Selangor Sedang Teliti Elaun Guru Kafa RM1,500



KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor sedang meneliti kenaikan elaun guru Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) kepada RM1,500 sebelum dapat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kajian itu melihat justifikasi dan pertimbangan empat jam perkhidmatan guru Kafa di sekolah.

“Kajian mengenainya telah siap dan Kerajaan negeri sedang mengkaji syor-syor dan cadangan yang dikemukakan,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Kamarol Zaki Abdul Malik (BN-Sungai Air Tawar) pada persidangan Dewan Negeri Selangor.

Menyentuh soal penyerapan guru kontrak kepada jawatan tetap, beliau yang juga Adun Sijangkang menjelaskan semuanya bergantung kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dari segi perjawatan bergantung kepada pihak (Kerajaan) Persekutuan untuk membenarkan guru dilantik menjadi guru tetap.

“Buat masa ini kita meletakkan keperluan bergantung kepada keperluan sekolah pendidikan Islam ini kepada guru kontrak yang kita lantik sendiri.

“Usaha daripada Jabatan Agama Islam sendiri untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan masih berterusan. Keputusannya masih di tangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

0 comments: