ROMPIN, FELDA DAN GST.


ROMPIN, FELDA DAN GST.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Hujan renyai-renyai membasahi bandar Muazzam Shah , nadi jantung kepada Parlimen Rompin. PRK kali ini agak kurang meriah berbanding dengan siri-siri PRK sebelum ini, dengan keluasan peta Rompin yang tiga kali ganda keluasan negeri Melaka.


BN setakat ini kelihatan agak selesa dengan demografi politik dikawasan yang mempunyai 14 buah FELDA, jajaran FELCRA dan juga kampung tradisi Melayu yang kurang tembus akses maklumat. Dalam PRU 13, peti undi yang dimenangi PAS ialah peti undi bandar baru Rompin, yang mempunyai kelompok kelas menengah yang ramai. BN antara lain bernasib baik kerana Rompin mempunyai 5446 pengundi orang asli dan pengundi India.



BN tidak mengubah kaedah kempen sebelum ini, dengan menggunakan jentera kerajaan dan projek segera serta lambakan wang untuk menyihir pengundi luar bandar. Masjid-masjid seliaan kerajaan sangat suram dengan budaya ilmu, melainkan program menyambut hari kebesaran Islam. BN juga selama puluhan tahun ini berjaya melambakkan budaya konsert dan pesta pora murahan untuk membius masyarakat di kawasan pedalaman ini.


PAS yang meletakkan calonnya Ustaz Nazri Ahmad, seorang alumni Syria dan Mesir, tokoh pemuda dan kini memimpin PAS di kawasan Rompin secara jelas menghantar isyarat bahawa parti Islam itu tidak kekeringan pelapis muda. PAS Rompin mempunyai 29 markas tarbiah yang digerakkan untuk majlis-majlis ilmu dan perkaderan dakwah, PAS juga mempunyai jaringan pendidikan prasekolah, PASTI sebagai wahana merapatkan jurang dengan masyarakat.


Antara isu yang menimbulkan kemarahan pengundi Rompin ialah GST, dengan impak kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Masyarakat FELDA pula dihembus kemarahan dengan isu FGV, tingkah meningkah dengan isu Koperasi Permodalan FELDA yang menjunam terjun bak air hujan musim tengkujuh. Gejala sosial anak-anak muda FELDA juga sangat membimbangkan, penagihan najis dadah, pil kuda, zina. Semua ini rencah pelengkap kegagalan UMNO BN yang semenjak merdeka mewakili kawasan Rompin.


PRK Rompin tak mampu mengubah kondisi dan hegemoni kerajaan BN , namun isyaratnya besar jika BN berjaya dikalahkan di kawasan luar bandar ini. 8.99 peratus adalah pengundi orang Asli manakala empat penggal Dato Jamaluddin Jarjis mewakili Parlimen ini. Masyarakat perdesaan ini wajib disedarkan bahawa mereka adalah penyumbang kepada kezaliman dan kerakusan BN selama ini. BN berdaulat maka rakyat kekal terjerut akal dan jasad!


(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, AJK Lujnah Politik Pusat)

0 comments: