepas Maulana Abdul Qader Mullah dan Sheikh Mutiur Rahman. Ramai lagi yang kini sedang menunggu giliran untuk menuju ke tiang gantungan regim sekular di sub continent itu.

Jamiat Islami Bangladesh telah ditubuhkan selepas munculnya negara Bangladesh yang berpisah daripada Pakistan pada tahun 1971, berakar daripada pengasasannya di Pakistan pada tahun 1941. Gerakan ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada umat Islam Bangaladesh yang juga kuat beragama,kesan daripada bersemaraknya pusat pengajian Islam di kawasan bandar dan juga sub bandar dalam dekad 80an dan 1990an. Negara ini juga sering terjadi wabak bencana seperti taufan, banjir besar, kebuluran, serta wabak penyakit. Juga terletaknya daerah Tonggi yang merupakan tapak ijtimak Jamaah Tabligh terbesar di dunia.

Semasa awal kewujudan Bangladesh, Jamiat Islami diharamkan di sana. Pemimpin Jamiat iaitu Ghulam Azam berhijrah ke UK dan Timur Tengah kerana kerakyatannya telah dibatalkan oleh kerajaan Bangladesh yang dipimpin oleh Mujibur Rahman.

Perbalahan politik berlaku di Bangladesh apabila Ghulam Azam dibenarkan kembali ke Bangladesh tetapi dia tidak dibenarkan terlibat dengan aktiviti politik. Jamiat Islami mula menjadi parti politik di 
Bangladesh pada tahun 1982 dan mereka memenangi 10 kerusi Parlimen dalam Pilihanraya tahun 1986.


Perjalanan Jamiat Islami dalam politik Bangladesh sangat berliku, mereka diasak dengan kebencian awam melalui media perdana dan juga mahkamah, terutama dalam isu perang saudara 1971. Jamiat Islami Bangladesh telah dituduh bersubahat dengan pihak tentera Pakistan dan juga menubuhkan gerakan militia seperti 'al-Badar'. Pada 1 Ogos 2013, mahkamah agung Bangladesh telah mengharamkan pertubuhan politik Islam terbesar Bangladesh ini dan juga menjatuhkan hukuman kepada pemimpin Jamiat.

Antara yang telah dihukum gantung sampai mati ialah Abdul Kader Molla, Penolong Setiausaha Agung Jamiat Islami. Lebih 40 ribu anggota Jamiat Islami telah dipenjarakan di seluruh penjara Bangladesh. Tekanan ini juga telah membawa kepada bantahan awam terutama di bandar-bandar besar Bangladesh terutama oleh penyokong muda mereka yang melihat tindakan mahkmah ini lebih bermotifkan politik untuk meredam kebangkitan Jamiat Islami.

Selama hampir tujuh dekad berada di persada politik dan dakwah di Bangladesh serta beberapa negara Indo-Pak, Jamiat Islami semakin kuat dan berkembang walaupun dihadang oleh rejim dan kelompok munafik. Pada awal keberadaanya di Bangladesh,Jamiat Islami agak lemah prestasinya dalam pilihanraya yang disertainya kerana pimpinan Jamiat Islami lebih menekankan soal kualiti dan ahli yang bershaksiah tinggi namun pengaruh dakwahnya berkembang pesat dan diakui sangat menyumbang kepada negara. Dalam penglibatan berpilihanraya, Jamiat kurang didekati oleh rakyat jembel serta massa malah lebih mendapat sokongan daripada golongan intelek dan kelas menengah.

Keadaan ini mula berubah apabila Jamiat mula mengadakan pendekatan strategik dengan mengadakan permuafakatan politik dengan pelbagai kumpulan Islam yang lain. Mereka mula menunjukkan peningkatan dalam peratusan kemenangan di Parlimen seluruh Bangladesh. Peningkatan sokongan ini juga berkait rapat dengan pelbagai NGOnya yang turun menyantuni masyarakat.

Antara NGO jaringan Jamiat yang berkesan ialah Masjid Mission , gerakan swadaya yang tak lelah menghidupkan jihad ta'lim dan membantu masyarakat miskin di negara miskin itu. Walaupun bersaing pengaruh dengan Jamaah Tabligh dimedan dakwah serta mempunyai reputasi yang baik disektor perbankan Islam, Jamiat Islami sangat digeruni regim . Pelbagai usaha dibuat untuk menyekat kemaraan mereka disektor politik termasuk menyekat dana luar negara untuk kegiatan kebajikan seperti majlis korban eid Adha.

Regim muflis idea untuk berdepan dengan harakah Islam bernuansa khairiyah ini, apatah lagi dengan sosok-sosok cemerlang Jamiat Islami yang didokong kelas menengah berpendidikan Bangladesh. Maka jalan pintas bagi regim ialah tiang gantungan dan penjara pengap serta mahkamah kangaroo buat amilin Jamiat Islami. Bangladesh dibelakang regim tirani Mesir dalam menumpahkan darah para syuhada!


(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Dakwah Pusat)

0 comments: