PALEMBANG, 15 Apr. – Satu tragedi musibah menimpa 3 orang bekas mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang baru menyambung pengajian di Universiti Islam Negeri Raden Fatah Palembang apabila kehilangan harta benda selepas bilik mereka dijilat api marak 7.30pagi tadi waktu Indonesia. Mangsa dikenali sebagai Muhamad Jazil Bin Azudin, Mohd Hakimi Hamzi Bin Mohd Hayat , Amirul Hafizi bin Mohd Yusuf.
Sebelum kejadian, Muhamad Jazil terlebih dahulu meninggalkan bilik untuk ke kuliah, manakala dua orang lagi berada di bilik air. Kebakaran disedari apabila kepulan asap mula kelihatan keluar dari ruangan bilik pelajar tersebut . Kejadian ini menimbulkan huru-hara dari kalangan penghuni asrama. Pelajar lelaki Indonesia turut sama membantu memadamkan kebakaran yang berlaku.
Kebakaran ini dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik. Mangsa yang dikenali sebagai Amirul adalah orang yang pertama memasuki biliknya. Melihat api yang semakin marak, Amirul cuba menyelamatkan barang-barang yang masih tidak dimakan api, namun tidak banyak yang dapat diselamatkan.
Antara kerugian yang dialami adalah kerosakan teruk sebuah komputer riba, telefon bimbit, wang berjumlah RP.4 000 000 (RM1130.00) dan pakaian. Jumlah anggaran kerugian keseluruhan akibat kebakaran ini kira-kira RM6000.00. Passport ketiga-tiga mereka dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut.
Wakil dekan Pak Mashaid, ketua jurusan, ibu Yuswalina juga pegawai-pegawai di pejabat rektorat turut hadir melawat mangsa dan keadaan selepas kebakaran berjaya dipadamkan.
“Lelaki harus tabah.” Itulah kata-kata semangat yang diberikan oleh Pak Marshaid kepada salah seorang mangsa kejadian.
“Allah menjadikan sesuatu perkara pasti ada hikmahnya. Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik lagi.” Sambungnya lagi.
Beberapa saranan dan nasihat turut diberi oleh pegawai-pegawai dari pejabat Rektor UIN Raden Fatah. Pesannya agar tidak meninggalkan barang-barang elektrik terbuka ketika hendak meninggalkan bilik. Mereka juga mengharapkan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi.
Manakala Rektor KUIZM, Dr. Shahbudin B Ngah juga menyatakan perasaan sedih dan hiba ke atas apa yang menimpa bekas mahasiswa KUIZM ini yang baru sahaja menyambung pengajian di Palembang sana pada pertengahan Mac lalu. Menurutnya, mereka ini adalah generasi ketiga mahasiswa KUIZM yang menyambung pengajian di UIN Raden Fatah Palembang di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Saya merayu dan memohon para dermawan, tokoh korporat dan orang ramai yang simpati dengan mangsa kebakaran ini untuk membantu memberi sumbangan kepada mereka bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di sana,” ujarnya.
Menurutnya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan terus melalui akaun CIMB ISLAMIC atas nama AKADEMI PENDIDIKAN ZULKIFLI MUHAMMAD, No. Akaun : 8600543280 atau hubungi 03-60865616 (Pejabat KUIZM) atau 019-4427396 (Unit Alumni HEP KUIZM).
"Generasi Murabbi Pemacu Ummah"
0 comments: